Biar Kulit Baiki Sendiri Dengan Rejuran

Apa anda perlu tahu mengenai suntikan aestetik yang terbaru ini.

Sebagai editor, saya dapat banyak peluang mencuba perawatan wajah terbaru sama ada facial malahan aestetik. Tetapi, tidaklah semua saya akan katakan ya secara semberono. Saya akan cuba membaca terlebih dulu, tanya sebanyak mungkin soalan terlebih dahulu dengan PR yang mengundang juga pada doktor yang bakal membuat perawatan, terutama bagi rawatan aestetik.

Imej: Depositphotos

Manusia biasa, tentulah takut dengan rawatan yang membabitkan jarum dan cucukan. Sama juga bila ditawarkan untuk mencuba Rejuran yang menggunakan sperma Salmon, dicucuk pada wajah bertujuan membantu kulit untuk cuba merawat permasalah kulit dengan sendiri, demikian kata jemputan itu.

“Bila dicucuk secara intra-dermal ke dalam kulit, Rejuran menawarkan manfaat seperti mengecilkan liang pori, membantu pemulihan parut, mencerahkan kulit, menyeimbang kadar minyak dan kelembapan lantas memberikan kualiti serta tekstur kulit yang lebih baik,” katanya.

Dr Christie Moey

Saya yang membuat janji temu dengan Dr Christie Moey di Clique Clinic, EcoCity, Jalan Bangsar menetapkan supaya sesi wawancara dijalankan terlebih dulu sebelum sesi rundingan dan rawatan. Ikuti perbualan saya dan Dr Moey.

S: Apakah sasaran perawatan Rejuran?

J: Rawatan ini lebih mensasarkan kepada masalah pigmentasi, memfokus kepada parut dan juga liang pori.

S: Bagaimanakah ianya berbeza dengan rawatan membabitkan suntikan yang lain?

J: Rejuran ada kesamaan seperti PRP kerana ia memiliki mekanisme memulihkan. Bezanya adalah PRP menggunakan darah pesakit yang kemudiannya dibaiki kualitinya kemudian dikenakan semula pada kulit. Manakala Rejuran hadir dalam kotak yang berlabel Rejuran dan ianya datang daripada DNA ikan Salmon. Namun, bagi PRP, keberkesanan perawatan turut perlu mengambil kira kualiti darah pelanggan berkenaan (faktor gaya hidup, merokok atau tidak, cukup tidur dll) yang boleh menyebabkan hasilnya tidak konsisten seperti Rejuran.

S: Adakah Rejuran akan merubah rupa paras wajah anda?

J: Ia bukan sejenis filler yang mampu memperlihatkan perubahan lebih ketara, tetapi hasil daripada Rejuran adalah lebih perlahan namun lebih baik. Ada pelanggan beritahu nampak kulit lebih cerah sehari selepas mencubanya. Ada yang nampak perubahan seminggu selepasnya. Untuk tekstur, ia makan sedikit masa tetapi ada kemungkinan anda akan nampak keserian dan kulit mencerah terlebih dulu. Ia lebih kepada memperlahankan proses penuaan.

Sewaktu menemu bual Dr Moey.

S:  Bilakah usia sesuai untuk mula mencuba Rejuran?

J: Bergantung kepada faktor genetik. Ada yang lahir dengan kulit elok, jadi tidak perlulah mula terlalu awal. Secara umumnya, sekitar 30-an. Bila anda melangkah usia 25 tahun, anda perlu tahu cara kendali proses penuaan. Sesetengah orang menua perlahan tetapi ada juga yang nampak cepat tua. Ia turut membabitkan faktor persekitaran, gaya hidup anda, tekanan, hormon, cara anda menjaga kulit anda setiap hari, juga jenis suplemen yang anda ambil. Semua ini boleh memberi kesan kepada kulit anda.

Sebagai contoh, kesan mengguna atau tidak mengguna krim tabir suria hanya boleh dilihat dalam jangka masa panjang. Lagi awal usia anda mengamalkannya, kesannya akan anda lihat sekitar 10 tahun selepas itu. Bayangkan jika tidak mula awal, sudah tentu akan nampak macam-macam masalah pada kemudian hari.

