REPLIKA AISKRIM TERBESAR KINI DI LEGOLAND Malaysia Resort

Saksikan kemeriahan bersempena pembinaan Replika Aiskrim terbesar yang kini berada di Legoland Malaysia Resort

Bersempena dengan hari Kanak-Kanak Sedunia 2018, Paddle Pop dengan kerjasama Legoland Malaysia Resort telah menganjurkan satu acara khas iaitu  pembinaan replika aiskrim terbesar menggunakan bahan kitar semula yang telah dijayakan 246 kanak- kanak.

Kanak-kanak berkenaan hadir daripada rumah anak yatim sekitar Johor ini telah menggunakan 8,000 batang aiskrim bagi membina “Replika Ais Krim Terbesar Menggunakan Bahan Kitar Semula”. Berikutan usaha gigih mereka ini, replika aiskrim yang menakjubkan ini telah berjaya disenaraikan ke dalam Malaysia Book of Records.

Dengan bertemakan seni mesra alam, kanak-kanak ini telah berusaha mengumpul batang aiskrim berkenaan menerusi beberapa siri permainan yang menyeronokkan. Batang aiskrim itu kemudiannya diwarnakan bagi menghasilkan replika aiskrim yang bertemakan pelangi. Replika aiskrim terbesar berukuran 3.2 meter tinggi, 1.2 meter lebar dan berkedalaman 0.1 meter (11 kaki x 4 kaki) itu ditempatkan di Legoland Malaysia Resort di Iskandar Puteri. Struktur aiskrim bertemakan pelangi itu dipilih kerana ia melambangkan Papple Pop sebagai jenama aiskrim terkenal dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu, Shiv Sahgal, Pengarah Pemasaran Makanan & Minuman, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd berkata, usaha sama ini adalah satu aktiviti yang sangat positif dalam membantu dan mendidik kanak- kanak ke arah perkembangan yang lebih positif.

“Kami teruja melihat kanak-kanak begitu bersungguh ketika membina replika aiskrim tersebut. Mereka kelihatan sangat gembira kerana dapat mengambil bahagian di dalam aktiviti ini untuk mengitar dan mengguna semula barangan yang biasa ditemui daripada dibuang begitu sahaja. Pengalaman ini dapat membantu mereka memahami peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak dalam melindungi alam sekitar. Replika berkenaan akan dikekalkan di Legoland Malaysia Resort sebagai peringatan kepada kanak-kanak lain setiap kali mereka berkunjung ke taman tema Legoland,” katanya.

Rekod berkenaan telah disampaikan Edwin Yeoh Tiong Chin, Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran, Malaysia Book of Records Sdn Bhd  kepada Sahgal sambil disaksikan Thila Munusamy, Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia Resort pada 24 November 2018 lalu.

Sementara itu, Munusamy berkata, kolaborasi bersama Paddle Pop ini amat penting untuk terus memberi kegembiraan kepada kanak-kanak. Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan, pihaknya percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk bermain dan berkembang melalui bermain.

“Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini amat bermakna kerana kami dapat berkongsi pengalaman memecah rekod dengan membina replika aiskrim terbesar menggunakan bahan kitar semula bersama-sama dengan kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim. Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka menjadi bukti bahawa kami telah berjaya mencipta satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk mereka,” ujarnya lagi.

Sepanjang berlangsungnya aktiviti Hari Kanak-Kanak Sedunia berkenaan, kesemua 246 kanak-kanak ini telah dibawa untuk merasai pengalaman yang mengujakan di taman tema Legoland.

“Kami amat berbesar hati kerana dijemput Paddle Pop untuk menyertai acara ini. Ia satu pengalaman yang sangat menyeronokkan  di samping padat dengan ilmu pengetahuan untuk kanak-kanak berkenaan dan kami berharap agar diberi peluang seperti ini lagi di masa hadapan,” kata Datuk Haji Mohamad, penjaga satu daripada rumah anak yatim yang mengambil bahagian, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Paddle Pop, sila layari ke laman web www.paddlepop.com.my. Manakala, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Legoland Malaysia Resort, sila layari ke laman web www.LEGOLAND.my.