Elizad Kagum Dengan Puteri Balqis

Tidak Memilih Pelakon Untuk Digandingkan

Menurut Elizad: “Saya mengaku pernah berasa marah dengan beberapa pelakon yang tidak menghormati  masa dan main-main di set. Tetapi saya seorang yang tidak suka melenting di khalayak ramai. Kalau saya marah, saya akan tegur secara baik.”

NIVEA dengan kerjasama Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang),tampil dengan sebuah kempen Setulus Belaian Kasih pada Ramadan ini bertujuan menggalakkan  pengguna  membantu mereka yang memerlukan dan pada masa yang sama, melakukan kebaikan.

Kempen ini turut menyaksikan kolaborasi bersama TV3 menerusi slot Samarinda yang menampilkan kisah kasih sayang di antara seorang ibu dan anak yang dibintangi  pelakon hebat Elizad Sharifuddin dan Puteri Balqis. Jelita berkesempatan menemubual pelakon utamanya, Elizad untuk perkembangan terbarunya.

Nivea_KV1_2016_Final Horizontal

Bagaimana persediaan dan juga aktiviti Elizad untuk bulan Ramadan nanti?

Saya memilih untuk bercuti selama sebulan waktu Ramadan bagi berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Bagi saya inilah peluang untuk saya meningkatkan amal ibadah.  Tiada apa yang berbeza, sama seperti setiap tahun saya akan sediakan juadah berbuka untuk ayah dan adik beradik saya. Begitu juga dengan keluarga mentua. Selalunya persiapan Aidilfitri, saya akan lakukan di awal puasa. Borong pelbagai jenis biskut raya untuk keluarga dan kami akan tampil sedondon bersama. Saya masih belum mempunyai anak, jadi persediaan itu ringkas dan kami akan ambil peluang bercuti.

Apakah menu kegemaran suami?

Saya memang gemar memasak. Di bulan puasa saya akan pastikan masak satu menu walaupun dah beli kuih-muih di bazaar. Suami saya gemarkan lauk kari, jadi dapat kari pun dah cukup.

Elizad masih belum dikurniakan anak. Adakah anda merancang untuk memiliki anak dalam masa terdekat? Bagaimana hubungan dengan anak-anak tiri?

Saya bukan tidak mahu memiliki anak, namun rezeki masih belum berpihak kepada saya. Saya percaya dengan rezeki dan aturan Allah. Hubungan saya dan anak-anak tiri sangat baik. Saya rapat dengan mereka malah akan bercuti bersama jika ada kelapangan.

Tahniah di atas kemenangan di  Gempak Superstar. Jadi, bagaimana perancangan selepas ini?

Saya ada menerima tawaran daripada beberapa pihak untuk buat single. Bagi saya ini adalah peluang terbaik selepas menjuarai Gempak Superstar musim pertama. Bukan soal sedap atau tidak suara saya, tetapi saya memandang ini sebagai rezeki. Yang penting, lagu tersebut bersesuaian dengan suara saya.

Elizad dikenali dan bukan seorang pelakon overrated. Adakah anda memilih watak atau ingin menjaga exclusivity?

Saya tidak memilih watak ataupun bersikap eksklusif,  tetapi saya mementingkan kualiti produksi kerana bila selesa bekerja dengan produksi yang bagus. Saya bagaimanapun selesa membawakan watak berat yang perlu bermain dengan emosi. Untuk watak komedi, saya masih lagi perlukan tunjuk ajar.

Betul ke Elizad memilih pelakon untuk digandingkan? Ada masalah dengan pelakon baru?

Saya tidak mempunyai masalah digandingkan dengan sesiapa walaupun dengan pelakon baru. Asalkan mereka telah lakukan homework sebelum ke set. Saya seorang yang menepati masa. Jadi, bila ada pelakon yang datang ke set tetapi tidak menghafal dialog ataupun bersikap tidak professional, itu kepantangan saya. Saya mengaku pernah berasa marah dengan beberapa pelakon yang tidak menghormati  masa dan main-main di set. Tetapi saya seorang yang tidak suka melenting di khalayak ramai. Kalau saya marah, saya akan tegur secara baik.

Hero idaman?

Bront Palarae! Bagi saya dia ada aura yang besar, dan sangat berbakat juga versatil.

Pendapat Elizad mengenai pelakon cilik Puteri Balqis?

Saya senang bekerja dengan Balqis. Dia mempunyai bakat yang istimewa. Saya kagum dengan pelakon yang sangat muda seperti dia. Dia rajin bertanya dan pandai menjiwai watak. Dia bukan seperti kanak-kanak biasa. Dia komited dan serius ketika bekerja dan saya sendiri belajar sesuatu daripada Balqis.

Nivea_KV2_2016 Horizontal

Drama yang berepisod 1 minit Setulus Belaian Kasih ini akan ditayangkan di TV3 pada hari Isnin melalui slot Wanita Hari Ini dan setiap Selasa melalui slot Sembang Sahur sepanjang bulan Jun. Edisi istimewa berdurasi 5 minit akan ditayangkan pada 29 Jun. Setiap episod boleh ditonton di saluran YouTube Nivea, sehari selepas ia ditayangkan di kaca televisyen.

Foto: NIVEA