8 Perkara Yang Perlu Dipatuhi Demi Kehamilan Serba Sihat

Tempoh sembilan bulan kehamilan adalah perjalanan hidup yang mengagumkan buat si ibu di samping menerima zuriat kurniaan Tuhan.

Kehamilan adalah waktu yang paling penting untuk menjaga emosi dan kesihatan fizikal si ibu. Ini kerana ia akan memudahkan proses kehamilan selama sembilan bulan tanpa sebarang masalah. Bagi mereka yang kali pertama menjadi ibu bapa, pelbagai perkara perlu diambil kira dan banyak yang harus dipelajari. Persiapan mental dan fizikal perlu dilakukan daripada awal supaya kental hadapi sebarang kemungkinan.

Kredit: Ingimage

  1. Pastikan Rawatan Antenatal Dirancang Awal

Rawatan antenatal amat penting demi menjaga kesihatan bayi dan ibu. Pemilihan awal doktor yang bakal menjaga si ibu perlu kerana ibu bapa akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik bersama doktor yang bakal membantu proses kelahiran bayi mereka. Bagi yang tidak mempunyai pilihan lain (klinik dan hospital kerajaan) bina hubungan baik bersama doktor yang sering berjumpa dengan si ibu semasa melakukan pemeriksaan.

  1. Makan Mengikut Diet Sihat

Berbadan dua tidak bermaksud anda perlu makan dengan banyak. Keperluan tenaga yang diperlukan si ibu tidak akan berubah dalam tempoh enam bulan kehamilan. Ianya akan bertambah sedikit semasa tempoh tiga bulan terakhir. Diet sihat dan seimbang perlu dijaga kerana kebanyakan wanita hilang selera terhadap sesetengah makanan. Makanan tambahan seperti susu pra-natal dan sebagainya boleh diambil untuk memastikan si ibu mendapat nutrisi yang cukup dan sihat.

  1. Kebersihan Makanan Dijaga

Ibu hamil bukan sahaja perlu makan dengan sihat, kebersihan makanan juga perlu dijaga. Sebaiknya mengelak makan makanan tertentu demi menjaga kesihatan bayi anda. Antaranya ialah makanan yang tidak dimasak dengan sempurna sperti teluh mentah atau daging ayam yang dimasak tidak sempurna. Anda boleh dijangkiti penyakit salmonella yang membahayakan nyawa anda. Selain itu, elakkan keju yang tidak diproses dan basuh sayuran dan buahan dengan betul sebelum dimasak  bagi mengelak penyakit berbahaya kepada kandungan.

  1. Pengambilan Asid Folik 

Diet tambahan yang penting buat ibu mengandung ialah asid folik atau lebih dikenali sebagai folat boleh membantu mencegah spina bifida iaitu sumbing tulang belakang atau mana-mana kecacatan tiub neural bayi. Folat semula jadi boleh didapati dalam pemakanan harian seperti sayuran dan bijirin sarapan yang bervitamin. Nutrien penting lain untuk ibu hamil ialah besi dan kalsium.Minyak ikan juga boleh memberi kesan yang baik kepada bayi. Jika bukan penggemar ikan, boleh mengambil tambahan minyak ikan dan memilih jenama yang bebas vitamin A yang tidak digalakkan diambil semasa kehamilan.

  1. Senaman Penting

Ibu hamil digalakkan untu melakukan senaman yang sesuai untuk ibu hamil. Ia boleh memberi kekuatan dan ketahanan untuk menampung berat badan yang semakin bertambah selain memudahkan si ibu untuk kembali ke baentuk badan asal selepas melahirkan bayi. Menurut kajian senaman boleh menambah perasaan gembira dan membantu mengelak daripada kemurungan. Si ibu boleh melakukan senaman ringan seperti berjalan, berenang dan aerobik air yang lebih bermanfaat.

  1. Kurangkan Pengambilan Kafein

Sesetengah pengkaji berpendapat kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi kurang berat badan dan keguguran. Ibu hamil dinasihatkan mengelak kopi, teh atau minuman jenis soda sebaliknya beralih kepada kopi tanpa kafein, jus buahan terutama semasa trimester yang pertama. Si ibu juga boleh mencuba mengambil segelas air dengan perahan limau atau lemon.

  1. Jauhi dan Hentikan Merokok

Sudah terang lagi bersuluh, merokok membahayakan kesihatan dan wanita mengandung yang merokok boleh meningkatkan risiko keguguran, bersalin pramatang, atau risiko kematian mengejut pada kandungan. Selain itu, ia boleh menyumbang kepada kelahiran bayi sumbing bibir atau lelangit. Sebaiknya mengelak duduk berdekatan perokok atau berhenti merokok. Jika suami seorang perokok, ambil inisiatif untuk merokok di luar rumah dan jauh daripada isteri.

  1. Banyakkan Berehat

Kebanyakan ibu mengandung akan mengalami keletihan pada trimester pertama dan ketiga. Ini adalah tanda kepada si ibu supaya tidak terlalu aktif. Berehat atau tidur yang cukup boleh memberi keselesaan kepada anda dan bayi anda. Jika tidak boleh tidur, lunjurkan kaki anda dan jangan lakukan apa-apa selama 30 minit atau lebih. Jika sakit belakang menganggu tidur, anda boleh mendapatkan bidan yang berpengalaman dalam urutan untuk wanita hamil. Bukan itu saja, cari kelas senaman khusus untuk ibu hamil dan belajar tentang teknik pernafasan yang boleh mengurangkan stres.