8 Dosa Yang Tidak Diampunkan Allah SWT

Jauhi perkara yang boleh mendatangkan murka Allah SWT.

Dosa adalah segala nilaian keburukan yang dilakukan dan bertentangan dengan perintah Allah SWT dan RasulNya yang telah ditetapkan sebagai perbuatan yang melanggar hukum Tuhan dan agama.

Setiap satu dosa yang dicatat malah pahala juga, akan dihisab dan bakal ditentukan hukumannya kelak.

Jelita senaraikan lapan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Syirik kepada Allah SWT

Bagaimana mungkin untuk Allah SWT mengampunkan dosa hambaNya yang tidak mengaku Dia sebagai Tuhan. Sebaliknya menyembah dan mengagungkan benda lain selainNya.

Membunuh Para Anbiya’

Allah SWT mengutus para Nabi dan RasulNya untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhaiNya. Membunuh utusan Allah SWT seolah-olah menolak rahmat Tuhan sedangkan ia baik untuk mereka dan keturunan mereka.

 Murtad

Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui dan diiktiraf Allah SWT. Maka, mereka yang mengeluarkan iman dalam diri dengan memilih agama lain tidak akan diampuni dosa mereka.

 Lari Daripada Jihad

Mereka yang tidak berjihad di jalan Allah SWT setelah diperintahkan adalah dilihat enggan untuk mempertahankan kedaulatan dan keagungan agama Allah SWT. Tindakan ini dianggap tiada kesungguhan diri dalam memperjuangkan Islam.

 Membunuh Diri

Membunuh diri adalah tindakan yang tidak diredhai Allah SWT kerana menzalimi dan merosakkan diri sendiri dengan memilih untuk mati dengan cepat. Sedangkan menjaga nyawa (diri) adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

 Menuduh Wanita Solehah Berzina

Wanita yang sentiasa memperhiasi diri dengan amal soleh dan menjahui segala larangan Allah SWT mempunyai kedudukan istimewa di sisiNya. Tuduhan dan fitnah berzina yang dilemparkan kepada wanita solehah mengundang kemurkaanNya. Taubat hanya diterima jika mendapat kemaafan daripada wanita tersebut.

Melakukan Atau Menuntut Ilmu Sihir

Amalan sihir boleh merosakkan iman kerana bersekutu dengan syaitan yang menyesatkan. Sihir adalah sebahagian bentuk syirik kepada Allah SWT dan ia adalah dosa besar yang tidak diampuni. Amal kebaikan hanya akan dikira apabila mereka bertaubat dan kembali mentauhidkan Allah SWT.

 Mengambil Harta Anak Yatim Secara Haram

Memakan harta anak yatim antara perkara yang dibenci Allah SWT kerana tiadanya sifat amanah dan belas ihsan terhadap anak-anak tersebut. Taubat hanya diterima setelah dikembalikan semula harta yang telah diambil dan memohon maaf daripada anak tersebut.

Sumber Gambar: Depositphotos