Ini Peranan Ibu Bapa Membantu Anak Dalam Pelajaran

Peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak berjaya dalam pelajaran

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Begitu juga dengan anak anda. Mereka punya kekuatan dan kelemahan sendiri. Tidak salah untuk meletakkan harapan pada anak tetapi pastikan ia seiring dengan kelebihan yang mereka punya. Jangan buatkan mereka tertekan dengan harapan dan impian anda sehingga mereka kemurungan. Ini peranan ibu bapa dalam membantu anak dalam pelajaran.

peranan ibu bapa

Gambar: Shutterstock

Fahami Tekanan Yang Anak Alami

Jika anda rasa risau dengan pelajaran anak, mereka juga rasa bimbang dengan pelajaran dan masa depan mereka. Mungkin mereka tidak mahu menunjukkannya tetapi ia boleh dilihat daripada perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Ada juga yang mudah marah, tidak berselera makan atau ada yang jadi lagi kuat makan dan ada juga yang tidak boleh tidur. Sebagai ibu bapa, pastikan anda peka dengan perubahan ini dan cuba membantu untuk mengurangkan tekanan dengan cara memahami mereka. Katakan pada mereka yang apa yang anda harapkan pada mereka adalah untuk melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.

Sediakan Keperluan Asas

Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan asas seperti buku dan alatan tulis untuk anak anda. Ini adalah supaya anak berasa selesa untuk menimba ilmu jika diberikan keperluan yang lengkap. Jika anda punya anak remaja, berikan kebebasan kepada mereka untuk membeli buku dan peralatan tulis kerana mereka lebih tahu akan keperluan mereka sendiri. Jangan lupa untuk sediakan ruang belajar untuk anak supaya mereka boleh belajar dengan tenang.

Berikan Kerjasama

Jika anak anda sedang mengulangkaji pelajaran, pastikan semua ahli keluarga yang lain berikan kerjasama agar tidak mengganggu mereka. Anda juga boleh menggunakan masa ini untuk melakukan aktiviit berfaedah seperti membaca. Elakkan dari menonton televisyen dengan kuat, sembang kosong dan bermain sewaktu mereka sedang belajar.

Berikan Semangat Kepada Anak

Selain daripada keperluan asas, anak anda juga perlukan kata semangat daripada anda. Berikan keyakinan diri kepada anak yang mereka boleh berjaya dalam akademik. Kata positf yang anda berikan akan menaikkan semangat mereka kerana anak yakin ibu bapa sangat sayangkan mereka. Anda boleh hadiahkan sesuatu yang mereka suka sebagai ganjaran jika mereka memperoleh keputusan yang cemerlang agar dapat mendorong anak untuk berusaha dengan lebih gigih.

Bina Hubungan Yang Baik Dengan Guru Sekolah

Guru adalah perantara di antara anak dan ibu bapa. Mereka juga lebih mengetahui tahap prestasi anak anda. Oleh itu, anda perlu membina hubungan yang  baik dengan guru sekolah agar anda mengetahui dan mengikuti perkembangan prestasi anak anda. Berikan kerjasama yang baik kepada guru dalam mendidik anak seperti membenarkan anak anda dihukum jika mereka tidak menyiapkan kerja sekolah.

Disiplinkan Anak

Buat satu peraturan belajar untuk anak patuhi di rumah. Tetapkan masa untuk mereka menonton televisyen dan peruntukkan masa ulangkaji yang lebih untuk subjek yang mereka lemah. Pastikan bilik tidur atau bilik belajar mereka sentiasa bersih. Berikan masa untuk anak anda beriadah selepas seharian mengulangkaji pelajaran. Pastikan jadual itu seimbang di antara membersihkan bilik, masa belajar, menolong ibu bapa dan masa beriadah.

Berdoa

Doa adalah senjata paling mujarab bagi orang yang beriman. Doakanlah yang terbaik untuk anak supaya mereka mendapat keberkatan bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam semua perkara yang mereka lakukan. Jangan putus asa untuk mendidik anak jika mereka gagal dalam pelajaran. Gagal dalam akademik bukan bermakna hidup anak anda gagal. Mereka pasti punya kekuatan dalam bidang lain. Yakin pada kebolehan anak anda.