8 Kesalahan Penjagaan Kulit Yang Akan Buat Liang Pori Lebih Besar

Jangan lakukannya!

Minyak berlebihan, sel kulit mati, kotoran dan bakteria adalah punca liang pori tersumbat dan menjadikannya lebih besar.

Tetapi tahukah anda, tabiat menjaga wajah yang tidak betul juga boleh menyebabkan liang pori lebih besar? Jelita kongsikan lapan kesalahan yang perlu anda elakkan dalam rutin penjagaan kulit.

Kerap Menggunakan Kertas Menyerap Minyak

Kertas menyerap minyak boleh menjadi penyelamat semasa hari panas apabila kulit cenderung untuk berminyak dan berpeluh. Bagaimanapun, menggunakannya dengan kerap tidak begitu bagus. Hakikatnya, kulit anda memerlukan sedikit lapisan minyak. Dengan mengeluarkannya secara berterusan akan memaksa kulit menghasilkan lebih banyak dan ini menyebabkan liang tersumbat dan nampak lebih besar.

Singkirkan Bintik Hitam, Putih Dan Jerawat Secara Paksa

Ya, memang memuaskan bila dapat memicit jerawat tetapi ia perlu dilakukan dengan betul. Terdapat bakteria pada kulit dan dengan memicit jerawat akan mendedahkan luka pada bakteria ini. Jika anda memicit jerawat sebelum waktunya, bakteria akan masuk ke dalam lapisan kulit. Dan ini akan menyebabkan liang pori membesar dan wajah berparut.

Terlalu Banyak Eksfoliasi

Eksfoliasi dapat membantu menghilang kotoran, sel kulit mati dan minyak berlebihan. Rutin ini akan menyegarkan dan membuatkan liang kelihatan lebih kecil. Namun begitu, anda hanya perlu lakukannya satu hingga dua kali seminggu. Lebih daripada itu boleh menyebabkan kulit kering dan liang pori terbuka dan tanpa lapisan minyak, kulit akan menyerap debu dari persekitaran. Mencuci wajah lebih daripada dua kali sehari juga akan menghilangkan lapisan minyak semula jadi.

Membiarkan Kulit Kering

Kulit kering akan menyebabkan kedutan sekali gus membuatkan anda kelihatan lebih tua. Selain itu, ia juga menyebabkan pori menjadi lebih besar. Elakkannya dengan memakai toner dan pelembap yang sesuai dengan jenis kulit.

Menggunakan Produk Yang Menyumbat Liang Pori

Terdapat beberapa produk yang sangat popular digunakan dalam penjagaan kulit tetapi tidak sesuai digunakan pada wajah. Cocoa butter, minyak kelapa dan krim lanolin mempunyai ciri menyumbat liang pori. Bahan ini mungkin sesuai untuk melembapkan kulit tetapi ia juga akan menyebabkan kotoran tersumbat di dalam kulit.

Menambah Solekan Terlalu Kerap

Solekan anda mungkin pudar setelah beberapa jam. Tidak salah untuk menambahnya tetapi jangan lakukannya dengan kerap. Kulit anda menghasilkan minyak dan dengan sentiasa menambah bedak pada wajah, ia akan menghasilkan lapisan minyak, kotoran dan solekan dan ini akan menyebabkan jerawat pada wajah.

Mengambil Makanan Tidak Berkhasiat

Produk tenusu, alkohol dan makanan tinggi gula, pedas atau goreng sangat berbahaya pada kulit. Makanan ini boleh mencetuskan keradangan di dalam badan dan membawa kepada kulit berjerawat. Jerawat akan melemahkan kelenjar sebum dan pembukaan folikel rambut yang menjadikan liang pori lebih besar.

Tidak Menggunakan Krim Tabir Suria

Pendedahan kepada matahari boleh memudaratkan kulit. Ia menjadikan kulit lebih tebal, menghilangkan kolagen, elastin dan air. Selain itu, ia juga akan menyebabkan pengecutan tisu dan membuatkan bahagian tepi liang pori mengembang. Jadi, memakai krim perlindungan matahari adalah sangat penting!

Sumber Gambar: Depositphotos