Dera Amah: Hukuman Ringan Buat Datin ‘Brutal’ Bibitkan Prasangka Di Mana Keadilan Saat Nyawa Dinilai Ikut Kasta

Tiada siapa layak diperlakukan sebegitu walau hanya seorang amah. Penderaan yang jelas dihakimi dengan ringan buat netizen melenting keresahan.

dera amah

Saya pernah punya amah. Dia gadis asal Madura, Yana namanya. Sepanjang hidup Yana, itulah kali pertama dia meninggalkan kampung halamannya, sebuah tanah gersang dengan tanaman jagung sebagai sumber ekonomi penduduknya.

Di desa kelahiran Yana, jagung penting dalam masyarakat yang masih mengamalkan sistem barter. Kerana, katanya, beberapa guni jagung hasil tuaian daripada kebunnya yang tidak berapa luas itu membolehkan dia sekeluarga mendapatkan barangan keperluan termasuk makanan.

Jauh dari laut, ikan basah adalah suatu kemewahan. Dia juga tidak pernah merasa makan sotong, ketam, malah tidak pernah mencium bau durian. Bahkan nasi putih jarang dijamah. “Habis, kamu makan apa?” tanya saya. “Nasi jagung,” katanya, sambil menumbuk butir jagung di lesung untuk dibuat ala cucur, antara menu kampungnya yang dia ingin saya cuba.

Yana, lulusan pondok pesantren pimpinan seorang Keyae, bukan satu-satunya yang datang bersama seribu satu cerita kedaifan. Keluarga, menurutnya berhutang demi membolehkannya meraih pekerjaan di Malaysia yang dikhabarkan melimpahkan hujan emas buat pendatang sepertinya.

Bagi sebahagian, tanah emas ini sebaliknya menjadi neraka yang meranapkan segala impian.

Paling jahanam, barangkali maruah Malaysia apabila seorang Datin yang mengaku bersalah mendera amah warga Indonesianya, hanya dikenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Datin Rozita Mohamad Ali, 44, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas cubaan membunuh amahnya, menukar pengakuan selepas pertuduhan pindaan ditawarkan kepadanya, iaitu menyebabkan kecederaan parah kepada Suyanti Sutrisno, 19, menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi bewarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju bewarna putih sebagai senjata dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Ia menyebabkan Suyanti yang berasal dari Medan, mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata, tangan, kaki, organ dalaman, selain pendarahan beku di bawah kulit kepala, patah tulang serta patah belikat kiri.

Kes Suyanti jadi perhatian selepas videonya yang cedera parah, terbaring berhampiran longkang di kawasan perumahan Mutiara Damansara tular pada Disember 2016, sekaligus mencetuskan kemarahan masyarakat, juga Indonesia  yang bukan kali pertama berdepan kes sebegini.

Saat penjara dilihat berpadanan dengan kekejaman Rozita yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, kejanggalan penghakiman dibuat Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar bagai satu tamparan buat sistem keadilan negara.

Ibarat menyimbah minyak ke api, kes Rozita mengusutkan lagi isu kepercayaan pada integriti badan kehakiman.

Dan, kita pun belum lama berdepan kematian Adelina Lisao, 26, asal Nusa Tenggara Timur, sehari selepas ditemui dengan kecederaan di kepala, muka dan kedua-dua kaki, dipercayai didera majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 10 Februari lalu.

Indonesia lewat Duta Besarnya ke Malaysia, Rusdi Kirana yang dipetik portal sindonews.com pada 15 Februari lalu, mengungkapkan “… kejadian seperti Adelina harus dihentikan, tidak hanya kerana alasan kemanusiaan, tapi juga menyangkut hubungan kedua negara.”

dera amah

Tularnya gambar Adelina tidur di luar rumah sebelum kematiannya, dipercayai selepas lebih sebulan dipaksa bermalam bersama anjing termasuk tidak diberi makan, membawa kepada penahanan tiga beranak termasuk ibu mereka, M Ambika, 59, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Saya saat pulang ke Malaysia, saya mahu bertemu polis, saya mahu lihat muka majikannya, binatang apa itu, dia itu bukan orang, itu iblis. Kalau (kes) seperti Adelina, ini luar biasa biadap,” kata Rusdi yang mengingini hal seumpamanya tidak berulang. “Saya akan kawal, saya yakinkan majikan masuk penjara, saya tidak mahu damai lalu majikan bebas.”

Sambil mengira bentuk retaliasi yang bakal diperlihatkan Indonesia, petisyen oleh Equaljustice ForMalaysians di www.change.org, tiga hari lalu mencatat lebih 56,000 tandatangan setakat jam 1 pagi tadi dengan sasaran terbaru mahu meraih 75,000 tandatangan.

Petisyen yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said di bawah “Dato: Equal justice” itu, menyifatkan jenayah dilakukan Rozita sebagai keji dan tidak berperikemanusiaan. “Biarpun dia seorang Datin, kaya dan ada kabel, tidak memberinya hak untuk memperlakukan sebegitu,” menurut petisyen itu lagi.

Kerana itu, saya teringatkan Yana. Biar pun bukan Datin, tidak kaya dan tidak punya kabel, saya naik angin juga dengan kecuaiannya yang silih berganti, seperti alat-alat perkakas elektrik yang dirosakkannya, malah bermati-matian menafikan menyebabkan seluar kesayangan saya bercapuk selepas dicucinya.

Yana memang tidak sempurna, tapi setidak-tidaknya dia ada apabila saya memerlukannya. Latar belakang kedaifannya tidak memungkinkannya mengadaptasi tuntutan moden sekelip mata. Bukan tiada amah yang saya batalkan permit selepas melarikan diri mengikuti kekasih, malah ada dihalau kerana mencuri.

Tapi, kejerihan Yana untuk menjelaskan hutang di kampung, selain impiannya untuk membeli lahan, memperelokkan rumahnya yang berlantai tanah dan menyekolahkan adik-adik mengatasi ketidaksempurnaannya. “Sampai bila mahu terus-terusan makan nasi jagung sama ikan asin, Kak,” kata Yana, satu hari.

Cuma, apakah nasib Suyanti dikira lebih baik berbanding Adelina yang dikembalikan ke pangkuan keluarganya sebagai tubuh yang kujur?  Lebih baikkah hidup kalau dibelenggu trauma? Dikhabarkan pelakunya  terlepas daripada hukuman berat, luka lama Suyanti mungkin saja berdarah kembali.

Esok, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman dalam kes Rozita dengan kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.

Si marhaen mungkin tidak begitu menyibukkan kepala dengan hubungan diplomasi Malaysia-Indonesia atau hal pentadbiran undang-undang, kerana keadilan bagi mereka adalah hak untuk punya impian yang tidak seharusnya dirampas biar sebawah mana pun kastanya diletak, apatah lagi oleh mak Datin seperti Rozita.

 

Foto: INGimage