Ini 5 Kesan Buruk Perkahwinan Bawah Umur Yang Perlu Anda Tahu

Jangan jadikan anak anda sebagai mangsa dalam perkahwinan bawah umur

Hidup dalam kemiskinan adalah antara punca perkahwinan bawah umur atau perkahwinan di kalangan kanak-kanak. Ibu bapa sanggup membenarkan anak mereka berkahwin dengan pasangan yang lebih tua kerana mereka tidak mampu untuk menyara hidup anak. Namun, tahukah anda, perkahwinan bawah umur ini sebenarnya memberikan kesan yang buruk pada anak anda? Jelita kongsikan lima kesan buruk perkahwinan bawah umur yang perlu anda tahu.

perkahwinan  bawah umur

Gambar: Shutterstock

Cabaran besar dan berat kerana masih terlalu muda

Bayangkan pada usia yang sangat muda, anak kecil dibebankan dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sudah tentu, mereka akan rasa terasing kerana mereka tidak lagi dapat bermain atau bersosial dengan rakan sebaya. Selain itu, ia juga menyekat kebebasan mereka dari segi keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Dan ini akan menyebabkan mereka dan ahli keluarga hidup dalam kemiskinan.

Menggalakkan aktiviti seksual pada usia muda

Pada usia yang muda, anak anda telah digalakkn untuk melakukan aktiviti seksual sedangkan badan mereka masih berkembang dan tidak tahu mengenai hak mereka sebagai seorang wanita dan kesihatan reproduktif mereka. Mereka juga perlu menghadapi tekanan untuk membuktikan kesuburan mereka dan anak anda juga akan rasa sukar untuk menunaikan keinginan seks atau bercakap mengenai seks selamat dengan suami.

Menghadapi risiko tinggi semasa hamil atau beranak

Kajian menunjukkan bahawa ibu berusia 20 tahun ke bawah mempunyai 50 peratus risiko yang tinggi untuk melahirkan anak pramatang, anak lahir mati atau bayi baru lahir mati berbanding wanita yang berusia. Ini kerana kebiasaanya mereka belum bersedia dari segi fizikal mahupun mental untuk menjadi seorang isteri dan ibu. Oleh itu, mereka mudah terdedah pada risiko kematian semasa beranak dan kecederaan semasa hamil.

Tingkatkan risiko jangkitan HIV/AIDS

Kanak-kanak perempuan yang berkahwin sebelum umurnya 18 tahun, mereka berisiko untuk mendapat penyakit berbahaya iaitu HIV. Ini kerana pasangan mereka yang lebih berusia dan mungkin pernah mengadakan hubungan seks sebelumnya. Oleh itu, ia meningkatkan risiko jangkitan HIV pada mereka. Kajian yang dijalankan mendapati, 5,000 gadis dan wanita muda dijangkiti HIV setiap minggu dan satu dari tujuh jangkitan itu adalah dari golongan remaja.

Keganasan rumah tangga

Dengan jurang usia yang besar, anak anda mungkin sukar untuk memuaskan kehendak pasangan mereka dan ini akan membuatkan anak anda lebih berisiko untuk menghadapi keganasan dari pasangan sepanjang hidup mereka. Kajian yang dijalankan di seluruh dunia, perempuan yang berkahwina sebelum usia 15 tahun mempunyai 50 peratus pengalamn didera secara fizikal dan seksual oleh pasangan. Ini kerana kebanyakan mereka percaya bahawa lelaki berhak untuk memukul isteri mereka.