6 Tanda Anak Didera Oleh Pengasuh Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Peka dengan petanda ini, boleh selamatkan nyawa anak anda!

Kes penderaan yang berlaku di rumah pengasuh seakan makin kerap berlaku dalam masyarakat. Sedih mendengarnya namun itulah hakikat yang berlaku dalam komuniti sekarang. Hal ini juga telah menyebabkan ibu bapa trauma untuk menghantar anak ke rumah pengasuh dan turut menjejaskan periuk nasi pengasuh yang benar ingin mencari rezeki yang halal. Jelita kongsikan enam tanda anak anda mungkin telah didera oleh pengasuh.

Jelita kongsikan enam tanda anak anda mungkin telah didera oleh pengasuh

Gambar: Shutterstock

Berubah Perangai

Jika anda perasan perubahan dalam sikap anak sebaik sahaja anda mula menghantar mereka ke rumah pengasuh, itu tandanya mereka mungkin sedang didera. Mereka mungkin menjadi sangat pasif dan pendiam atau mudah terkejut dan selalu meragam tanpa sebab yang jelas. Ini masanya untuk anda menyiasat apa yang berlaku pada mereka di rumah pengasuh.

Menjadi Patuh atau Memberontak

Anak yang hidup dalam ketakutan akan sentiasa patuh pada arahan atau dia akan memberontak dan mengamuk kerana dia akan cuba untuk mempertahankan diri mereka. Anda perlu sentiasa memerhatikan tingkah laku anak anda agar anda dapat melihat perubahan diri mereka dan ini dapat membantu mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Takut Pada Pengasuh

Antara tanda paling ketara adalah apabila anak anda menunjukkan perasaan takut pada pengasuh mereka. Jika anak tidak mahu ke taska atau tadika, itu adalah perkara biasa namun kalau riak wajah mereka itu dalam ketakutan yang melampau, anda perlu berhati-hati. Jika didera,  anak anda juga mungkin akan mengalami trauma apabila menyebut perkataan taska dan tadika atau dia nampak perkara yang berkaitan dengan pengasuh jika dia didera.

Mengalami Kecederaan Yang Di Luar Kebiasaan

Periksa keadaan fizikal anak anda setiap kali pulang dari rumah pengasuh. Walaupun hanya lebam atau calar biasa, anda perlu berhati-hati lebih lagi jika kesan lebam itu ada di dua atau tiga tempat yang berbeza. Jika terdapat tulang yang patah, anda harus cepat bawa anak ke hospital kerana kebiasannya doktor akan suspek berlakunnya penderaan bila ada patah di tulang yang besar, patah di banyak tempat atau Shaken Baby Syndrome atau ada kesan patah lama yang tidak dilaporkan.

Perkembangan Terganggu

Jika anak anda sedang didera, dia mungkin akan mengulangi semula tabiat lamanya seperti anak yang dah lama berhenti hisap jari, kembali menghisap jarinya atau mungkin dia dah lama tidak kencing malam, kembali kencing malam. Anak anda juga mengalami masalah untuk duduk atau berjalan. Ini kerana perkembangan mereka telah terganggu akibat kesan daripada penderaan tersebut.

Alami Mimpi Buruk

Mungkin sukar untuk anda pastikan sama ada anak anda mimpi buruk atau tidak. Anda perlu perhatikan sama ada anak anda tampak lesu atau tidak bermaya walaupun mereka sudah tidur. Itu tandanya tidur anak anda terganggu