Urutan Semasa Hamil, Boleh atau Tidak?

Sedapnya kalau dapat hilangkan rasa lenguh membawa budak!

Sewaktu mengandung terutama ketika usia kehamilan mencecah tujuh bulan, ibu berkenaan berdepan perubahan bentuk tubuh yang drastik hingga terasa lenguh atau sakit bahagian belakang kerana perut yang semakin membesar. Menyebabkan ibu menginginkan urutan buat mereka.

Bagi wanita Melayu, urut sewaktu hamil ada dilakukan mengikut tradisi malah dikatakan mampu membantu menstabilkan hormon ibu hamil yang kerap berubah dek kerana pembawakan bayi. Namun, ditegaskan, bukan sebarang urut boleh dilakukan kepada ibu mengandung. Banyak faktor perlu diambil kira termasuk kesihatan ibu mengandung.

Gambar : Ingimage

Menurut Azizah Mohd Yassin, tukang urut tradisional berurut semasa hamil sebenarnya dibenarkan hanya selepas usia kehamilan mencecah empat bulan dan ke atas sahaja. Jika kehamilan kurang daripada usia kandungan berkenaan ia boleh memberi risiko keguguran.

Kelebihan Mengurut

Terdapat beberapa kelebihan untuk ibu mengandung. Urutan tradisional di bahagian payudara sesuai dilakukan setelah kehamilan memasuki trimester ketiga untuk merangsang pengeluaran air susu ibu. Ia perlu dilakukan dengan lemah lembut dan mengikut teknik urutan yang betul. Beberapa kelebihan lain mengurut tradisional ialah:

  1. Boleh menghilangkan kekejangan kaki.
  2. Baik untuk perjalanan darah.
  3. Melegakan serta memberi kesegaran pada tubuh badan.
  4. Boleh mengawal emosi.
  5. Tidak cepat letih atau penat.
  6. Membantu kesihatan pada ibu dan kandungan.
  7. Baik untuk wanita yang mempunyai penyakit asma.
  8. Urut boleh membantu ibu hamil menambah tenaga, sentiasa sihat dan sukar mendapat demam dan panas badan kerana dengan mengurut dapat mengeluarkan angin yang terkumpul di dalam badan.

Tidak Dibenarkan Jika..

Bagi ibu hamil yang ingin mengurut, faktor kesihatan perlu diambil kira kerana anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami keguguran jika mengurut. Berikut adalah keadaan yang DILARANG melakukan urutan tradisional:

  • Jika ada penyakit darah tinggi dan kencing manis.
  • Tubuh yang sangat lemah dan mempunyai banyak masalah seperti mabuk kehamilan.
  • Wanita yang pernah melahirkan anak pramatang.
  • Pernah mengalami keguguran.
  • Wanita yang mempunyai uri ke bawah.

Kawasan yang dibenarkan diurutĀ 

Bagi ibu hamil, kawasan yang dibenarkan untuk diurut mengikut sudut perubatan ialah anggota badan yang bergerak sahaja. Contoh seperti :

  • Leher
  • Bahu
  • Bahagian Belakang Badan
  • Kepala
  • Punggung Belakang
  • Tangan dan Kaki (selain telapak kaki)

CARA URUTAN YANG BETUL

Ibu hamil yang bercadang untuk melakukan urutan perlu mencari tukang urut yang mahir dan mempunyai pengalaman dalam mengurut hamil. Walaupun mempunyai manfaat yang banyak namun ia masih perlu pertimbangan yang terperinci. Bukan semua tukang urut mengetahui cara yang betul.

Selalunya urutan bermula daripada bahagian bawah belakang badan kemudian beralih kepada bahagian bahu hingga ke tengah badan. Ianya kemudian diikuti hingga ke pinggang dengan cara urutan yang lembut. Urutan kemudian disambung sehingga ke bahagian kaki dengan lembut supaya badan ibu hamil menjadi segar. Kombinasi urutan dengan menekan, menggosok, memutar dan mengusap perlu dilakukan secara perlahan.

Terdapat beberapa bahagian badan yang perlu dielakkan daripada diurut terutamanya bahagian perut kerana ia bahagian yang paling dekat dengan organ peranakan. Selain itu, bahagian telapak kaki juga tidak dibenarkan kerana ia mempunyai banyak urat yang berkait dengan saraf dan pembuluh darah.