Kesan Perginya Adamdidam & Faziani Rohban

Kenal daripada Instagram, terasa akrab biarpun...

Mati itu pasti… Allah dah janji. Bila, di mana, dalam apa keadaannya, itu rahsia abadi sang Maha Pencipta.

Faziani Rohban (kiri) & Adamdidam

Dikejutkan dengan pemergian dua figura terkenal hujung minggu kedua Ramadan 2019 ini, memberi kesan yang mendalam dan sukar digambarkan, entah kenapa begitu terkesan buat saya. Sedih yang amat… Mengenangkan pula kita sudah separuh jalan menyempurnakan ibadah puasa.

Faziani Rohban Ahmad, 40, usahawan wanita yang saya anggap seorang iron lady, pemilik Dnars Skincare, meninggal dunia akibat kecelekaan jalan raya pada pagi Sabtu 18 Mei 2019, ketika dalam perjalanan ke Yala, Thailand bersama suami, Shah Rizal Ibrahim, 42. Manakan hendak sangka dia pergi begitu sekelip mata. Apatah lagi sedang dalam ‘misi’ keberkatan, untuk menyampaikan sumbangan ke sebuah pondok.

Arwah Faziani juga dilaporkan baru saja pulang menunaikan ibadah umrah, Rabu lalu dan selepas itu telah ke Jakarta, Indonesia untuk berbuka puasa bersama anak yatim di sana.

Muhammad Adam Mahamed Ismail, 29, mesra dikenali Adamdidam, seorang chef selebriti dan penggiat dunia masakan meninggal dunia pagi 19 Mei 2019 setelah menderita jangkitan paru-paru. Lama dia ‘menghilang’ daripada akaun Instagram @adamdidam tapi sempat dia beri telahan sesuatu sedang berlaku, berkaitan kesihatannya. Neelofa yang berpangkat anak saudara dengannya pernah juga meletak InstaStory supaya mendoakan Adam.

Arwah Faziani tidak pernah saya temui tetapi saya sudah lama meminatinya menerusi Instagram. Antara figura dunia perniagaan yang amat disegani. Namanya sering dipetik bila dirakam bersama ramai ahli perniagaan terkenal seperti Dato Seri Vida, Dato Seri Aliff Syukri dan isteri Datin Seri Shahida, Rita Sosilawati malah selebriti Fasha Sandha.

View this post on Instagram

Masih terkejut.. Macam tak percaya.. Sekelip mata.. Menggigil tubuh saya dapat mesej.. Dinars dah meninggal.. . . ARWAH [email protected]_rohban . RAKAN SEPERJUANGAN PERNIAGAAN Kematian yg dicemburui.. Bulan baik.. bulan ramadhan.. Dalam perjalanan hantar zakat utk anak yatim.. Baru balik umrah.. Seorang yg kuat beribadat. Selalu pergi umrahh.. Saya sendiri jeles dgn arwah tak putus putus berjuang buat amal ibadat.. MALAH SY BILA KE MEKAH..AKAN IKUT CARA ARWAH YG MMG PULUNG BUAT UMRAH BERKALI KALI SEHARI.. . . BARU BARU NI.. Saya perasan wajah arwah lain .. Masa dok up up gambar kat IG.. Sya buat terjemahan sendiri.. Bagai bagai..bila rasa lain raut wajahnya . . Selepas balik dari umrah 3 hari.. Kejar ibadat lagi.. . Sayuu.. 😭 Allah yg tahu.. Last bertemu dan bersembang panjang kat Tanah Merah ..rumah kak Ti masyrik.. . . ALLAH SAYANG ARWAH.. SEORANG YG BERHATI MULIA.. SYURGA MENANTI MU SAHABAT.. Mari sama2 kita sedekahkan al fatihah kpd arwah.. . Al Fatihah .

A post shared by Dato' Seri Dr. Hajah Vida (@datoserivida) on

Suka melihat cara dia menggiat dan menggerakkan setiap aktiviti tak kira perniagaan, peribadi mahupun amalan. Sangat memberi inspirasi dan mengingatkan diri saya sendiri, banyaknya lagi yang saya tak buat-buat.

