Tip Mudah Sediakan Anak Terima Kelahiran Adik

Ini caranya untuk mempersiapkan anak terima adik baru

Menyampaikan berita tentang kelahiran ahli keluarga baru kepada anak sulung yang masih kecil mungkin bukan perkara yang mudah. Ini kerana ada di antara mereka yang takut dengan kehadiran adik baru ini akan membuatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa kepadanya akan mula hilang. Mungkin ada juga di antara anak kecil ini yang takut untuk mendapatkan adik baru kerana sentiasa melihat rakan mereka bergaduh dengan adik sendiri. Jadi, anda perlu mempersiapkan mereka untuk menerima kelahiran adik. Ini ada beberapa tip yang boleh anda cuba.

Ingatkan tentang kehadiran adik baru di dalam perut ibu

Jangan gunakan alasan cemburu atau sebagainya untuk melengahkan masa memberitahu berita gembira kepada anak anda. Anda perlu memberitahu mereka dengan segera agar mereka dapat mempersiapkan diri menyambut kehadiran adik barunya.

Bawa jumpa kawan yang punya anak lebih daripada satu

Jika kawan punya anak yang sebaya adalah lebih baik. Biarkan anak anda bermain dengan kanak-kanak yang lain. Biarkan mereka lihat bagaiman rakan seumur mereka seronok bermain dengan adik mereka.

Sentiasa peluk anak ketika hamil

Anak anda mungkin rasa tergugat dengan kehadiran adik baru kerana khuatir jika kasih sayang anda akan diberikan sepenuhnya kepada adik baru. Oleh itu, anda perlu tunjukkan kepada mereka bahawa walaupun dengan kehadiran adik baru, dia masih lagi disayangi. Sentiasa peluk anak ketika sedang hamil. Bisikkan kata-kata sayang kepadanya. Beritahu mereka bahawa adik mereka juga menyayangi mereka agar mereka tidak rasa tergugat dengan kehadiran bayi baru.

Libatkan anak dalam memilih barangan bayi

Ketika membeli-belah untuk barangan bayi, biarkan anak anda memilih corak atau warna baju untuk adiknya. Bila bayi lahir kelak, anda juga boleh ‘ceritakan’ kepada bayi, siapa yang memilih baju yang dipakainya agar anak rasa bangga dengan apa yang sudah dilakukannya.

Bercerita kepadanya

Gunakan buku cerita mengenai hubungan adik beradik. Sentiasa ulang membaca cerita tersebut sehingga anak faham dan sentiasa mengingati tentang keistimewaan mempunyai seorang adik.

Persiapkan anak untuk berdikari

Sebaik sahaja adik dilahirkan, secara automatik ibu bapa tidak boleh berikan perhatian sepenuhnya kepada anak sulung sepert sebelum ini. Oleh itu, amat penting sekali untuk anda didik anak supaya berdikari. Mulakan dengan mengajarnya makan sendiri, pakai pakaian sendiri dan menyiapkan keperluan sendiri. Ini memudahkan anda sebaik sahaja bayi baru dilahirkan dan anda tidak perlu risau untuk membiarkan anak sulung menguruskan diri mereka sendiri.

Gif: Sumber Google