Manfaat Solat Tahajud

Jiwa resah dengan kehidupan yang tertekan membuatkan anda rasa tidak keruan. Kembali memohon kepadaNya untuk menenangkan jiwa dengan bersolat tahajud

Solat Tahajud juga dikenali dengan nama qiamullail yang membawa maksud berjaga pada waktu malam untuk beribadat. Majoriti fuqaha (orang yang ahli dalam bidang fiqah) mengatakan bahawa solat tahajud adalah solat sunat yang juga disebut sebagai solat nafilah (ibadah tambahan). Ia dilakukan pada waktu malam hari secara umum setelah bangun dari tidur. Waktu dibolehkan solat tahajud adalah bermula dari selepas waktu solat Isyak hinggalah sebelum terbit fajar ketika masuk waktu solat subuh. Ia boleh dilakukan pada awal, pertengahan atau pada sepertiga malam yang terakhir iaitu waktu paling afdal melaksanakannya menurut padangan para ulama’.

1.Menjadikan seseorang itu bertakwa dan melayakkan diri sebagai calon ahli syurga.

Allah Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar”.  { Surah al- Dzariyat: 15-18}

Imam Al-Hassan Al Bashri mengatakan mengenai ayat ini, “ Mereka sesungguhnya adalah yang bersungguh melaksanakan qiamullail (solat tahajud). Pada malam hari mereka hanya tidur sedikit saja. Mereka menghidupkan malam sehingga sahur (menjelang subuh) dan mereka juga banyak beristighfar di ini.

2. Mendapat perhatian dan kasih sayang Allah.

Abu al-Darda’ meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya terdapat tiga golongan yang Allah Ta’ala akan gembira dan cinta kepada mereka. Salah satunya ialah seseorang yang mempunyai isteri yang baik dan tilam yang empuk lalu bangun meninggalkan semuanya untuk mengerjakan solat qiamullail. Maka Allah memujinya dengan berkata: “Dia telah meninggalkan syahwatnya dan mengingatiKu sedangkan dia mampu menyambung tidurnya jika dia mahu.” [Hadith riwayat Al-Tabrani dan disahihkan oleh Al-Munziri]

3. Mencegah dosa, menghapus kesalahan dan menjauhkan penyakit.

Ini sesuai dengan Sabda Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahli ra, yang berbunyi:

“Hendakah kalian mengerjakan qiyaamullail, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian dan dapat  mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Ia mencegah perbuatan dosa, menghapus kejahatan dan menjauhkan penyakit dari badan.” (Hadith riwayat  At-Tirmizi dan Al-Hakim).

4. Wajah akan kelihatan bersinar dan bercahaya semulajadi.

Pernah suatu ketika Hasan Al-Basri r.a ditanya:  “Mengapa orang yang bertahajud di waktu malam memiliki muka yang berseri?”.Hasan Basri menjawab:

“Itu kerana mereka menyendiri bersama Tuhannya pada malam hari, kemudian Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari cahaya-Nya.” (Al-Maqrizi Mukhtasar Qiyaamullail).

Tambahan itu Imam Ibn Qayyim pernah berkata:

“Sesungguhnya solat malam itu dapat memberikan sinar yang tampak di wajah dan menyerikannya. Ada di kalangan para isteri  memperbanyakkan solat malam. Ketika ditanyakan kepada mereka mengenai hal tersebut, mereka menjawab: “Solat malam itu dapat membuat wajah menjadi berseri dan kami gembira bila wajah kami menjadi lebih berseri”.