Memahami Kanak-kanak Autisme

Jika anda sering dengar mengenainya, mungkin artikel ini dapat membantu anda memahaminya dengan lebih lanjut.

Hand writing Autism with marker on transparent wipe board.

Kenal pasti Autisme

Autisme adalah masalah genetik, bukan berpunca daripada gangguan jin. Selain itu, saintis juga percaya punca masalah autisme, mungkin berkaitan dengan aspek keturunan dan masalah perubatan yang bermula ketika pembentukan saraf dan otak bayi sewaktu di dalam rahim pada awal kehamilan (ketika janin berusia lapan minggu selepas proses persenyawaan).

Kecacatan atau masalah ini yang diwarisi akibat variasi mutasi (perubahan yang tidak normal) dalam genetik yang diperolehi dari ibubapa. Semakin banyak variasi mutasi yang diperolehi dari ibubapa mereka, semakin mudahlah kanak-kanak itu mengalami masalah autime.

Ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan anak kembar seiras. Saintis mendapati anak kembar seiras yang berkongsi genetik yang sama, jika seorang mendapat masalah autisme, maka kebarangkalian untuk seorang lagi anak kembar seiras mendapat masalah ini sebanyak 90 peratus.

Maknanya jika seorang anak kembar seiras mengalami autisme, selalunya seorang lagi juga akan mendapat autisme. Dia akan mengalami masalah pembelajaran atau kurang upaya sosial berpunca daripada masalah genetik yang dikongsi.

Bagi adik-beradik dewasa, risiko mempunyai satu atau lebih ciri-ciri yang lebih luas autisme fenotip mungkin setinggi 30 peratus. Lebih tinggi daripada risiko dalam kawalan.

Selalunya autisme dapat dikesan sewaktu anak berumur 18 bulan atau lebih awal lagi. Apabila mencapai usia dua tahun, diagnosis yang lebih tepat dapat dilakukan oleh doktor pakar dan berpengalaman dalam bidang kanak-kanak. Jadi, adalah lebih baik jika diagnosis dilakukan sebelum usianya mencecah tiga tahun.

Tidak dinafikan agak sukar untuk mendiagnosis kanak-kanak pada usia ini bagi mengetahui sama ada dia menghidap autisme atau tidak. Ini kerana, diagnosis yang dibuat hanyalah bergantung kepada pemerhatian yang dibuat ke atasnya sepanjang hari.

Bagi melakukan pemerhatian ini, hanya ibu bapa sahaja mampu melihat sama ada anak itu berkelakuan tidak seperti kanak-kanak normal lain atau sebaliknya. Apatah lagi apabila anak itu tidak menunjukkan kelakuan yang terlalu pelik kerana masih berada pada tahap permulaan atau sederhana. Jadi diagnosis tidak dapat dibuat dengan baik.

Bagi kanak-kanak yang menunjukkan kelakuan pelik yang nyata mereka mudah dikenal pasti menghidap Autism Spectrum (ASD). Jika tidak menunjukkan sebarang tanda pelik yang jelas, kanak-kanak itu hanya mengalami Asperger Syndrome atau masalah perkembangan pemikiran (cognitive) dan bahasa yang agak lambat.

Autisme bermula sewaktu proses pembentukan saraf hingga menyebabkan kanak-kanak itu didapati gagal untuk berkomunikasi dan bergaul dengan baik secara berulang kali serta terbatas. Ini kerana kanak-kanak itu mengalami gangguan proses penterjemahan maklumat di dalam otak apabila perhubungan antara sel saraf rosak.

Akibatnya, mereka gagal memahami arahan, sering melakukan perbuatan yang berulang-ulang dan tidak berminat untuk bergaul dengan rakan. Jadi, bagi mengelakkan perkara ini terjadi, ibu bapa harus lebih serius dalam menilai perkembangan anak mereka.

 

Ada dua langkah yang akan dilakukan doktor bagi menilai perkembangan kanak-kanak:

Perkembangan fizikal dan mental

Ujian saringan sangat mudah dan selalunya di Pusat Kesihatan Ibu dan Anak sewaktu anak diberikan suntikan imunisasi. Doktor atau jururawat akan melakukan ujian ringkas dan bertanyakan beberapa soalan kepada ibubapa kanak-kanak itu. Ini dilakukan bagi mengenal pasti sama ada anak itu mengalami masalah untuk belajar, bercakap, bergerak dan berkelakuan yang sepatutnya seperti kanak-kanak sebayanya.

