5 Tanda Anda Perlu Tahu Untuk Kenal Pasti Penyakit Batu Karang

Jangan biarkan rasa sakit berlarutan!

Gejala penyakit batu karang mungkin sering dipandang ringan oleh sesetengah orang kerana ia tidak begitu serius seperti penyakit lain. Namun begitu, jika batu karang ini bergerak, ia mungkin akan menyebabkan kesakitan. Oleh itu, penting sekali untuk anda mengenal pasti tanda penyakit ini dan dapatkan nasihat doktor.

Jelita kongsikan beberapa petanda yang perlu anda tahu.

Kesakitan Yang Teruk

Anda mungkin akan merasakan kesakitan pada bahagian perut, belakang dan pangkal paha. Ini berlaku apabila batu karang mula bergerak dan tersekat dalam saluran ureter yang sempit, sekali gus memberikan tekanan di buah pinggang. Apabila batu karang bergerak, rasa sakit turut akan muncul pada bahagian belakang dan pangkal paha.

Perubahan Pada Air Kencing

Terdapat juga beberapa perubahan yang akan berlaku pada air kencing.

  • Anda mungkin akan rasa ingin kerap terkencing apabila batu karang mula bergerak sehingga sampai ke  pundi kencing. Ini mungkin akan menyebabkan rasa sakit semasa membuang air.
  • Jumlah air kencing juga akan berkurangan. Ini adalah kerana batu yang tersangkut di dalam ureter. Ia juga boleh menghentikan aliran air kencing.
  • Darah mungkin akan muncul di dalam air kencing kerana terdapat batu karang di saluran kencing. Bau kurang menyenangkan adalah petanda bahawa anda mungkin mempuyai jangkitan di buah pinggang yang juga boleh menyebabkan air kencing berubah warna.

Sejuk Dan Demam

Mempunyai suhu badan yang tinggi bermakna terdapat jangkitan dalam saluran kencing atau buah pinggang. Ini boleh mengakibatkan komplikasi.

Rasa Mual

Rasa mual ini biasanya disertai dengan muntah. Ini disebabkan oleh buah pinggang dan saluran gastrousus yang berkongsi sambungan saraf. Gejala ini juga boleh mengakibatkan rasa sakit yang sangat teruk.

Rasa Lemah dan Penat

Fungsi buah pinggang mungkin berkurangan jika anda menghidap batu karang. Oleh itu, pengumpulan toksin boleh berlaku d dalam badan. Anda mungkin akan merasa lebih letih daripada biasa dan turut merasakan kesakitan yang teruk, sekali gus membuatkan anda rasa lemah.

Sumber: Healthline.com, MedicalNewsToday.com dan kidneystones.uchicago.edu
Sumber Gambar: Depositphotos