Meriahkan Hujung Tahun Anda Dengan Gincu Dan Wangian Ini

Tampil menyerlah di tahun baru dengan Chanel

Tahun 2019 kini sudah hampir ke penghujungnya. Inilah masanya untuk menambah koleksi solekan anda untuk tahun hadapan dengan dua produk menarik ini.

Pada tahun 2020, Chanel membawakan dua wangian terbaru dalam edisi terhad iaitu Chance Fragrance Pens dan Chance Eau Tendre Hair Oil. Dua produk ini sangat praktikal dan boleh diletakkan dalam beg dan dibawa ke mana sahaja seperti azimat bertuah untuk menyegarkan semula kulit dan rambut anda.

Chance Fragrance Pens

Chance Fragrance Pens ini hadir dalam empat haruman yang berbeza dalam bentuk yang mudah untuk di bawa ke mana sahaja. Sapukan hujung pen terus ke kulit anda untuk memberikan aroma berkekalan sepanjang hari sesuai mengikut mood anda. Hadir dalam empat aroma berbeza, Chance untuk wangian yang lebih ceria Chance Eau Fraîche untuk wangian yang lebih segar dan bertenaga, Chance Eau Tendre untuk wangian yang lebih lembut dan Chance Eau Vive untuk wangian yang lebih sensasi.

Chance Eau Tendre Hair Oil

Haruman berasaskan bungan dan buahan ini kini tersedia dalam bentuk minyak rambut yang membentuk koleksi penjagaan dan wangian dalam satu produk baru yang unik. Formula yang diperkaya dengan minyak jojoba menjadikan rambut lembut, berkilat dan ringan. Sapukan sedikit minyak rambut Chance Eau Tendre pada rambut anda untuk dapatkan mahkota yang lebih terurus dan paling penting sekali, wangi. Saiz 35ml ini memudahkan anda untuk membawanya ke mana sahaja.

Rouge Allure Camélia

Selain minyak wangi, Chanel turut mengeluarkan koleksi gincu dengan rona yang menarik. Untuk penciptaan eksklusif ini, Chanel telah menggunakan salah satu simbol jenama tersebut, Camellia untuk memberikan nafas baru pada koleksi ikonik gincu jenama tersebut iaitu Rouge Allure dan Rouge Allest Velvet. Direka dalam bentuk bunga yang menjadi kegemaran Gabrielle Chanel, penutup emas gincu ini tampil dengan corak bunga kamelia yang cantik. Diberikan nama Rouge Allure Camélia, koleksi gincu ini hadir dalam lapan palet warna berbeza dari rona putih hingga ke ungu.

Gincu ini turut dipasangkan dengan pensil bibir, Le Crayon Lévres yang kini tampil dengan formula baru untuk memberikan keselesaan dan warna yang lebih menarik. Ia melukis bahagian luar bibir dengan tajam dan tepat juga memastikan solekan bibir anda sempurna sehingga lapan jam.