NICKELODEON ‘SLIME TIME’ YANG PERTAMA KINI DI MALAYSIA

Nickelodeon Slime Time kini di Sunway Pyramid musim cuti sekolah ini!

Cuti sekolah tiba lagi dan inilah masanya untuk anda bawa anak cuba aktiviti yang menyeronokkan. Terokai sebuah pengalaman yang dipenuhi dengan keseronokan cuti sekolah ini di Nickelodeon Slime Time, acara unik yang diisi dengan lendiran (slime) di Malaysia buat julung kalinya dibawakan di Sunway Pyramid.

Bertempat di LG2 Orange Concourse bermula dari 15 Mac sehingga 31 Mac, aktiviti yang ditawarkan adalah bersifat interaktif dan bagi beberapa aktiviti dan permainan yang terpilih, kemasukan adalah percuma.

Acara bertemakan slime yang unik ini meliputi dua versi permainan; yang pertama merangkumi aktiviti dalam persekitaran yang bersih, dan yang kedua merangkumi aktiviti dalam persekiratan yang lebih lasak dan dilumuri dengan slime! Slime Time turut menawarkan beberapa aktiviti menarik seperti ‘Slime Shower’, ‘Slime Escape Room’, ‘Slime Blaster’, ‘Slime Workshop’ dan ‘Slime Slide.’

Anak anda boleh merasai pengalaman yang hebat dan bersuka ria di dalam slime melalui aktiviti ‘Slime Shower’! Acara ini boleh disertai seramai enam orang pada masa yang sama dan memerlukan untuk pra-pendaftaran. Para peserta digalakkan membawa pakaian salinan dan menanggalkan kasut sebelum menyertai ‘Slime Shower’ ini.

Jika anak anda sukakan aktiviti yang melibatkan cabaran, Slime Escape Room ialah pilihan yang sesuai untuk mereka. Peserta akan diberikan satu minit untuk menyelesaikan klu yang disediakan dan mencari kunci untuk melepaskan diri. Bagi peserta yang dapat menyelesaikan cabaran dalam masa yang ditetapkan akan memenangi hadiah istimewa.

Bagi anak yang mempunyai daya kreatif yang tinggi, ruang luar Slime Escape Room merangkumi dinding mural yang kompleks dengan grafik menarik untuk diisi dengan imaginasi mereka. Anda boleh melakukan aktiviti ini bersama anak. Cuma perlu ambil dakwat berwarna yang disediakan dan warnakan mural tersebut mengikut kreativiti masing-masing.

Anak anda juga boleh mencuba kebolehan untuk membidik di Slime Blaster, sebuah permainan tembakan slime dengan Nickelodeon Hyper Blaster untuk memenangi hadiah menarik.

Berehat seketika daripada aktiviti yang menyeronokkan dan cuba mempelajari cara untuk menghasilkan slime sendiri menerusi Bengkel Slime yang hanya akan diadakan pada setiap hujung minggu dan ia juga memerlukan pra-pendaftaran terlebih dahulu.

Akhir sekali, anak anda boleh lengkapkan pengalaman unik ini dengan acara ‘Slime Slider’ yang dibuka untuk kanak-kanak daripada pelbagai lapisan umur untuk berseronok di gelongsor.