Pasangan Berkahwin Perlu Ada 5 Keupayaan Ini Jika Mahu Anak

Setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu mahu memiliki keluarga bahagia dengan kehadiran cahaya mata. Namun pada zaman ini, sukar untuk bagi pasangan muda kerana banyak perkara perlu diambil kira jika mahu mendapatkan anak. Pengetahuan mengenai hubungan seksual penting kerana boleh membantu pasangan yang ingin menambah ahli keluarga baru tanpa menjejaskan kesihatan ibu atau bayi itu sendiri. Tanggapan positif terhadap kesihatan reproduktif juga mampu menolong sesebuah keluarga untuk membuat keputusan merancang keluarga dengan baik dan tanpa sebarang masalah yang rumit. 

Gambar : Depositphotos

Antara salah anggap yang lazim didengari mengenai hubungan seksual ialah apabila isteri tidak dibenarkan menolak permintaan seks oleh suami, tidak mengehadkan bilangan anak kerana menganggap ianya adalah rahmat daripada Tuhan dan meletakkan tanggungjawab mencegah kehamilan sepenuhnya pada isteri sahaja.

Menurut Dr Harlina Halizah Siraj, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ada pasangan yang tidak tahu merancang keluarga kerana mereka masih belum dapat berkomunikasi secara telus. Wanita perlu ada kemahiran berkomunikasi secara tegas (assertive). Maksudnya di sini, isteri masih menghormati suami tetapi masih perlu mempertahankan haknya dan tidak hanya mengalah pada kehendak suami. Ia bukan bermaksud si isteri mengawal suami tetapi lebih kepada menghormati hak masing-masing.

Jika si isteri sentiasa mengalah akhirnya si isteri terpaksa menanggung derita tiada jarak kehamilan dan kemudian mengakibatkan masalah yang lebih besar seperti tidak cukup perbelanjaan untuk menanggung anak. Pasangan perlu ada lima keupayaan ini jika mahu mendapat anak :

  1. Fizikal

Dalam konteks ini lebih banyak melibatkan pada isteri. Jika si isteri mempunyai masalah  penyakit berbahaya seperti darah tinggi, sakit buah pinggang atau masalah jantung yang boleh memberi kesan ketika hamil adalah tidak digalakan. Berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat.

  1. Ekonomi

Walaupun wang bukan segalanya tetapi semua benda memerlukan duit. Pastikan mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk keluarga dan anak yang bakal lahir.

  1. Persediaan Emosi

Ibu hamil perlu untuk memiliki persediaan emosi yang cukup bagi mengelak berlaku masalah melibatkan emosi atau mengalami kemurungan sebelum mendapat anak atau selepas

  1. Masa

Ini lebih kepada si suami yang terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa untuk keluarga. Terutama mereka yang mempunyai hubungan jarak jauh tetapi sudah mempunyai anak dan membiarkan si isteri menjaga anak bersendirian.

  1. Sokongan Sosial

Keupayaan ini pula memerlukan suami isteri mendapat sokongan sosial daripada rakan dan keluarga. Boleh bertanya pendapat rakan dan keluarga mengenai cara perancangan keluarga atau mendapatkan nasihat pakar.