Cara Betul Menjaga Rambut Untuk Wanita Bertudung

Tiada lagi masalah rambut yang mengganggu.

Rambut adalah mahkota wanita dan ia perlukan penjagaan yang rapi terutama buat wanita yang bertudung. Bukan sahaja untuk dijadikan tatapan suami tersayang, penjagaan rambut yang betul dapat membantu mengelakkan masalah rambut yang lain seperti cepat beruban, rosak ataupun gugur.

Oleh itu, Jelita kongsikan cara mudah untuk menjaga rambut anda.

Rambut Bebas Bernafas

Beri perhatian yang lebih terhadap rambut berbanding individu yang tidak berhijab. Ini kerana apabila berhijab, kepala anda menjadi berkuap dan mudah berbau. Tambahan lagi, anda akan ikat dan sanggul rambut ketika berhijab. Apabila sampai sahaja di rumah, segera buka ikatan rambut dan biarkan ia ‘bebas’ seketika bagi memberikan udara dan angin masuk.

Rutin Syampu

Anda tidak seharusnya mencuci rambut setiap hari. Ini kerana ia akan menghilangkan sebum minyak natural yang ada pada rambut. Namun, terpulang kepada individu itu. Contohnya, hari itu anda bekerja di luar, dan terdedah kepada cahaya matahari, anda pasti tidak selesa dengan kulit kepala yang berpeluh dan gatal. Untuk itu, anda boleh cuba syampu dengan rumusan khusus untuk melegakan kulit kepala agar ia kembali bersih dan tidak gatal. Apa yang disarankan, mencuci rambut dua atau tiga hari sekali.

Keringkan Rambut Sebelum Memakai Hijab

Ini sangat penting! Pastikan rambut anda benar-benar kering sebelum mengenakan tudung. Jika tidak, rambut yang basah itu akan berkuap, lalu menyebabkan rambut menjadi busuk, kulit kepala gatal dan mungkin ada kutu rambut. Cara yang boleh anda lakukan, jika kesuntukan masa, boleh keringkan rambut dengan pengering rambut. Jika punya masa, keringkan secara natural iaitu lepas dan angin-anginkan rambut selama lima minit selepas mandi.

Pilih Fabrik Yang Sesuai

Sebaiknya pilih fabrik tudung yang lembut dan ringan, kerana ia akan menyerap peluh dengan cepat. Begitu juga dengan anak tudung atau serkup. Pilih yang tidak terlalu ketat, tebal atau terlalu labuh untuk lebih selesa dan tidak panas.

Cuci Atau Tukar Dengan Kerap

Jangan lupa cuci atau tukar tudung dan serkup kepala anda dengan kerap untuk aspek kebersihan. Peluh dan kesan kelemumur yang melekat padanya boleh membuatkan rambut anda bertambah busuk dan mudah rosak.

Guna Produk Rumusan Lembut

Jangan gunakan rangkaian produk penjagaan rambut yang mempunyai bahan kimi terlalu kuat, ini akan merosakkan rambut anda. Pilih seleksi produk yang dirumus dengan bahan natural dan sesuai untuk merawat kulit kepala khusus untuk gadis berhijab.

Sumber Gambar: Depositphotos