6 Faktor Kemurungan Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Inilah faktor kemurungan dalam kalangan kanak-kanak

Kemurungan tidak hanya berlaku pada golongan dewasa tetapi juga pada kanak-kanak dan juga remaja. Ramai yang beranggapan bahawa kanak-kanak dan remaja tidak mempunyai beban berat seperti orang dewasa untuk mengalami kemurungan tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kemurungan di kalangan kanak-kanak. Jelita kongsikan enam faktor kemurungan dalam kalangan kanak-kanak.

faktor kemurungan

Shutterstock

Keturunan (Genetik)

Dikatakan mereka yang mempunyai adik beradik atau ibu bapa yang mengalami kemurungan akan mempunyai tiga kali ganda risiko untuk mengalami masalah yang sama namun ini tidak bermakna mereka yang tidak punya sejarah keluarga dengan masalah kemurungan tidak akan mempunyai masalah yang sama.

Kehilangan Insan Tersayang

Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak dan remaja juga mudah rasa tertekan dengan kehilangan insan tersayang. Ini kerana mereka akan merasakan perubahan dalam kehidupan apabila mereka kehilangan insan yang mereka sayangi.

Berpindah Dengan Kerap

Kerjaya anda mungkin memerlukan anda untuk berpindah dengan kerap namun ia mungkin akan memberikan kesan kepada anak anda. Keadaan ini akan menyukarkan mereka untuk mempunyai bulatan sosial yang tetap dan mencari rakan sejati.

Konflik Dalam Keluarga

Antara faktor kemurungan yang paling kerap terjadi. Penceraian antara ibu bapa sebenarnya memberikan impak yang besar pada anak. Pada usia yang muda, mereka memerlukan kasih sayang, penjagaan dan perhatian daripada kedua ibu bapa.

Pertengkaran Dengan Saudara Atau Rakan

Jika abang dan adik bergaduh, jangan anda memilih kasih dengan menyebelahi si adik. Ini akan membuatkan si abang rasa berjauh hati dan seterusnya membuatkan dia mula memikirkan dirinya tidak disayangi. Pemikiran seperti ini mungkin akan membawa kepada masalah kemurungan.

Menetapkan Peraturan Yang Sukar

Dalam menginginkan sesuatu yang sempurna, anda tetapkan peraturan atau meletakkan harapan yang tinggi pada anak anda tanpa anda sedar, mereka mungkin sukar untuk mencapai apa yang anda harapkan. Ini akan membuatkan mereka rasa tertekan sekiranya mereka tidak dapat mencapai apa yang anda inginkan. Seharusnya, anda membiarkan anak anda menetapkan sendiri masa depannya.