Apa Yang Abang Morocco Nampak  Pada Miss Jumbo Queen, Gadis 180kg Yang Diperisterikannya Itu?

Bukan Cuma Cerita Cinta Biasa, Miss Jumbo Queen Nyata Inspirasi Paling Tidak Diduga

Apa Yang Abang Morocco Nampak  Pada Gadis 180kg Yang Diperisterikannya Itu? Bukan Cuma Cerita Cinta Biasa, Miss Jumbo Queen Nyata Inspirasi Paling Tidak Diduga

Bersaiz besar, Aiffa Syakirin Abd Majid, 25, sudah biasa berdepan dengan ungkapan negatif, termasuk yang berbaur penghinaan. Dimalukan, bukan sekali dua sampai dia akhirnya lali mendengarnya.

Sehinggalah dikutuk keluarga sendiri, rasa pedih di hatinya nyata tidak dapat dibendung lagi.

“Dia kenal saya dari kecil, lebih lagi kami ada pertalian darah sehingga saya hairan, perlukah mengutuk setiap kali berjumpa.” kata wanita asal Johor Bahru itu, mengimbau perjalanan awal hidupnya. “Saya sering diperli, kau ni makan apa, asal jumpa makin besar macam dipam-pam.”

Perjumpaan keluarga, terutama pada Lebaran, baginya merupakan hari paling menyedihkan apabila kutukan terhadapnya menjadi hiburan buat saudara itu.  Dia ketawa pahit mengingati zaman kecilnya “paling sikit mendapat duit raya sebab kata dia, budak gemuk tidak boleh pegang duit banyak.”

“Keadaan fizikal saya seolah satu dosa besar. Saya dihukum sebab gemuk,” katanya.

Dia tentunya bukan satu-satunya yang berdepan keadaan begitu, dijadikan bahan jenaka atau dimalukan disebabkan saiz badan mereka. Badak atau anak gajah, antara gelaran yang biasa dijoloki buat golongan ini. Soal perasaan mereka? Itu ditolak tepi.

Ini diburukkan lagi dengan kelancangan di media sosial seperti dalam isu membabitkan selebriti, Aishah ketika berlangsung program realiti Gegar Vaganva musim keempat (GV4) akhir tahun lalu, bagaimana seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ustazah Hamidah menggelar pelantun Janji Manismu itu “penyanyi gemuk macam b**i.”

Bukan cuma penghinaan yang mengguris hati, situasi Aiffa Syakirin misalnya yang mempunyai berat badan 180kg dengan ketinggian 160sm itu juga membiaskan gejala serius dihadapi rakyat Malaysia kini – obesiti dan berat badan berlebihan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Helmi Yahya di dalam satu kenyataannya tahun lalu, mendedahkan Malaysia berada di tangga No.1 bagi jumlah penghidap obesiti dan berat badan berlebihan di Asia Tenggara.

Ini disokong laporan Economist Intelligence Unit 2017 bertajuk “Tackling Obesity in Asean” yang menyebut masalah obesiti di Malaysia dicatat pada kadar 13.3 peratus, manakala 38.5 peratus bagi berat badan berlebihan. Gejala ini biasa dikaitkan dengan risiko tinggi daripada segi perubatan seperti diabetes dan penyakit jantung yang boleh menyebabkan kematian awal.

Begitu pun, bagi Aiffa, apa yang lebih genting ialah untuk membina semula harga diri.

“Di sekolah dulu, saya tiada kawan sebab berbadan besar, tambahan bukan anak orang senang. Ketika dalam Darjah Satu atau Dua, saya ingin sangat ikut kawan-kawan bermain cop tiang tapi mereka kata, budak bawah 10kg saja boleh main,” katanya, ketawa hambar.

“Saya jadi budak yang lebih suka duduk di rumah. Stres buat saya nak makan.”

Pengalaman menjalani temuduga bagi jawatan kerani membuatkannya trauma untuk memohon kerja walaupun dia merupakan graduan Teknologi Maklumat (Perniagaan) daripada sebuah kolej tempatan.

