Inspirasi Lautan Bonia Isole Sempena Ulang Tahun Ke-45

Sesuai untuk dibawa pergi bercuti.

Mengembara merentas lautan dengan koleksi Bonia ISOLE Musim Bunga/Panas 2020. Bebas, bersahaja namun tetap moden, koleksi baru ini menampilkan cinta Bonia pada lautan serta kehidupan di dalamnya.

Koleksi ini turut menandakan sambutan ulang tahun ke-45 jenama tersebut selaku peneraju serta pakar barangan kulti mewah yang mengetengahkan kualiti rekaan dan penghasilannya. Dengan pelbagai pilihan serta barangan kulit berkualiti tinggi untuk lelaki dan wanita, koleksi baru ini menawarkan variasi produk daripada beg pinggang, beg silang, beg sandang hinggalah ke beg kamera dan beg galas bersaiz besar.

ISOLE adalah terjemahan daripada bahasa Itali iaitu ‘pulau’, dan koleksi ini memberi penghormatan kepada spektrum warna yang menggabungkan keharmonian biru gelap dan hijau yang memberi kontra pada rona kuning terang juga rona tanah yang menonjolkan lagi rekaannya.

Terdiri daripada koleksi untuk lelaki dan  wanita, rangkaian terbaru ini pasti akan membuatkan gaya percutian anda lebih menyerlah.

Koleksi Bonia ISOLE Musim Bunga/Panas 2020 Untuk Wanita

Cascara Sonia

Diberikan nafas baru dengan tema nautika, rangkaian kegemaran ramai ini memberikan penghormatan kepada khazanah lautan dalam yang menjadi tulang belakang kepada alam semula jadi. Koleksi ini menggabungkan rona cerah hidupan marin yang sering ditemui pada bahagian dalaman kulit cengkerang. Dihiasi dengan fabrik hologram, rangkaian ini penuh dengan tenaga utilitarian, namun penuh perincian, yang menyerlahkan warna magis lautan. Koleksi ini hadir dalam tiga rekaan menonjol yang menyerlahkan motif marin, setiap satunya dengan multiwarna, putih dan merah jambu. Koleksi Cascara Sonia ini turut menyediakan himpunan kasut, yang berharga RM499 sementara beg tangan berharga RM1,199.

Ocenia Sonia

Mengimbau kembali momen di tepian pantai, koleksi ini mengambil inspirasi daripada misteri pengembaraan menyelam ke gua lautan dalam. Dengan rona gelap pada seakan logam senjata yang diserikan kilauan emas serta tekstur timbul buaya berpaten, beg ini memberikan penghormatan kepada kegembiraan menemui formasi batu menarik dan kawasan yang belum diterokai. Koleksi ini boleh didapati pada harga RM1,799.

Fin

Koleksi ini memberikan penghormatan kepada makhluk mamalia paling gah di dalam lautan iaitu ikan paus. Ia mengetengahkan ciri fizikal kental yang ada pada seekor ikan paus sebagai contoh sirip dan layangan warna hitam berlatarbelakangkan putih pucat pada bahagian bawah. Rekaan yang menyerlah lagi praktikal. Terdiri daripada beg silang ke beg galas, koleksi ini hadir dalam warna biasa dan kontra, dengan harga bermula dari RM799 hingga RM1,299.

Riva

Mengambil ilham daripada tekstur semula jadi pasir pantai, himpunan Riva hadir dalam rona kuning dan pudina, serta garis simetri, kotak mini serta beg kotak bersegi. Koleksi versatil ini boleh dibawa untuk aktiviti kembara dan boleh didapati pada harga RM700 hingga RM899.

Ray

Diilhamkan oleh bentuk ikan pari, rangkaian Ray ini menyoroti tumpuan pada beg hobi dengan bentuk sabit yang halus dan versatil. Harganya antara RM1,066 hingga RM1, 399.

Damiano

Koleksi ini adalah ekspresi kepada ciptaan klasik yang tidak ditelan zaman dan antara tanda pengenalan utama Bonia. Gabungan warna serta cetakan bunga yang pelbagai, ditambah dengan saiz petak monogram yang dikemas kini, koleksi kapsul ini mempamerkan komitmen Bonia dalam menghasilkan barangan kulit segar dan bergaya yang sesuai untuk gaya moden. Daripada beg silang kulit, beg bucket, beg bahu dan beg mini ke ruangan yang lebih besar seperti beg tote, beg galas dan beg kembara, Damiano adalah penyelesaian gaya untuk percutian musim panas yang menyeronokkan! Harganya bermula daripada RM999 hingga RM1,899.

Koleksi Bonia ISOLE Musim Bunga/Panas 2020 Untuk Lelaki

Meletakkan laut biru dalam sebagai inspirasi, koleksi lelaki ini menyerlahkan impak sporty dan sisi gelap yang menepati elemen lautan dalam. Ia tercetus daripada elemen peralatan skuba, perkakasan utilitarian, peralatan tentera laut, efek seakan sinar x dari spesimen lautan dan makhluk lain yang menghuninya. Koleksi ini termasuk sandal, selipar, sneaker, beg pinggang, beg messenger dan beg galas pelbagai saiz. Menampilkan variasi kulit dan vinil, rangkaian ini pastinya menambah satu lagi daya tarikan misteri si jejaka. Koleksi ini bermula dari harga RM439 hingga RM899.

Seiring dengan matlamat Bonia untuk mencetuskan semula makna tradisional menerusi rekaan malar segar, ditambah dengan elemen terkini, koleksi Bonia ISOLE musim ini turut memberikan nafas baru kepada beberapa barangan arkib Bonia sepanjang empat dekad lalu.

80-an- Koleksi Antico

Pernah diangkat sebagai jiwa kepada semua koleksi BONIA pada tahun 80-an, Antico menggabungkan keindahan semula jadi tekstur kulit lembu dengan penggayaan rapi, yang menyerlahkan hasil jahitan jarum tunggal. Koleksi ini menggunakan kulit mesra alam – di mana semua dye yang digunakan, bahan kimia, tekstil dan material adalah daripada bahan yang boleh dibiodegradasi, boleh digunakan semula dan dikitar semula – untuk menghasilkan rekaan vintaj yang digemari ramai. Dengan tali pengikat baru (webbing strap) dalam versi yang dikemas kini, Antico mempersonakan semula kemewahan kulit semula jadi dan hasil kerja tangan berkualiti tinggi.

90-an-Koleksi Monogram

Tanda pengenalan yang penuh berbeza. Serlahan keperibadian tersendiri. Simbol status. Koleksi Monogram ini diilhamkan oleh gaya hidup aristokrasi Eropah abad ke-19, di mana keluarga Diraja dan bangsawan akan menandakan harta benda mereka dengan monogram, tanda nama, tanda kebesaran, lambang dan tanda cetakan timbul. Era ini, monogram mengekalkan warisannya sebagai simbol kecanggihan, kemodenan dan keanggunan si pemakai. Koleksi untuk lelaki dan wanita ini menyerlahkan gaya kental dengan perincian halus bagi memastikan kecantikan klasiknya dapat diperturunkan daripada generasi ke generasi berikutnya.

10-an Trunk Itali

Padanan menarik trunk Itali ini menggabungkan trunk klasik dan moden dengan perincian mewah. Setiap trunk Itali ini adalah hasil kerja tangan yang menggunakan kulit Palmellato dan disertakan dengan enam pilihan bagi melengkapkan pengembaraan anda.

Kesemua koleksi ini boleh didapati di semua butik BONIA seluruh negara mulai Disember 2019 atau layari laman sesawang rasmi Bonia.