Semua orang tahu khasiat susu untuk tubuh. Tetapi tidak semua suka akan rasanya yang mungkin sedikit muak dan berkrim bagi sesetengah orang. Apa kata anda cuba resipi Golden Milk, yang bukan sahaja enak malah lebih berkhasiat.
Apa itu golden milk? Golden milk atau juga dikenali sebagai susu kunyit, adalah resipi daripada India yang kini meraih populariti di negara Barat. Minuman berwarna kuning cerah ini hanya menggunakan beberapa item masakan di dapur yang dicampur bersama susu segar panas iaitu kunyit, halia dan kayu manis.
Susu kunyit ini dikatakan berkhasiat untuk sistem imunisasi yang melindungi diri daripada selesema dan demam serta memberikan tenaga terutamanya waktu pagi.
Khasiat Golden Milk
Kaya dengan anti oksidan, ia membantu melindungi tubuh daripada jangkitan penyakit dan melindungi sel daripada kerosakan. Curcumin iaitu komponen yang terdapat dalam kunyit serta halia dan kayu manis memang tinggi dengan anti oksidan. Kunyit, halia dan kayu manis juga mengandungi khasiat anti-radang yang mengurangkan keradangan tubuh serta sakit otot.
Kunyit dan halia juga antara tumbuhan yang membantu memperbaiki sistem penghadaman, terutamanya untuk anda yang sering kembung perut. Bagaimanapun, untuk anda yang pertama kali mahu mencuba, minum dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu. Pengambilan kunyit dan halia dalam kuantiti yang banyak juga mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan.
Resipi Golden Milk
1/2 cawan susu segar pilihan (bukan susu pekat manis)
1 sudu teh serbuk kunyit atau hirisan kunyit hidup
1 sudu teh serbuk halia atau hirisan halia hidup
1/2 teh sudu serbuk kayu manis
secubit serbuk lada hitam (kalau mahukan sedikit rasa pedas)
1 sudu teh madu asli atau sirap maple
Artikel asal: www.healthline.com
Foto: depositphotos.com