Pilih Beg Yang Sesuai Dengan Bentuk Badan

Baru nampak bergaya!

Untuk mendapatkan penampilan terbaik, anda harus fikirkan segalanya daripada rambut, solekan, baju, kasut, aksesori sehinggalah beg yang akan dipadankan. Beg tangan adalah antara aksesori paling penting buat wanita.

Beg tangan juga boleh membantu menyerlahkan lagi bentuk badan jika memilihnya dengan betul. Jadi, Jelita kongsikan cara mudah untuk anda pilih beg yang sesuai.

Bentuk Badan Segi Tiga Terbalik

Berikan perhatian di sekitar kawasan pinggang untuk menghasilkan penampilan seimbang. Ciri beg yang perlu dipertimbangkan adalah panjang dan lebar tali. Oleh kerana bentuk badan jenis ini mempunyai dada yang agak lebar, pastikan beg yang dipilih bukan jenis beg bahu yang terlalu kecil atau terlalu besar dengan tali yang besar. Anda boleh cuba beg silang, beg tali pinggang, beg tangan atau clutch.

Bentuk Badan Bersegi

Anda perlu menambahkan lengkuk pada bentuk badan untuk seimbangkan rangka tubuh yang tajam itu. Untuk itu, reka bentuk dan bahan beg tangan adalah sangat penting. Kawal panjang tali beg agar ia jatuh terletak di sekeliling pinggul dan elakkan beg berbentuk struktur dan geometri. Sebaliknya, pilih beg tangan daripada kulit lembut dan besar, beg tote dan beg hobo.

Bentuk Badan Buah Pear

Anda pasti tidak mahu kelihatan lebih besar dari bahagian pinggang ke bawah. Jadi, fokuskan pada bahagian bahu dan dada. Untuk ini, pastikan tali beg itu tidak terlalu panjang, Beg tangan tidak boleh jatuh di bawah garis pinggang. Cuba beg bahu, beg bucket dan jika sukakan beg tali pinggang, gayakannya di bahagian dada.

Bentuk Badan Buah Epal

Cipta ilutsi untuk mengimbangi bentuk tubuh anda. Saiz dan reka bentuk beg tangan yang dipilih akan memberikan perbezaan pada penampilan. Elakkan beg bersaiz kecil, pendek dan tidak berstruktur. Pilih beg yang besar. Beg tangan tote kulit keras dan beg top handle adalah pilihan tepat untuk anda.

Bentuk Badan Jam Pasir

Tahniah, anda adalah salah seorang yang bertuah! Walaupun anda boleh memilih beg yang diingini pastikan ia tidak melindungi bentuk badan. Mungkin boleh cuba beg dengan tekstur atau corak dan padankan dengan pakaian ringkas untuk kesan yang lebih dramatik.

Sumber Gambar: Depositphotos