Pengasas Label Fesyen Givenchy Meninggal Dunia Pada Usia 91 Tahun

Pada usia 91 tahun, pengasas jenama fesyen terkenal, Hubert de Givenchy dilaporkan telah meninggal dunia.

Pereka fesyen terkenal dan pengasas kepada jenama fesyen Givenchy, Hubert de Givenchy telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun. Rumah fesyen Givenchy telah memberikan penghormatan terakhir kepada pengasasnya dalam satu kenyataan melalui akaun Instagram.
 


 
Bersama Christian Dior, Yves Saint Laurent dan mentor, Cristobal Balenciaga, Givenchy adalah antara sebahagian pereka fesyen elit yang berpusat di Paris. Antara rekaannya yang menjadi ingatan sehingga kini adalah rekaan gaun hitam (little black dress) yang digayakan oleh Audrey Hepburn dalam filem Breakfast at Tiffany’s pada 1961.
 
Givenchy dikenali sebagai seorang lelaki yang budiman dan sopan santun. Dia menjalin persahabatan yang erat dengan kliennya yang terkenal dari pelakon terkenal Hollywood seperti Liz Taylor dan Lauren Bacall kepada wanita pertama negara, Jackie Kennedy dan Puteri Grace dari Monaco.
 

 
Dilahirkan dalam keluarga bangsawan di bandar Beauvais pada 21 Februari 1927, nama Givenchy mula terkenal di Paris selepas Perang Dunia II pada usianya yang masih remaja.
 
Couturier Jacques Fath telah mengupah Givenchy untuk bakatnya dalam lakaran. Dia telah menghabiskan masa dua tahun untuk mempelajari asas reka bentuk fesyen, dari membuat lakaran kepada memotong fabrik dan menyesuaikan gaya haute couture.
 
Selepas mengasahkan bakatnya dengan pereka handalan yang lain, Givenchy telah mengasaskan jenama fesyennya pada tahun 1952. Koleksi debutnya menggunakan konsep berpisah di mana bahagian atas dan bawah busana tersebut boleh dicampur dan dipadankan mengikut kegemaran pembeli.
 
Dikenali sebagai “Le Grand Hubert” kerana ketinggiannya yang mencecah 6 kaki, 5 inci (1.96 meter), koleksi Givenchy amat popular di kalangan pelanggan haute couture yang istimewa dan labelnya telah berjaya memikat pelanggan seperti Gloria Guinness, Wallis Simpson dan Empress Farah Pahlavi Iran.
 
Namun pelanggan yang namanya sentiasa menjadi identiti kepada label fesyen tersebut adalah Audrey Hepburn.