6 Kesalahan Yang Boleh Buat Rambut Anda Berminyak

Dan juga cara untuk menyelesaikannya!

Kulit kepala harus menghasilkan minyak dalam kadar tertentu untuk mengekalkan lembapan dan melindungi rambut dengan mewujudkan penghalang nipis di antaranya dan alam sekitar.

Tetapi sebum yang berlebihan boleh menyebabkan beberapa masalah rambut seperti rambut kusam, kulit kepala gatal dan masalah kelemumur. Jelita senaraikan kesilapan kerap dilakukan yang boleh menyebabkan penghasilan sebum berlebihan.

Ikat Rambut Terlalu Ketat

Ramai yang menyangka mengikat rambut dengan gaya ekor kuda dapat menyembunyikan rambut berminyak tetapi ia adalah sebaliknya. Rambut mungkin kelihatan kemas tetapi ia juga menyebabkan sebum berkumpul di bawah rambut dan akarnya. Gaya rambut yang kemas juga memerlukan banyak penggunaan produk rambut dan ini menjadikan rambut lebih berminyak.

Apa perlu dilakukan: Jangan keterlaluan dengan produk rambut atau gaya rambut yang memerlukan anda memberus dan menyentuh rambut dengan kerap.

Tidak Bilas Rambut Dengan Air Sejuk

Air panas memang sangat baik untuk membuka liang dan kutikel rambut dan mengeluarkan kotoran, tetapi ia mungkin boleh merosakkan rambut anda. Ia mencuci sebum dan boleh mengeringkan kulit kepala hingga menyebabkan pengeluaran minyak dan kelemumur secara keterlaluan.

Apa perlu dilakukan: Lebih baik gunakan air suam sebelum menggunakan syampu dan perapi kemudian bilas rambut dengan air sejuk selepas membasuhnya untuk menutup kutikel rambut anda.

Salah Memilih Produk Rambut

Kebanyakan pakar menasihatkan supaya berhati-hati dengan produk yang dilabel sebagai ‘intensif’ kerana ia mungkin terlalu berat untuk rambut anda. Ia juga akan menutup rambut dengan lapisan perlindungan nipis yang menjadikan rambut kelihatan lebih berminyak jika anda punya rambut nipis atau kulit kepala berminyak.

Apa perlu dilakukan: Elakkan daripada menggunakan produk yang direka untuk rambut kering atau rosak. Juga lebih baik menggunakan deep cleanser untuk membersihkan sebum dan pembentukkan produk serta membantu rambut anda kekal segar. Anda juga boleh cuba ubat semula jadi seperti minyak kelapa untuk menyuburkan rambut.

Berus dan Sentuh Rambut Terlalu Kerap

Apabila kerap menyentuh rambut, secara tidak langsung anda akan memindahkan minyak dan bakteria dari tangan ke rambut yang akhirnya akan menjadikan rambut kelihatan lebih berminyak. Menyikat rambut terlalu kerap juga sebenarnya membawa keburukan daripada kebaikan. Memberus secara berterusan akan membuatkan sebum tersebar di seluruh rambut sekali gus menjadikannya kusam.

Apa perlu dilakukan: Elakkan menyentuh rambut dengan tangan terutama sekali sewaktu anda tidak sedar apabila sedang gugup atau semasa berbual. Jangan berus rambut terlalu kerap: pakar mencadangkan berus rambut dua kali sehari sudah memadai bagi mereka yang tidak mempunyai rambut keriting atau bertekstur.

Terlalu Tertekan

Tekanan membuatkan badan anda menghasilkan lebih banyak kortisol. Hormon ini akan mencetuskan kulit untuk menghasilkan lebih banyak sebum dan sebagai hasilnya, ia kelihatan dan terasa lebih berminyak. Tekanan juga boleh menyebabkan kelemumur yang menjadi salah satu faktor rambut berminyak.

Apa yang perlu dilakukan: Anda tidak boleh lakukan apa kecuali mengubah gaya hidup dan cuba untuk uruskan tekanan. Gunakan produk rambut khas untuk mengawal masalah kelemumur dan menjadikan kulit kepala rasa lebih selesa semasa anda menghadapi situasi sukar.

Basuh Rambut Terlalu Kerap

Membasuh rambut adalah salah satu sebab mengapa rambut jadi lebih berminyak. Seorang biologist dari luar negara mendakwa bahawa terdapat berbilion-bilion bakteria baik yang mempromosikan pH sihat kulit kepala anda. Dan apabila terlalu kerap mencuci rambut, ia akan mengganggu keseimbangan dan menyebabkan kelenjar sebum untuk hasilkan lebih banyak minyak terutama jika kita menggunakan produk penjagaan yang salah.

Apa perlu dilakukan: Cuba kurangkan mencuci rambut. Ambil perhatian kepada tempat tinggal dan masalah rambut yang anda ada. Sebagai contoh, penduduk bandar lebih cenderung untuk mencuci rambut lebih kerap daripada orang yang tinggal di kawasan luar bandar kerana debu yang melekat pada rambut.

Sumber Gambar: Freepik