Kemelut Ziana Zain dan Madah Berhelah Sebuah Kemasyhuran

ziana zain

Bebal. Itu perkataan yang digunakan Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, suami penyanyi terkenal Ziana Zain, merujuk anaknya kala mempertahankan tindakannya merotan dalam satu kejadian pada 25 Februari lalu.

Lalu, berlegar teka-teki apa yang mendorong berlakunya kejadian pada jam 4 pagi itu di rumah mereka di Denai Alam.

Sekalipun bekas pramugara kanan Malaysia Airlines itu, sebagaimana dimaklumkannya di Mahkamah Majistret Shah Alam baru ini, “saya ajar dia mengaji dan solat, tetapi dia tidak faham dan bebal,” ia tetap tidak memberi justifikasi kepada perlakuannya.

Setidak-tidaknya buat Ziana, 50, yang barangkali harus membuat keputusan sukar berikutan kejadian yang memaksanya melaporkan suaminya sendiri kepada polis, dua hari kemudian yang menyaksikan penangkapannya pada 2 Mac lalu.

Di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, Armin yang mengaku tidak bersalah bagaimanapun mempertahankan, “Saya tidak dera anak.”

Cukup menjaga privasi keluarga, kemelut yang dihadapi Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, nyata cukup berat. Jarang dipalit kontroversi, media sosial terutamanya menjadi medan netizen menebak, cuba merungkai kejadian mengejutkan membabitkan pelantun Anggapanmu ini.

Dan apa yang dilalui Ziana yang diperkenalkan lewat hit Madah Berhelah pada akhir 1991, menimbulkan persoalan: Apakah ini harga yang harus dibayar selebriti di atas kemasyhuran mereka?

Seawal zaman bujang sampailah melayari bahtera sepanjang hampir 20 tahun, Ziana yang dinikahi Armin pada 9 Mei 1998 adalah antara selebriti yang mematahkan andaian tidak mustahil untuk meraih nama berlandaskan pencapaian di dalam kerjaya berbanding cerita peribadi.

Jarang mahu berkongsi gambar keluarga, di dalam satu temubualnya dulu, dia menekankan “perlu ada batasan antara kerjaya dan hal peribadi” selain “faktor keselamatan anak-anak”, terutama perkongsian berlebihan di media sosial yang disifatkan “boleh memudaratkan.”

Kini, apa yang dikhuatiri Ziana berlaku juga. Perdebatan berlegar di alam maya, terutama hal rumahtangganya apatah lagi dengan kedudukan Armin yang kini dilaporkan menganggur. Sungguhpun hanya Ziana dan suaminya lebih mengetahui duduk cerita sebenar, netizen enggan mengalah dalam menjatuh hukum.

ziana zain

Sedang, ada hal lain yang perlu digusarkan apabila masyarakat seakan menepikan isu pokok iaitu soal menghukum dalam mendidik anak. Juga, keseriusan perbuatan yang tentunya direkodkan dalam laporan perubatan sehingga memerlukan Ziana untuk mengadu pada penguasa.

Biar merotan dibenarkan Islam, selain dilihat sebagai sebahagian budaya masyarakat Timur, adakah alasan mendidik anak cukup dijadikan lesen untuk ibu bapa mengambil tindakan yang memudaratkan?

Ngeri tentunya apabila mengenangkan kes Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang mati akhir Januari lalu di tangan bapanya sendiri.

Bagai hilang rasa perikemanusiaan, Muhammad Abdullah Mohamed, 35, seorang anggota tentera berpangkat Sarjan memperlakukan Nur Aina seperti rekrut komando – dihukum tekan tubi, berguling dan mencangkung, selain ditampar, diterajang dan dipijak, antaranya kerana gagal menghafal surah. Bedah siasat mendapati pelajar Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson itu mengalami kerosakan buah pinggang, usus koyak dan patah tulang rusuk akibat dipukul dengan objek tumpul dalam kejadian di rumahnya di Taman Vista Jaya.

Berbalik pada kes Ziana, anehnya ada netizen menyelar tindakannya membuat laporan polis terhadap suaminya, malah tidak kurang yang menjadikan agama alasan kukuh untuk menghukum dalam mendidik anak tanpa mempertimbangkan apakah ia dilaksanakan menurut lunas Islam itu sendiri.

ziana zain

Don’t judge my path if you haven’t walked my journey,” begitu entri yang dimuatnaik di laman Instagram @iamzianazain kepada 830,000 pengikutnya, semalam bagai membidas kecaman yang dilemparkan terhadapnya.

Dia, dalam satu kenyataan awalnya, menyifatkan kejadian yang membawa kepada penangkapan Armin “terlalu peribadi.” Sebak, dia yang dipetik Berita Harian mengulas “perlukan ruang seketika dan berserah kepada Allah.”

Masih, ramai yang menyifatkan semua perkara bersangkut selebriti, termasuk hidup peribadinya adalah milik masyarakat.

Ledakan pengaruh media sosial melahirkan versi selebritinya , antaranya digelar Instafamous dan Influencer, dan seperti dunia seni, kemasyhuran sama ada kerana sebab yang betul atau salah, mereka ini tidak bebas daripada pemerhatian masyarakat.

Biar hanya bersandarkan sekeping foto yang dimuat naik di Facebook atau Instagram misalnya, hatta sepotong kapsyen, menghakimi dan membuat andaian sendiri nyata lebih mengasyikkan tanpa mengambil kira natijah daripada penilaian yang semberono.

Lagi pula, bukan semua selebriti punya ketebalan muka seperti aktor Iqram Dinzly walaupun selepas tularnya video aksi peliknya, sebahagiannya bercampur baur antara bisik keagamaan dan kelucahan, selain perlakuan demi perlakuan yang menyebabkan berlaku pertikaikan mengenai kewarasannya.

Atau, mungkin memang inilah sumpahan dunia glamor apabila kemasyhuran memakan tuannya.

 

Foto: Instagram Ziana Zain