Stunt Mat Redho dan Puterinya Yang Berusia 2 Tahun: Mendefinisi Erti Cool dan Keberanian, Atau Satu Kegilaan Melampau?

Netizen berbalah, antara mempertahankan hak bapa stunt ini untuk memilih acuan dalam membentuk serta membesarkan anak-anak mereka, dan kegusaran terhadap kewajaran tindakan yang boleh mengundang musibah.

stunt 1

Dia digelar anak kecil paling cool. Selamba sebetulnya, seolah tiada ekspresi, saat dirakam digendong bapanya ketika melakukan terjunan tali hayun atau rope swing dari jambatan di Kuala Kubu Bharu pada ketinggian 60 meter, hampir seminggu lalu.

Oh, anda sedar bahawa Mecca Mikaela baru berusia dua tahun?

Umur sebegitu yang lazimnya masih menggunakan lampin dan mungkin bergantung pada botol susunya atau menyoyot puting. Padanlah apabila dia yang dilihat melakukan suatu yang bukan saja dianggap tidak normal, malah merbahaya, masyarakat bertelingkah antara kekaguman dan bantahan.

Bapa gila saja yang meletak anaknya dalam keadaan bahaya itu, kecam sebahagian netizen pula.

Mohd Redha Rozlan, 30, bagaimanapun tidak melihat mengapa ia perlu diperbesarkan. Di akaun Instagram @matredho, dia menjelaskan anaknya yang meminta untuk lompat, disusuli catatan, “Homann I’m so proud of you @mecca_medin.”

Tidak hanya kerana perkongsian video dengan aksi yang buat audiens kecut perut, tetapi didorong status Mohd Redha, bintang realiti  yang mencipta nama selepas menjuarai Fear Factor Malaysia, selain muncul warga pertama ke Sasuke Vietnam atau Ninja Warrior, program TV yang menguji kelasakan pesertanya.

Keberanian Mecca mengagumkan, namun tidak bagi yang mempertikaikan ketidakwajaran Mohd Redha dalam membuat pertimbangan apabila dianggap mengabaikan keselamatan dengan memperjudikan nyawa anak gadisnya yang dianggap terlalu kecil untuk sukan seekstrim itu.

Chill guys,” katanya menerusi posting di Instagram @matredho  yang mengiringi video terjunan yang sehingg kini mencatat hampir 187,000 tontanan. Dia mempertahankan, anaknya mengenakan abah-abah keselamatan dalam kegiatan anjuran Rentas Adventures, pengendali bertauliah yang memperkenalkan sukan terjun tali hayun pertama di Malaysia.

Soalnya, adakah itu cukup dalam memberi justifikasi kepada tindakannya?

stunt

Saya memahami akan keterujaan, adrenalin yang diberikan pengalaman sebegini. Meredah suhu serendah 5 darjah Celcius menaiki Bukit Sikunir, berdekatan Gunung Berapi Sindoro di Dataran Tinggi Dieng , Jawa Tengah bersama anak-anak sekecil usia lapan tahun dulu, untuk melihat terbitnya matahari, saya mengerti mengapa Mohd Redha, di dalam satu temubualnya bangga melihat anaknya “bakal mengikut jejak saya dan isteri menceburi bidang aktiviti lasak.”

Risiko dan sedikit ketakutan memotivasi survival seorang manusia, pastinya. Saat mempertimbangkan apakah saya cukup gila untuk mencuba luncur gunung berapi, saya harus akur dengan keterbatasan usia mereka bagi membuat pendakian, ketika itu.

Pagi itu, di puncak Sikunir, mencatat momen yang sangat magikal. Perasaan itu adalah segala-galanya.

Rasa berbunga Mohd Redha, sebaliknya ditempelak sebahagian lain yang menterjemah keberanian yang dipamer Mecca sebagai satu manipulasi terhadap kenaifan seorang anak kecil selepas video dua beranak ini membuat terjunan bersama, tular.

stunt

Seperti Fazil Mohamad Dali, 42, lewat terjunan bersama anaknya, Muhammad Alif Asyraf, 6,  yang terpaksa mempertahankan, “sebagai bapa saya tidak akan memperjudikan nyawa anak sendiri” selepas videonya yang berdurasi 1 minit 37 saat dikongsi di Instagram @rentas_adventures.