Dengan Adam juga, saya antara followers di Instagramnya. Disebabkannya saya turut meminati @TheFamily.UK, mengikuti perkembangan anak2 saudaranya – Omar, Fatimah dan Ali. Keakraban mereka terlalu menggamit hati. Hubungan kekeluargaan, saling menyokong minat memasak, saling mengajar… Ideal sungguh hubungan kefamilian yang ditunjukkan.

Bayangkan bila Mamajee Adam balik ke Malaysia, sugul anak-anak kecil itu kerana terlalu merindukannya.

Adam sempat saya dan team Jelita & Her Inspirasi kenali bila mana dia hadir ke pejabat kami untuk mengadili Anugerah Dapur With Love 2019 bersama chef dan penggiat makanan lain – Nurhayati Zainol Abidin daripada YatieKitchen, Satira Diana dan Farah Melissa daripada Kek&Co, Chef Norzailina Nordin atau Chef Lin dan Chef Yenni Law.

Arwah Adam seorang saja kumbang di kalangan bungaan mekar, dia memang penyumbang besar keceriaan di dapur kami sepanjang sesi berkenaan. Tak kering gusi dibuatnya. Rajin pula tu bertanya itu ini. Yatie yang baru bertentang mata dengannya dan duduk di depan Adam pun nyata mudah mesra…

Usai sesi mengadili, saya dan penulis, Ayunadirah menemaninya di lobi pejabat sementara menunggu kereta Grab ditempahnya datang menjemput. Sempat kami berbual panjang, antaranya termasuk cadangannya untuk membawa Fatimah ke Malaysia dalam Ogos atau September. Saya terus lontarkan idea untuk babitkan Fatimah dalam pelbagai program anjuran Jelita dan HerInspirasi sebelum hujung tahun ini. Dia beria setuju, kami sama-sama teruja.

Selepas berbual mengenai perancangan separuh kedua tahun ini.

Antara yang disebut arwah pada saya, dia hendak sangat melihat anak buahnya itu menjadi lebih yakin, sebagai anak dunia kulinari yang berjaya. Benda yang baik, sudah tentu kami mahukan ia berlaku.

InsyaAllah, akan kakak cuba penuhi niat murnimu, dik…

Semua ini membuat saya terfikir, bagaimana ‘perkenalan’ yang bermula di alam maya menbawa kepada kemesraan dan keakraban bila disatukan di alam realiti.

Silaturrahim hari ini terbina lebih mudah dengan hanya klik FOLLOW. Keramat. Kerana daripada situ, anda rasa seperti kenal, faham dan terhibur dengan setiap muatan di papan timeline. Seperti anda dapat mendalami kisah hidup dan peribadi seseorang itu hanya dengan melihat pada postingnya.

Itulah kelebihan Instagram yang sukar disangkalkan. Daripada melihat album gambar milik tuannya, terus terasa kenal. Bila berpeluang berjumpa, sambung terus perbualan seakan sudah kenal lama, padahal…

Biarpun ramai yang gemar menjadikan persekitaran sosial media sebagai medan negativiti, tetapi bila perlu menyampaikan berita tunjang seperti perginya seorang teman, ianya ternyata pantas.

Bila sudah tahu, lekas sekali kita mahu menyedekahkan AlFatihah buat arwah yang telah tiada, menanti saat dikembalikan ke tanah untuk berdepan alam kubur di negeri abadi. Bukankah itu perkara yang baik dan perlu diketengahkan selalu? Alhamdulillah…

Arwah Faziani dan Adam pergi meninggalkan kita dengan penuh cerita tersendiri. Jika ada yang kelupaan, rujuk semula ke akaun Instagram mereka… Pasti ada yang memberi kesan, kalau tak banyak, sedikit pun boleh dan wajar dijadikan inspirasi.

Hanya yang baik-baik diingati dan rata-rata, hanya yang baik-baik saya baca mengenai pemergian dua insan ini.

Ya Allah, Kau ampunilah dosa mereka, angkatlah sumbangan dan pahala mereka ke tempat tertinggi di sisiMu.

Bagi kami yang masih di alam duniawi ini, berilah kami peluang untuk terus membuat amalan yang hanya menggembirakan hatiMu.

AlFatihah buat kedua-dua arwah…

Antara keletah Adam yang sempat kami rakam sewaktu penjurian Anugerah Dapur With Love 2019

Adam yang menceriakan suasana penjurian.

Sesi penjurian dibawakan oleh Jelita, Her World, The Malaysian Women’s Weekly dan Shape Malaysia.