Ajar Si Kecil Beradab Bila Berkunjungan

Siapkan sahsiah anak sebelum pergi beraya ya.

Musim Raya masih berbaki kira-kira dua minggu lebih dan jemputan ke rumah terbuka kian rancak saban minggu.

Gambar Hiasan/Dari Jelita edisi Mei 2019

Rata-rata ibu bapa cuba sedaya upaya memenuhi undangan terutama pada hujung minggu dengan niat silaturrahim dan merebut peluang untuk bertemu rakan atau saudara mara yang jarang bertentang mata. Almaklum saja, kekangan masa ditambah pula dengan tuntutan rutin harian lain buat anda tidak berkesempatan hendak kerap berjumpa.

Namun, ada persiapan yang wajar anda ambil kira dan terapkan pada diri serta anak-anak anda sebelum memulakan perjalanan untuk bertandang ke rumah yang mengundang. Selain berhias cantik, nampak kemas dan santun kerana itu adalah sebahagian daripada kehendak agama Islam, adab dan perangai juga perlulah teratur supaya nama baik keluarga anda juga yang terjaga molek.

Hujung minggu baru ini, saya cukup terhibur melihat usikan dan ‘bebelan’ personaliti terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim menerusi Instagram storynya yang membaur rasa geli hati dan terasa hati apabila dia berkongsi pengalaman apa yang berlaku pada kediamannya usai kunjungan tetamu jemputan. Sempat dia tunjuk ada pasu kesayangan yang pecah bahagian belakang, terpaksa dipusing supaya nampak bahagian lagi satu yang masih elok. Pastinya dia sayang hendak buang kerana ada nilai dan sebab tertentu pasu itu ditempatkan di ruang utama rumahnya.

Merungut Datuk kita kerana harta kesayangan tidak lagi sempurna, tapi dia sempat juga menyelit, bukanlah dia agungkan sangat hartanya cuma tertanya kenapa ada tetamu tidak berhati-hati bila berada di rumahnya yang sudah terang lagi bersuluh mempunyai banyak perhiasan cantik. Paling comel, dia berkongsi yang ‘tukang mengadu’ tidak lain tidak bukan, anak bongsunya Ali sebab si kecil itu sendiri tahu, setiap barangan dalam rumah mereka cukup bernilai pada bapanya itu.

Biarpun ramai yang mungkin berasa, ini hanya perkara remeh, tetapi sedikit sebanyak mencalar reputasi sang pelaku. Sudahnya, tidak lagi diundang kerana tidak pandai ‘membawa diri.’

Rentetan kejadian berkenaan, ramai pula yang berkongsi pengalaman rumah jadi berantakan kerana anak tetamu seakan menjadikan rumah undangan bagai ‘taman permainan’ – ada yang berkongsi dengan Rizalman, batang langsir pun boleh terburai! Terbeliak mata saya yang melihatnya, urut dada kalau jadi depan mata.

Gambar Hiasan/Sumber: Google

Moral of the story, ya anak kecil memang suka bereksperimen, memegang sana sini kerana itu sebahagian intuisi dan rasa ingin tahunya tetapi ikut pengalaman sendiri, ianya boleh diajar. Anak nakal boleh dilentur agar tahu bila masa boleh jadi nakal, bila masa kena duduk teratur. Dan berkunjung ke rumah orang adalah waktu untuk duduk molek dan teratur.

Makan masa untuk membentuk, itu sudah pasti tetapi hendak hafal ABC pun bukannya dalam masa sejam dua, sehari seminggu, tentulah makan masa. Lambat laun boleh juga ingat hinggalah boleh membaca bermakna, pembentukan adab dan sahsiah anak oleh ibu bapa boleh dilakukan!

Marah anak di rumah sendiri dan marah anak di rumah orang juga anda boleh bezakan dan ajar pada si kecil. Bila tiada orang luar, bolehlah gunakan intonasi keras sedikit kerana kita menghadap anak kita sendirian. Bila di rumah orang, untuk memarahi atau menegurnya, wujudkanlah teknik tersendiri.

Contoh, panggilnya dengan nama penuh dengan nada sedikit keras bila di rumah orang sambil jegilkan mata dan berikan senyuman ‘gila’. Ya, bunyinya agak psycho tapi biar anak tau Mummy tidak suka perangainya hendak memegang harta di rumah orang. Walaupun tuan rumah cakap “takpeeee…budakkk…biasalah…” JANGAN! Usah biarkan anak anda teruskan perbuatan nakalnya walaupun tuan rumah ‘izin’ kerana biasalah tuan rumah kenalah bermulut manis. Yang penting sekarang ni, anak anda tidak membuat kesilapan yang boleh dielakkan.

ING Image/Click Photos

Katakanlah ragam anak anda seakan sukar dikawal, contoh tantrum dan jeritnya sudah mengalahkan suara Whitney Houston dalam lagu I Love You, mintalah diri untuk pulang walaupun anda tidak sempat menjamah hidangan raya semeja yang anda teringin sangat makan itu. Boleh saja cakap dengan tuan rumah, maaf, nanti kita set lain untuk berjumpa lain kali.

Di zaman padat teknologi komunikasi, silaturrahim tidaklah semudah itu putus kerana pada bila-bila masa saja boleh bertanya khabar. Tetapi jika sesuatu yang buruk berlaku di rumah terbuka disebabkan oleh anak anda, ada kemungkinan sendu dan bersawanglah ruang sembang anda dengan teman anda itu selepas kejadian. Aduhai…

Akhir kata, berkunjungan bukan semata untuk mengisi perut yang lapar, tetapi menyambung perhubungan dengan impresi yang betul. Anak anda juga adalah ‘halaman depan’ imej keluarga anda. Bagus bawanya ke rumah terbuka atau majlis gathering supaya mereka praktis untuk beradab, tetapi anda kenalah terapkannya dengan ilmu yang betul.

Bila anak anda berkelakuan baik, berikannya pujian kerana sudah pasti mereka lebih suka dan berbunga hati kerana perbuatannya diberi markah tinggi daripada Mummy menyinga dan dia dimarahi…