4 Idea Solekan Rona Merah Yang Boleh Anda Cuba

Tampil berkeyakinan dengan solekan warna merah.

Warna merah sering melambangkan keberanian dan cinta. Ia warna yang sukar untuk digayakan terutama sekali dalam solekan wajah tetapi ia tidak mustahil jika anda tahu teknik yang betul. Dengan idea solekan yang Jelita kongsikan ini, anda boleh tampil yakin dengan solekan rona merah.

Gincu Merah

Gincu merah memang sinonim dengan wanita. Pilih warna gincu yang lebih terang dan berani jika anda mempunyai nada kulit yang gelap. Bagi yang memiliki kulit yang cerah, rona merah yang sesuai adalah merah jambu dan jika anda memiliki kulit kuning langsat, rona oren lebih sesuai.

  • Eksperimen dengan warna yang berbeza dan pilih salah satu yang boleh menambahkan seri kulit wajah anda.
  • Pilih merah jambu jika anda mahu gigi kelihatan lebih putih.
  • Jauhkan gincu dengan rona merah gelap jika anda mempunyai bibir yang nipis. Warna ini boleh membuatkan bibir anda kelihatan lebih nipis daripada biasa.

Anda juga boleh cuba gincu edisi terhad daripada Shu Uemura. Rouge Unlimited Matte ini adalah gincu matte yang licin dan ringan dan mempunyai tekstur yang boleh dilapisi dengan pelembap. Ia boleh didapati dalam enam warna merah menyala, empat rona baru yang mempunyai kesan kilauan yang membuatkan bibir kelihatan lebih menyerlah.

Warna Kuku Merah

Untuk gaya yang lebih berani, warnakan kuku anda dengan pewarna merah. Pilih warna kegemaran anda atau warna merah yang sesuai dengan busana yang digayakan. Merah gelap adalah pilihan sesuai untuk acara formal dan merah terang pula sesuai digayakan di acara kasual.

  • Sekiranya anda tidak mahu warna semua kuku dengan warna merah, warnakan kuku jari cincin dengan warna merah dan bagi kuku lain, warnakan dengan rona neutral. Ini adalah salah satu trend yang menjadikan kuku merah lebih menonjol.
  • Jika tidak suka dengan warna kuku merah, pertimbangkan untuk melekatkan nail art stickers warna merah. Lekatkannya di atas kuku yang diwarnakan dengan pewarna kuku terang untuk menambahkan percikan warna.

Pembayang Mata Merah

Tidak semua berani untuk menggayakan pembayang mata rona merah. Namun, dengan cara yang betul, anda boleh tampil menyerlah dengan pembayang mata rona merah ini.

  • Pilih warna merah yang sesuai dengan warna kulit anda. Jika anda memiliki kulit yang gelap, lebih sesuai jika anda menggayakan rona merah yang lebih gelap. Bagi rona kulit cerah, sesuai gayakan pembayang mata dengan rona rusty red dan bagi kuning langsat sesuai menggayakan warna merah terang.
  • Ratakan tona kulit. Penting sekali anda meratakan tona kulit di bahagian mata terutama sekali pada bahagian bawah mata. Jika anda punya lingkaran gelap bawah mata, gunakan concealer untuk menyembunyikannya.
  • Gunakan penggaris mata merah  untuk menonjolkan lagi kesan solekan mata anda.
  • Jika tidak berani untuk mengenakan pembayang mata rona merah sepenuhnya pada mata, anda boleh cuba solekan smokey eye dengan menggabungkan dua rona merah berbeza dalam satu solekan. Sapukan pembayang mata rona merah di bahagian dalam kelopak mata dan ratakan pembayang mata sehingga ke bahagian luar. Lapiskan dengan beberapa rona merah yang berlainan untuk kemasan yang berbeza.
  • Jika anda mengenakan solekan merah pada mata, pastikan solekan yang lain ringkas dan tidak berlebihan. Elakkan rona gincu atau pemerah pipi yang terang. Biarkan mata anda mendapat perhatian ramai.

Pemerah Pipi Rona Merah

Tambahkan seri pada solekan dengan pemerah pipi. Ia akan membuatkan kompleksi wajah kelihatan lebih sihat. Berikan fokus warna pada tulang pipi dan ratakan sehingga ke bahagian tepi wajah anda. Batasan mengenakan pemerah pipi ini bergantung pada bentuk wajah anda.

  • Jika anda memiliki tulang pipi yang tinggi, anda boleh meratakan warna pemerah pipi lebih rendah tetapi ia perlu berhenti satu inci di atas garisan rahang wajah anda.
  • Cara yang sesuai untuk mengenakan pemerah pipi adalah dengan melihat wajah pada bahagian tepi agar anda tahu lokasi sesuai untuk mengenakan pemerah pipi.
Sumber Gambar: Depositphotos dan Instagram