Datuk Rizalman Bersara Dari Dunia Fesyen

Terima kasih, Datuk Rizalman!

Setelah 30 tahun berkecimpung dalam dunia fesyen, pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim mengumumkan berita pengunduran diri dari industri itu.

Pengumuman itu dibuat pada Konsert Kesuma Jiwa 2020 di Panggung Sari, Istana Budaya malam semalam.

“Saya minta izin mengundurkan diri dari arena fesyen. Saya menyerahkan tanggungjawab kepada pembantu, Faizul Surani yang telah bersama saya sejak 15 tahun yang lalu. Keputusan ini dibuat sejak tahun lalu dan selepas ini saya ingin fokus kepada cabang lain termasuk hiasan dalaman, kosmetik dan kecantikan.”- Datuk Rizalman, Berita Harian.

Konsert Kesuma Jiwa itu turut disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan menampilkan persembahan daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Sherry Alhadad dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai konduktor muzik bagi koir.

Datuk Rizalman turut memperagakan koleksi terakhirnya sebagai pereka fesyen hasil kerjasama dengan gedung dalam talian terkenal, Zalora. Menurutnya, konsert itu dianggap sebagai terjemahan eratnya silaturrahim bersama dengan semua pengikutnya.

Pada konsert tersebut, Dayang telah mendendangkan lagu malar segar yang diberikan nafas baru antaranya Kesuma Jiwa, Bisikan Hati, Laksamana Raja Di Laut dan Tari Tualang Tiga. Tidak ketinggalan, Dayang turut mempersembahkan lagu popularnya, Di Pintu Syurga yang diberikan alunan lenggok asli.

Sumber Gambar: Instagram Datuk Rizalman