Nikmati Buah Musim Panas Australia Yang Enak Dan Berkhasiat

Sesuai dijadikan sebagai hadiah istimewa.

Daripada buah pic hingga ke plum, aprikot dan lain-lain, buah musim panas Australia kini boleh didapati di Malaysia. Dan untuk meraikan musim perayaan yang akan datang, Taste Australia telah melancarkan kempen “Celebration of Flavours” di AEON Metro Prima pada 17 Januari lalu.

Taste Austalia adalah jenama keseluruhan hortikultur yang digunakan oleh industri dan Hort Innovation untuk membantu meningkatkan profil, jualan dan penggunaan produk hortikultur premium di pasaran eksport utama.

Kempen ini bertujuan memberi inspirasi kepada pengguna dalam meningkatkan suasana perayaan dengan cara menarik untuk menikmati buahan musim panas yang lazat ini. Oleh itu, Taste Malaysia telah menjemput Selebriti Masterchef, Abang Brian untuk memulakan musim perayaan dengan resipi hebat yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia.

Pada majlis tersebut, Abang Brian telah berkongsi resipi Yee Sang yang lebih manis dan berkhasiat menggunakan buahan musim panas Australia seperti pic kuning dan putih, nectarines putih dan kuning, plum hitam, merah dan dapple.

Bukan itu sahaja, Abang Brian turut berkongsi resipi manisan yang sesuai untuk pasangan kekasih. Digelar Romantic Peach and Chocolate Trifle, manisan ini diperbuat daripada pic dan krim coklat putih dan dihias menggunakan plum merah juga pic.

Menurut Encik Liew Kong Cheng, Pengurus Pembangunan Perniagaan Austrade Malaysia, hasil produk Australia memang sentiasa menjadi perhatian kerana rasanya yang enak. Tambahnya lagi, dengan iklim panas Australia, buahan yang dihasilkan lebih manis dan berjus. Kedudukannya yang dekat juga memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada hasil bermusim Australia yang segar.

Buahan ini juga sesuai dijadikan hadiah atau buah tangan kerana bentuk yang bulat dan warna emas dan merah melambangkan kesejahteraan dan membawa nasib baik sepanjang tahun.