Neelofa Jadi Ilham Rekaan Kasut Pereka Terkenal Dari Itali

Dua kasut edisi terhad ini direka untuk ikon fesyen negara

Pereka fesyen Itali, Giuseppe Zanotti telah mereka koleksi kasut eksklusif untuk ikon fesyen Malaysia, Neelofa. Rekaan kasut yang diilhamkan oleh gaya unik dan sikap Neelofa terhadap fesyen.

Dua koleksi kasut yang diberikan nama “Dazzling Liza for Neelofa” dan “Mirror Liza for Neelofa” akan dilancarkan pada akhir bulan November sebagai sebahagian daripada koleksi musim bunga dan panas 2020 dan boleh didapati dalam kuantiti terhad secara eksklusif di butik Giuseppe Zanotti di Pavilion Kuala Lumpur.

Kasut edisi terhad ini menampilkan reka bentuk yang elegan. “Dazzling Liza for Neelofa” direka dengan suede biru terang dan ditaburi oleh kristal iridescent yang melambangkan keyakinan wanita sementara “Mirror Liza for Neelofa”, direka dengan kulit metalik rona perak atau rose gold, memberikan penamat yang lebih berani.

Zanotti dan Neelofa bertemu pada bulan Jun untuk membincangkan dengan lebih jelas mengenai ciptaan kasut tersebut. Pertemuan tersebut adalah pertemua kedua mereka selepas Neelofa membuat penampilan di pertunjukan fesyen musim luruh dan sejuk di Milan yang diadakan pada bulan Februari yang lalu. Pada bulan September, kedua ikon ini bertemu lagi apabila Neelofa menghadiri pertunjukan fesyen Wanita Musim Bunga dan Panas 2020 di Milan.

Bagi Neelofa, rekaan kasut ini bagaikan impian menjadi kenyataan dan dia turut berharap peminat dan orang ramai akan menyukai rekaan kasut ini.