Jadi, kanak-kanak yang dibawa untuk suntikan imunisasi wajib diperiksa bagi memantau perkembangan fizikal dan mental mereka pada umur mereka:

  • Sembilan bulan
  • 18 bulan
  • 24 bulan

 

Selalunya, pemeriksaan tambahan akan dibuat ke atas bayi yang berisiko tinggi seperti bayi pramatang dan dilahirkan dengan berat badan yang tidak mencukupi. Bukan itu sahaja, pemeriksaan yang teliti juga dibuat kepada kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik yang disahkan menghidap autisme.

Penilaian komprehensif diagnosis

Penilaian yang lebih lengkap akan dilakukan oleh pasukan doktor yang terdiri daripada Child Psychiatrist, Pediatrician,Audiologist dan Speech Therapist. Di dalam pemeriksaan ini, kanak-kanak akan dinilai kelakuan dan perkembangan fizikal mereka.

Doktor akan bertanya beberapa soalan kepada ibu bapa bagi mengetahui keadaan dan perkembangan anak mereka di rumah. Penilaian ini termasuk ujian pendengaran, penglihatan, saraf dan genetik jika perlu. Pemeriksaan ini harus dilakukan beberapa kali bagi mengelakkan kanak-kanak itu mengalami masalah pembelajaran, gagal mengawal emosi dan sukar bergaul.

 

Jadi, bagi ibu bapa yang mempunyai anak berumur dua tahun ke bawah yang memiliki tanda-tanda seperti berikut, amat digalakkan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut:

  1. Anak itu tidak senyum apabila diagah oleh orang dewasa apabila memasuki usia sembilan bulan atau lebih.
  2. Anak itu tidak cuba menyebut perkataan yang mudah seperti mama, papa atau tata sewaktu memasuki usia 12 bulan.
  3. Apabila berumur 16 bulan, dia langsung tidak menyebut perkataan mudah.
  4. Mencecah usia 24 bulan, dia masih tidak menyebut perkataan mudah walaupun diminta mengajuk percakapan ibu bapa.
  5. Tidak mampu bergaul dengan rakan sebaya apabila mencapai usia lapan bulan.

 

Oleh kerana masalah autisme adalah masalah genetik, penyakit ini tidak dapat dirawat kerana kecacatan kekal pada fungsi saraf otak. Namun kesulitan yang dihadapi pesakit autisme dapat dikurangkan dengan latihan psychososial seperti cara bergaul dengan rakan-rakan dan menguruskan diri sendiri.

Bagi pesakit autisme yang tidak teruk (kerosakan saraf yang tidak teruk) sudah tentu dapat dipulihkan dengan latihan psychososial ini. Ini bermakna, rawatan ini boleh digabungkan dengan beberapa rawatan alternatif lain termasuk rawatan ruqyah seperti membacakan ayat al-Quran.

 

Namun begitu, autisme dapat dihindari dari peringkat awal iaitu bermula daripada ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Langkah yang terbaik ialah dengan memilih pasangan dari keluarga yang sihat.

Sabda Rasulullah SAW :

“Seorang wanita biasanya dinikahi kerana empat perkara,yaitu hartanya, nasabnya (keturunannya), kecantikannya dan agamanya. Maka utamakan memilih isteri (wanita) kerana agamanya. Kamu tidak akan rugi (bila tidak memilih kerana agamanya).” (HR. Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Walaupun Islam mementingkan aspek agama dalam memilih pasangan, namun mengetahui nasab keturunan keluarga juga penting.  Pilihlah pasangan dari keluarga yang ramai adik-beradik dan sihat. Jadi kebarangkalian untuk mendapat anak yang ramai dan sihat adalah tinggi. Secara tidak langsung menghindari dari menghidap penyakit keturunan (genetik).

Penjagaan kesihatan dari segi makanan, emosi dan persekitaran yang boleh menyebabkan jangkitan kuman serta virus juga amat perlu. Kebanyakan ibu hamil tidak menitik beratkan soal makan. Ada di antara mereka yang gemar makan makanan yang mengandungi bahan bahan-bahan pengawet, MSG dan minuman berkarbonat yang merbahaya kepada bayi dalam rahim.

Elakkan tekanan dan rasa marah kerana ini juga mengganggu kesihatan mental dan fizikal bayi. Percampuran dengan ramai orang juga mendedahkan diri kepada jangkitan kuman virus dan bakteria seperti Rubella, Measles, Mumps, Chickenpox (varicella zoster), Cytomegalovirus dan banyak lagi.

Akhir sekali, banyakkan berdoa kerana adakalanya kita telah melakukan banyak perkara untuk mengurangkan risiko mendapat anak yang bermasalah autisme, tetapi Allah tetap menguji kita. Berdoalah semoga anak yang akan dilahirkan sihat dan soleh.