Dua Hidangan Manis Mesti Cuba!

Pilihan manisan untuk memenuhi ‘cheat day’ anda.

Creme De La Creme

Pencinta hidangan pemanis mulut berupa aiskrim tidak harus melepaskan peluang untuk menikmati Creme De La Creme. Dengan chef pastri terlatih, restoran ini menjadi syurga aiskrim yang lembut dan kaya dengan rasa menggoda selera. Creme De La Creme diasaskan oleh Lio Lim, yang serius dalam membawa aiskrim cita rasa tempatan dengan resipi terbaik kepada orang ramai. Mereka menggunakan 100 peratus bahan semula jadi, segar dan berkhasiat. Tiada sebarang pengawet, pewarna dan perasa tiruan digunakan bagi menjamin kualiti aiskrim.

Menawarkan sebanyak 18 perisa aiskrim yang menarik, mereka mendapat inspirasi daripada makanan tempatan untuk mencipta perisa yang mengimbau nostalgia seperti Musang King, Pandan Kaya Toast, Barley Lime, Teh Tarik dan banyak lagi.

Selain aiskrim, Creme De La Creme juga menawarkan Petits Gateaux iaitu kek aiskrim yang artistik. Setiap kek yang dihasilkan menerima sentuhan karya seni yang cukup unik. Mereka juga berhasrat untuk memperkenalkan perisa baharu setiap bulan agar dapat menepati cita rasa semua.

Lokasi: 35G, Jalan SS21/60 Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor.
Waktu perniagaan: Ahad hingga Khamis, 12 tengah hari hingga 11 malam; Jumaat dan Sabtu, 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

 

Chewie Mello

Satu lagi lokasi khusus untuk pencinta hidangan manis, Chewie Mellow, membawa pelbagai pemanis mulut istimewa yang sangat mengujakan. Chewie Mellow menyediakan bebola taro mereka sendiri dan dibuat setiap hari untuk menjamin kualiti rasanya. Mereka juga berusaha dalam menyediakan sesuatu yang istimewa seperti bebola nasi dan bebola taro yang diperbuat daripada matcha, ubi keledek, ubi ungu dan keladi.

Hidangan ais kisar di sini menjadi kegemaran ramai. Ia disediakan dengan cukup teliti hingga terhasilnya ais kisar yang lembut dan gebu. Hidangan ini hadir dalam empat pilihan rasa iaitu Herb Jelly, Soy Bean, Matcha dan Milk Tea (Teh Peng). Bagi memenuhi kehendak selera semua, hidangan di Chewie Mellow boleh dihidangkan panas mahupun sejuk. Pearl Milk Ice Tea, Purple Potato Soya Ice serta Brown Sugar Chewie Jelly Ice turut menjadi pilihan rata-rata pelanggan mereka.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh juga cuba Milky Mochi yang menggunakan susu segar. Mochi ini memiliki tekstur tidak melekit dan berbentuk seperti doh. Anda boleh memilih perisa kacang, kelapa, coklat atau matcha.

Lokasi: 52A, Jalan Danau Niaga 1, Crystal Villa, Setapak, 53300 Kuala Lumpur.
Waktu perniagaan: Setiap hari, 11.30 pagi hingga 12 tengah malam.