Kerjasama Ratu Rock Negara & Jenama Pakaian Muslimah

Gaya baju Muslimah menambat hati Ella.

Jenama pakaian Muslimah tanpa gosok nombor satu, Sabella, tidak teragak -agak memilih Ratu Rock Negara, Ella sebagai duta pertamanya sejak bulan lalu dalam tempoh setahun kontrak. Malah, apa yang lebih istimewa adalah apabila kerjasama mereka ini memberikan simbolik tersendiri kerana nama Sabella sendiri mempunyai bunyi nama Ella.

Semuanya bagaikan sudah tertulis kerana sejak 2016 jenama Sabella mula mengorak langkah hingga dikenali, pasangan suami isteri, Mohd Sufian Sulaiman (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Siti Fatimah Abd Samat (turut dikenali sebagai Siti Sabella dan juga sebagai Pengasas) memilih untuk bermula dari bawah tanpa menggunakan pengaruh popular termasuk di kalangan artis. Namun, kerjasama sulung Sabella dan Ella ini disifatkan sebagai ruang untuk terus melebarkan jenama itu ke peringkat yang lebih membanggakan. Nama Sabella sebenarnya diambil dan diilhamkan daripada nama anak kedua Sufian dan Siti Fatimah, Faiqa Salsabila.

Ella Hargai Usaha Murni Sabella

Ella atau nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 53, sendiri yang ditemui pada sidang media Sabella x Ella di The Love @ Matic, KL sendiri cukup optimis dengan kerjasama ini.

“Saya sendiri menyokong apa yang diusulkan Sabella yang bertujuan membantu masyarakat menceburi perniagaan, sekali gus memberi variasi dalam pakaian Muslimah dengan harga berpatutan dan mampu milik. Ia seperti dakwah kecil saya dan jenama ini dalam menggalakkan wanita berpakaian menutup aurat.

“Jika selama ini mereka tular dengan baju tanpa gosok ingat Sabella, lepas ini ingat Sabella…jangan lupa mimpi Ella sekali okey,” seloroh isteri kepada Azhar Ghazali yang dinikahinya sejak Julai 2012.

Diusik dengan persoalan adakah dia menerima bayaran lumayan untuk tugas sebagai duta jenama itu, Ella hanya tersenyum manja.

“Macam saya katakan tadi, matlamat dan visi Sabella cukup jelas. Melihat anak muda yang ingin membantu masyarakat dan berdakwah dengan penghasilan baju Muslimah, ia sememangnya harus dicontohi oleh semua usahawan lain. Apatah saya sendiri juga menceburi dunia perniagaan. Banyak perkara sebenarnya yang buat saya sendiri jatuh hati dengan Sabella. Namanya pun sudah dekat dengan nama Ella. Rekaan yang dikeluarkan juga sangat cantik dan kemas, selain mampu dibeli oleh semua golongan termasuk pelajar universiti. Pendek kata sesuai untuk semua peringkat usia. Bab bayaran itu, saya rasa tak perlu untuk dikongsi umum. Cuma jumlah yang dipersetujui membuatkan kedua-dua belah pihak gembira,” katanya.

Sabella Mahu Kekal Relevan

Sementara itu, Mohd Sufian Sulaiman pula melihat pemilihan Ella seiring dengan penyanyi itu yang masih relevan hingga kini, biarpun sudah lebih tiga dekad mewarnai pentas seni.

“Jenama Sabella juga mahu menjadi pilihan yang relevan sampai bila-bila seperti Ella. Kelompok peminat Ella sendiri bukan hanya daripada golongan dewasa, malah generasi muda turut mengaguminya.

“Begitu juga impian kami supaya dapat terus diterima dalam tempoh yang panjang. Kontrak Ella bermula Februari lalu untuk tempoh setahun. Insyaallah kerjasama ini akan diteruskan dari tahun ke tahun,” kata Mohd Sufian.

Apa istimewanya Sabella berbanding jenama Muslimah lain?

“Seperti sedia maklum, Sabella adalah pengeluar baju Muslimah tanpa gosok nombor satu di Malaysia. Sabella bukan sahaja menjual pakaian Muslimah yang menepati cita rasa, bahkan turut membuka peluang perniagaan kepada suri rumah untuk menjana pendapatan dari rumah secara percuma. Sehingga kini Sabella telah melahirkan tiga jutawan dan telah membantu hampir 13,000 orang untuk menjana pendapatan.

“Kami mensasarkan dengan memilih Ella sebagai duta dapat terus membakar semangat serta membantu rakyat Malaysia, khususnya wanita untuk memakai pakaian Muslimah yang berkualiti dan berpatutan serta mampu melahirkan jutawan. Kami sentiasa mengalu-alukan dan membuka ruang menambah pendapatan dengan menggalakkan semua di luar sana untuk menyertai Sabella sebagai dropship secara percuma dan boleh terus Facebook Fanpage, Sabella.hq atau ikuti perkembangan di Instagram, @sabella_co ,” terangnya lagi.