Selera Autentik Minang di Natrabu

Selera negara seberang yang pasti tidak akan mengecewakan.

Natrabu yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini ingin membawa masyarakat tempatan untuk merasai juadah autentik Minang. Restoran Minang ini asalnya ditubuhkan Rahimi Sutan pada 1958 di Jakarta sebagai agensi pelancongan. Natrabu adalah singkatan untuk National Travel Bureau. Pada 1967, Natrabu telah membuka pintunya dengan menyediakan juadah Minang namun hanya boleh memuatkan 20 pelanggan.

Kini, mereka kian melebarkan sayap dengan tertubuhnya tiga lagi restoran di Malaysia. Biarpun bergelar fine dining, namun hidangan yang disediakan di Natrabu masih berada dalam kategori berpatutan, jadi jangan sesekali segan untuk singgah menjamu selera di sini.

Anda dijemput dengan penuh mesra ke dalam restoran berkonsepkan fine dining ini yang tampak eksklusif dengan susun atur ringkas dan membuah perasaan menenangkan kala menjamu selera. Selain itu, mereka juga mewujudkan pelamin yang mengangkat tradisi Minang yang sangat menarik. Restoran ini cukup terkenal dengan hidangan seperti Dendeng Balado, Rendang Daging, Ayam Pop, Ayam Gulai, Gulai Kikil, Terong Tempe Balado dan banyak lagi yang boleh anda pilih mengikut selera.

Tidak perlu khuatir, kesemua hidangan yang disediakan di sini tidak terlalu pedas atau terlalu kuat aromanya hingga sukar untuk anda nikmati. Ia dimasak sempurna oleh tukang masak yang diterbangkan khas dari Indonesia bagi menghasilkan rasa asli masakan Minang. Kemudian segarkan tubuh anda dengan pilihan jus yang ada seperti avokado dan tembikai susu ataupun boleh cuba Kopi O Padang mereka.

Lokasi: Natrabu Fine Dining Jalan Maarof Bangsar, Natrabu Express Ecosky & Natrabu Express Putrajaya.
Waktu perniagaan: Setiap hari, 11 pagi – 10 malam (tutup 3 petang – 5 petang).