7 Ramuan Semula Jadi Untuk Rawat Gastrik

Anda boleh cuba sendiri ramuan ini.

Gastrik adalah salah satu masalah kesihatan yang sering berlaku apabila anda ‘skip’ atau makan lambat, stress, makan hidangan yang pedas atau hadapi masalah penghadaman. Masalah ini boleh diatasi dengan ubat daripada doktor atau anda boleh cuba ramuan semula jadi ini.

Daun kunyit

Kaya dengan antioksidan dan mampu meningkatkan pertahanan tubuh juga melawan sebarang penyakit. Caranya, tumbuk lumat dan campurkan bersama segelas susu. Amalkan setiap hari hingga hilang sakit gastrik.

Daun jambu batu

Bukan hanya buahnya sahaja yang enak dimakan. Daun jambu batu juga kaya dengan khasiat dan berfungsi sebagai penawar pelbagai penyakit. Rebus daun jambu batu hingga mendidih, kemudian tapis airnya dan minum.

Halia

Pasti semua sudah tahu halia memang berkesan melegakan perut kembung dan berangin. Selain itu, ia juga mengandungi banyak khasiat serta bersifat anti-kanser. Anda boleh cuba kunyah halia setiap hari selepas makan atau campurkan hirisan halia dalam makanan. Cuba juga minum teh halia untuk atasi masalah gastrik.

Soda Penaik

Soda penaik pun boleh dijadikan sebagai penawar gastrik. Sodium bikarbonat yang terdapat dalam soda penaik ini bertindak sebagai antasid, lalu membantu meneutralkan asid dalam perut. Campurkan suku sudu soda penaik ke dalam segelas air dan minum.

Cuka Epal

Masukkan dua sudu cuka epal dalam air suam dan biarkan seketika baru diminum. Seeloknya cari cuka epal yang asli dan tidak dicampur dengan bahan lain. Rasanya mungkin agak masam tetapi ia baik untuk tubuh. Selain cuka epal, anda juga boleh cuba cuka kurma.

Kayu Manis

Sering digunakan dalam masakan seperti sup, kurma dan kari. Ia juga boleh digunakan untuk merawat gastrik. Caranya, rebus kayu manis hingga mendidih dan biarkan sejuk sebelum diminum. Cara lain, masukkan setengah sudu serbuk kayu manis dan madu dalam segelas susu suam dan minum atau boleh tambahkannya ke dalam teh.

Bawang Putih

Mengandungi allicin, salah satu komponen biologi aktif paling utama yang berfungsi sebagai zat antibakteria. Anda boleh panggang dua ulas bawang putih, buang kulitnya dan makan begitu sahaja. Atau anda boleh rebus bawang putih bersama lada hitam beberapa minit dan biarkan sejuk. Amalkannya dua kali sehari.

Sumber Gambar: Depositphotos