Dato’ Siti Nurhaliza Hadiahkan Peminat Dengan SimetriSiti

Dato' Siti Nurhaliza kini muncul dengan album terbarunya, SimetriSiti yang ditujukan khas buat peminatnya.

Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza kini muncul dengan album solo yang ke-18 berjudul SimetriSiti. Album ini menampilkan 10 buah lagu termasuk lagu duet bersama penyanyi Indonesia, Judika dan penampilan istimewa dari Joe Flizzow.
 

 
Terdahulu, Dato’ Siti telah memasarkan single terbaru berjudul Segala Perasaan menerusi semua medium digital sejak 28 April lalu dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
 
Setelah 21 tahun berkecimpung di dalam industri muzik, Dato’ Siti masih konsisten menghasilkan album dan berpendapat bahawa dia akan berusaha muncul dnegna karya terbaru setiap tahun. Album SimetriSiti ini mewakili dirinya untuk berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjayanya selama ini dan hal ini dapat dilihat menerusi konsep kulit album yang ditampilkan.
 
Selain itu, terdapat beberapa lirik lagu yang dinyanyikan oleh Dato’ Siti adalah khusus untuk menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaannya kepada para peminat yang menjadi nadi kejayaannya.
 
Istimewa album ini juga turut menampilkan lagu yang dicipta dan ditulis sendiri oleh Dato’ Siti yang ditujukan khas buat peminatnya iaitu Penghiburku. Album SimetriSiti turut menampilkan gandingan komposer dan penulis lirik yang berpengalaman serta baru kerana Dato’ Siti mahu memberikan keseimbangan dari segi citarasa muzik untuk para peminatnya yang terdiri dari pelbagai golongan dan usia.
 

 
Antara lagu yang dimuatkan di dalam album ini adalah Bersandar Cinta (Aubrey Suwito/ Ad Samad), Penghiburku (Dato’ Siti Nurhaliza), Ikrar Cinta (Amirah Ali/ Sulu Sarawak), Segala Perasaan (Ivan Lahardika) dan Aku Bukan Malaikat ( Opick/Dian), Manis Terindah (Aubrey Suwito/ Ad Samad), Kisah Kuinginkan (Ivan Lahardika), Tak Perlu Ragu (Ade Govinda), Kau Takdirku (Mohariz Yaakup/ Habsah Hassan) dan Hiasi Duniaku ( Sid Murshid).
 
Komposer terkenal, Aubrey Suwito telah diberikan kepercayaan untuk menjadi pengarah projek untuk album ini dan para penerbit pula terdiri daripada Aubrey Suwito, Jenny Chin, Ade & Jeje Govinda, Mujahid Abd Wahab, Szewan, Firdaus Mahmud dan Opick. Penerbit vokal untuk lagu Kisah Kuinginkan dan Aku Bukan Malaikat ialah Yasin Sulaiman dan lagu Segala Perasaan pula ialah Aubrey Suwito.
 
Album ini juga turut menampilkan gandingan hebat dua vokal iaitu Dato’ Siti Nurhaliza dan Judika yang berduet di dalam lagu Kisah Ku Inginkan manakala Joe Flizzow membuat penampilan istimewa menerusi lagu Penghiburku.
 
Dato’ Siti berharap agar SimetriSiti akan dapat memenuhi citarasa para peminatnya dan mereka dapat menghargai hasil kerja keras penyanyi dengan mendapatkan album yang asli. Kesedaran masyarakat tentang pentingnya menghargai hakcipta dan karya seseorang diharap dapat disuntik di dalam diri setiap penggemar muzik tanah air.