Nasi Yang Dipanas Berulang Kali Mengundang Bahaya?

Adakah boleh menyebabkan keracunan makanan?

Sejauh mana kebenaran akan terjadinya keracunan makanan akibat menjamah nasi yang dipanaskan berulang kali? Ayuh ambil tahu.

Sudah menjadi kebiasaan ramai untuk masak nasi lebih dan disimpan sedikit untuk dipanaskan semula bagi memudahkan rutin harian yang padat. Tapi tahukah anda bahawa nasi yang dipanaskan berulang kali mungkin akan mendatangkan mudarat pada tubuh?

Anda berkemungkinan akan mengalami masalah sakit perut akibat keracunan makanan yang berpunca daripada makan nasi yang dipanaskan berulang kali. Namun, menurut pakar pemakanan, kaedah pemanasan berulang bukanlah masalah utama sebenarnya, tetapi adalah cara nasi disimpan setelah dimasak buat pertama kali.

Ini kerana beras yang belum dimasak mengandungi spora (sel yang boleh membiak dengan cepat) Bacillus cereus – bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan – yang boleh bertahan hidup apabila beras dimasak. Jika nasi yang sudah dimasak dibiar terdedah pada suhu bilik, spora tadi akan membiak menjadi bakteria yang akan terus berganda dan mengeluarkan toksin yang menyebabkan muntah dan cirit-birit.

Semakin lama nasi yang sudah dimasak dibiarkan pada suhu bilik, semakin meningkat risiko nasi itu tidak selamat untuk dimakan. Adalah sangat penting untuk anda menyimpan nasi dengan cara yang betul secepat mungkin sekiranya anda berniat untuk memanaskannya semula.

Panduan untuk Mengelak Keracunan

  1. Hidangkan nasi sejurus ia telah dimasak. Disarankan untuk makan nasi dalam jangka masa satu jam setelah siap dimasak.
  2. Sejukkan nasi yang ingin anda panaskan kelak.
  3. Anda boleh simpan nasi yang sudah dimasak di dalam peti sejuk, tetapi pastikan tidak lebih daripada satu hari.
  4. Pastikan anda periksa agar nasi berkenaan sentiasa panas dan mengeluarkan stim sepanjang proses memanaskan semula.
  5. Jangan sesekali panas semula nasi melebihi sekali.