Dahulu arkitek, kini menerajui perniagaan fesyen dan kecantikan

Hijab kegemaran wanita sepanjang masa!

Harlina Ahmad, 43 pernah bekerja selama lima tahun sebagai arkitek serta memegang jawatan Pengurus Projek di Sime Darby dan Symphony Property Berhad selama 12 tahun. Kini wanita bervisi hebat ini menjadi Pengarah Eksekutif bagi syarikat Nafurra Global Sdn Bhd.

Harlina Ahmad, Pengarah Eksekutif Nafurra Global Sdn Bhd

Mengapakah Nafura?

Inspirasi untuk nama ini diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud air pancut. Saya tertarik dengan air kerana air memberi simbol sustainable. Selain itu, saya rasa nama Nafura ini lembut dan sesuai dengan perniagaan saya. Bukan itu sahaja, Nafura juga mudah untuk disebut dan diingati.

Bagaimana Nafura bermula? Bolehkah ceritakan serba sedikit perjalanan Nafura daripada awal sehingga sekarang?

Kami bermula dengan menjual  barangan seperti beg tote, pouch dan banyak lagi. Selepas itu, kami mula mendapat permintaan daripada pelanggan untuk pakaian ready to wear jadi kami memutuskan untuk membuat tudung bawal. Saya selalu berhubung dengan pembeli menerusi laman sosial Facebook kerana menjaga hubungan tersebut adalah penting dan ia adalah komunikasi dua hala. Kami sering bertanya pada mereka tentang produk yang mereka mahu. Menerusi maklum balas dan undian laman sosial, ramai  pelanggan mahukan tudung bawal dan daripada situlah bermulanya produk bawal kami. Selepas 6 tahun dikenali sebagai syarikat yang menghasilkan produk kecantikan, Nafura akhirnya mengenalkan tudung bawal pula.

Kongsikan cerita mengenai tudung bawal Nafura.

Koleksi bawal kami bermula pada 2018. Ketika itu kami hanya ada 23 warna untuk bawal polos. Kemudian kami berkolaborasi dengan Swarovski  untuk mengeluarkan koleksi bawal  berhias butiran kristal yang indah ini. Pihak Swarovski juga turut membuat  logo Nafura yang memiliki simbolik yang tersendiri.  Elemen yang diinspirasikan daripada kepingan salji iaitu snow flake, sesuai nama Nafura yang bermaksud air pancut.  Pihak Swarovski juga memberi beberapa contoh rekaan batu kristal dan kini kami miliki 18 rekaan untuk dipilih bersama dengan warna bawal yang diinginkan.

Apakah inspirasi Nafura buat koleksi kali ini dan apakah keunikannya berbanding yang ada di pasaran?  

Pertama sekali inspirasi untuk koleksi kali ini adalah berdasarkan logo Nafura. Daripada segi warna pula kami memilih rona pastel. Fokus kami juga adalah konsep feminin agar terlihat lembut. Ia turut sesuai dengan tema perkahwinan. Bagi penggemar tudung bawal, mereka boleh dapatkan tudung bawal untuk majlis pernikahan mereka. Kami turut menjual bawal khas untuk pernikahan bersama batu kristal Swarovski yang diberi nama Tun Teja, Mahsuri dan Zarith Sofea. Untuk koleksi ini batu kristal yang digunakan adalah batu yang paling mahal dan eksklusif.