S: Apakah produk kecantikan yang penting kena ada dalam rutin penjagaan?

J: Bagi saya, less is more. Cukup sekadar membersihkan wajah, menggunakan serum dan krim UV. Cukup!

Jangan tamak, dan letak segala macam produk pada kulit kerana ada kala, kulit tidak dapat terima semua itu serentak. Bagi saya, pelembap tidak perlu (digunakan) melainkan kulit anda jenis kering. Jika kulit anda jenis berminyak, serum sudah memadai. Ada pelbagai jenis serum di pasaran yang mengikut jenis kulit. Kenali jenis kulit anda, dan pilih yang bersesuaian. Namun, krim tabir usia adalah ‘wajib.’

Dan tidak mengapa menggunakan produk daripada jenama berbeza asalkan ia memberi manfaat yang anda sendiri kehendaki.

MASA UNTUK MENCUBA!

Usai perbualan ini, saya kemudian dibawa ke bilik perawatan untuk membersihkan wajah daripada solekan supaya doktor boleh melihat keadaan sebenar kulit. Doktor Moey berkata, kulit saya ada sedikit sensitiviti terutama sekitar kawasan tepi hidung selain liang pori terbuka juga kantung mata tampak ‘berat.’

Menunggu ubat kebas berkesan.

Bila krim kebas disapu ke seluruh muka, saya terkejut juga kerana ia turut disapu pada leher. Kenapa? “Mungkin doktor mahu cucuk kawasan leher juga, takkan wajah saja dapat belaian,” logik pembantu doktor. Betul juga…

Selepas kira-kira setengah jam, doktor masuk semula ke bilik rawatan dan memulakan sesi menyuntik Rejuran. Bohong jika saya katakan tidak terasa apa-apa sewaktu disuntik tetapi krim bius ada membantu apatah lagi diletak dengan alat getaran berhampiran kawasan dicucuk. Ia bertujuan mengalih perhatian bila mana cecair Rejuran disuntik masuk. Sewaktu jarum menusuk kulit tidak terasa, tetapi bila bahan disuntik, tentulah rasa.

Sesi rawatan bermula.

Seperti dimaklumkan, kawasan leher terutama pada garisan (faktor usia, tentulah ada garis) turut disuntik dan Doktor Moey sempat berseloroh, “Anida, you dah ada rantai mutiara baru…”. Selesai sesi itu, wajah dibersihkan daripada sebarang cela darah (perkara normal). Saya diberi cermin untuk melihat rupa ‘baru’. Penuh dengan bintil seakan digigit nyamuk – juga perkara normal kerana kulit bertindak balas pada kesan cucukan.

Kesan selepas rawatan.

Tidak perlu risau kerana bintil berkenaan menyurut dan hilang sepenuhnya dalam tempoh 24 jam. Cuma pada bahagian leher hanya selepas dua hari baru ianya kembali normal.

Dua minggu selepas mencuba Rejuran, saya ada menerima pujian yang kulit nampak lebih berseri dan saya sendiri berasa melayangkan solekan pada wajah menjadi lebih enteng. Mungkin kerana apa saja disapu, melekat elok. Malah, solekan jadi lebih tahan lama kerana asasnya (iaitu kulit) berada dalam keadaan optimum.

Dirakam pagi 9 Ogos 2019, tanpa sebarang solekan.

Menurut Dr Moey, bagi sesetengah pelanggan, perlu mengulang sesi ini sebulan sekali selama tiga bulan, kemudian bagi ‘penyenggaraannya’, setiap enam bulan. Bermakna kulit akan terjaga dengan lebih baik.

Semestinya, anda juga perlu membuat sumbangan pada kulit wajah dengan rutin penjagaan yang disiplin dan betul. Selain itu, perbaiki gaya hidup dengan amalan sihat – minum air mencukupi, bersenam dan cukup tidur. Semua ini juga pasti membantu dalam menghasilkan bukan saja kulit yang cantik, malah tubuh juga akan berasa sihat.

 

BACA JUGA: Umur 30-an Tapi Dirudung Jerawat? Apa Hendak Buat?