Pengendali, Shafiq Azmi menerusi Facebooknya pada 21 Mac lalu, menjelaskan terjunan bapa-anak itu sebagai “kes istimewa” yang dibenarkan selepas “benar-benar yakin dengan langkah-langkah keselamatan yang diambil dan setelah mengambil kira kondisi kanak-kanak tersebut.”

Di sebalik permohonan maafnya, termasuk keputusan membekukan sementara kegiatan terjunan membabitkan anak kecil, terdapat desakan supaya mereka terbabit disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak itu pada bahaya fizikal dan emosi.

stunt

Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipetik NST Online mengakui “terkejut” menonton video berkenaan yang disifatkan “bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.”

Rasa ngeri membayangi sukan lasak lantaran persepsi bahawa keinginan menguji limitasi keupayaan manusia diterjemah sebagai mencabar kematian walaupun hakikatnya, sukan biasa-biasa seperti bola keranjang dan bola sepak, misalnya dikhabarkan mencatat kadar kemalangan lebih tinggi.

Kengerian itu barangkali didorong kematian seperti yang menimpa bintang sukan lasak, Dario Zanon, 33, yang menjadi penerbang wingsuit ke-11 mati di kawasan Mont Blanc, Perancis selepas kemalangan semasa terbang sebelum mayatnya ditemui di glasier Bossons dari ketinggian 2,000 meter pada 2016.

Atau, kemalangan yang menimpa Michael Schumacher, juara tujuh kali Formula One, yang koma akibat kecederaan otak selepas kepalanya terhentak di batu ketika bermain ski di resort eksklusif Mirabel di pergunungan Alps Perancis, pada 2013.

Netizen berbalah, antara mempertahankan hak dua bapa ini  untuk memilih acuan dalam membentuk serta membesarkan anak-anak mereka, dan kegusaran terhadap kewajaran tindakan yang boleh mengundang musibah.

Profesor Eric Brymer, pengkaji Australia dari Universiti of Technology, Queensland, mematahkah mitos yang membayangi penggemar sukan lasak sebagai “penagih adrenalin dengan keinginan untuk mati.”

Beliau yang dipetik laman gizmodo.com.au yang disiarkan pada April 2017, merujuk kajian yang dibuat bersama Profesor Robert Schweitzer, merumuskan pemain sukan lasak “bukan pengambil risiko tidak bertanggungjawab dengan keinginan untuk mati.”

Mereka, menurutnya  adalah “individu berkemahiran dengan pengetahuan mendalam mengenai diri, kegiatan dan suasana, dan melakukannya bagi meraih pengalaman yang berupaya meningkatkan dan merubah hidup.”

stunt

Soalnya, seawal usia berapa anak-anak boleh diberi pendedahan pada kegiatan seumpamanya?

Dibekalkan topi keledar dan pad pelindung siku serta lutut, bukan asing melihat anak-anak kecil bermain sukan lasak seperti papan selaju tetapi masyarakat sebahagiannya menolak cabaran menjurus ketinggian atau kelajuan biarpun ada jaminan penekanan ekstra terhadap aspek keselamatan.

Sehingga ada melontarkan, perlukah berlaku kematian bagi memutuskan kewajaran mengheret anak kecil bermain sukan lasak?

Saya, sejujurnya merasakan dalam banyak keadaan, apa yang ekstrim buat sebahagian kita mungkin biasa-biasa saja bagi sebahagian lain dan boleh jadi, lebih merupakan tuntutan yang perlu dilaksanakan.

Hidup bagaimanapun, harus berlandaskan hukum dan perundangan. Rasulullah SAW malahan menggalakkan sukan lasak seperti berkuda dan memburu, misalnya sekaligus memperjelaskan kepentingan latihan fizikal seiring kerohanian di dalam Islam.

Kecuali,  apabila ia menjurus perbuatan melampaui batas dan mengundang kemudaratan, sesuai surah Al-Maidah, ayat 87: “Hai orang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”

 

Foto: Instagram Mat Redho