Pelawak Jepun, Naomi Watanabe Dipilih Sebagai Duta Global Jenama Fesyen Terkenal

Tampil dengan kempen digital bersama Kate Spade.

Jenama fesyen terkenal, Kate Spade New York telah memilih pelawak, pelakon dan pereka fesyen Jepun, Naomi Watanabe sebagai duta global jenama itu pada tahun 2020 sekali gus meneruskan usaha jenama itu untuk merayakan wanita yang berlainan menjalani hidup yang bergaya.

Sebagai simbol keyakinan, kegembiraan dan keaslian, semangat Naomi menjalani kehidupannya adalah antara faktor dia dipilih menjadi duta. Dia menggalakkan wanita untuk menyatakan keperibadian mereka setiap hari.

Kerjasama antara dua nama besar ini akan bermula pada musim bunga tahun ini dengan kempen digital beg tangan yang akan menampilkan gabungan video dan imej. Kempen bermusim ini menyoroti gaya baru dalam koleksi beg tangan popular jenama itu, Margaux yang tampil dengan rekaan dan warna yang unik.

Menurut Nicola Glass, Pengarah Kreatif Kate Spade New York, Naomi dipilih sebagai duta global jenama itu kerana dia mewakili semua wanita. Jenakanya dan cintanya pada kehidupan adalah ciri yang sempurna untuk jenama tersebut.

Kempen ini akan dilancarkan pada 27 Januari dan akan dijalankan pada platform digital seluruh dunia.