“Lelaki yang menemuduga saya terus memberitahu syarikatnya ‘tidak cukup besar’ untuk saya. Sebaik pulang, saya menangis. Dipanggil untuk temuduga lain, saya jadi trauma untuk mencuba lagi,” katanya.

jumbo

Puas dia memikirkan apa caranya untuk mencari rezeki sehinggalah pada 2013, ketika dia menjaga ibunya di hospital kerana diabetes, tawaran seorang jiran untuk mengasuh bayi diterima dengan tangan terbuka.

“Saya suka budak-budak,” katanya, jelas dalam nadanya yang riang. “Orang muda sebaya mungkin tidak pandang kerja jadi pengasuh tapi anak-anak inilah yang menjadi terapi saya. Saat saya stres dan sedih, mereka menggembirakan saya, menyuntik semangat dan buat saya rasa dihargai.”

Kelembutan dan sifat penyayang Aiffa, juga keikhlasan di dalam bicara barangkali itulah yang juga dirasai Badr Kebdani, 39, pada pertemuan pertama mereka, Oktober lalu ketika dia berkhidmat secara separuh masa sebagai pemandu Grab.

jumbo

Cukup bagi jejaka asal Maghribi itu untuk melamarnya dan mereka berkahwin pada 15 Disember lalu. Dia berkongsi hari bahagianya di Instagram, menggunakan akaun @missjumboqueen dengan cerita cinta yang disifatkan paling manis yang kemudiannya tular di media sosial dengan beroleh lebih 16,000 Likes.

“Kami tidak bercinta, jumpa pun hanya sekali semasa saya memandu Grab, membawanya ke lapangan terbang untuk dia kembali ke negara asal sebelum melamar saya tidak lama kemudian. Saya rasa, biar betul dia ni? Saya beritahu dia, saya ni badan besar tapi katanya, dia tidak fikirkan semua itu.

“Sebaik berkahwin, perkara pertama yang dia titikberatkan ialah pemakanan saya. Hanya makanan sihat untuk saya, katanya. Biasa bersarapan dengan kuey tiaw, nasi goreng tapi dia ajar saya makan roti wholemeal. Susah juga mulanya sebab dia mahu rebus-rebus, sedangkan saya suka tumis. Bukan saya saja, malah pemakanan mak pun suami yang jaga sekarang,” katanya.

Dia menyedari, dengan usia perkahwinannya belum mencecah sebulan, masih terlalu awal untuk meramal masa depannya apatah lagi dengan pelbagai tohmahan dan prasangka buruk, terutama berhubung niat lelaki asing seperti Badr untuk memperisterikannya.

“Saat dia melamar, saya sudah tidak fikir lagi pasal tanggapan buruk orang terhadap diri. Di usia 25 tahun, saya sudah tidak peduli apa orang mahu kata asalkan saya ada kerja, ada rezeki. Saya memutuskan sudah tiba masanya saya fikirkan masa depan,” katanya.

Baru belajar menyulam cinta bersama suami, kasih yang terjalin lebih awal antara dia dan anak-anak yang diasuhnya ikut menyerlahkan aura positif di dalam dirinya. Tidak lagi menjauhi mereka yang mengutuknya, dia bermain psikologi dan membalas perbuatan mereka dengan kebaikan.

“Saudara yang sering mengutuk saya dulu, saya balas baik. Semasa dia terlantar di hospital, sayalah yang mengambil berat, ziarah dan menghantar makanannya. Biarlah orang mengutuk tapi kita tetap berbuat baik. Jangan biar mereka rasa menang kerana dapat merendah, melemahkan kita.

“Apa orang tidak cakap saya dulu? Orang gemuk pemalas, berbau.. susah nak kahwin. Saya sudah membuktikan mereka salah. Siapa tak mahu sihat? Keinginan mengurangkan berat badan sentiasa ada dan mungkin kehadiran suami petanda perubahan fasa dalam hidup saya.

“Sejujurnya, saya gembira, puas apabila dapat berbuat baik walaupun dengan orang yang membenci, mengutuk saya kerana tiada siapa dapat mengawal hidup orang lain kerana kitalah yang sebenarnya yang akan menentukan apakah hari kita akan mendung atau sebaliknya.”

Aiffa barangkali sudah bertemu malaikat pelindungnya dan nyata, panahan cinta memang magikal.

 

Foto: Ihsan Aiffa & Instagram missjumboqueen