5 Cara Betul Dedahkan Anak Pada Internet

Bantu anak untuk mengenali Internet bagi mengelak mereka daripada terdedah kepada bahaya jenayah siber

Kehadiran Internet telah banyak mengubah kehidupan manusia. Percaya atau tidak pada masa dulu masyarakat hanya bergantung kepada perkhidmatan pos, radio, televisyen dan terbitan bercetak. Kini segalanya berada di hujung jari anda daripada membeli belah secara dalam talian, menguruskan wang, mendapatkan tunjuk arah jika tersesat dan juga berkongsi memori bergambar bersama keluarga dan rakan serta banyak lagi fungsinya.

Gambar: Ingimage

Berada di zaman yang semakin maju menjadi cabaran buat ibu bapa untuk mendidik anak kerna mereka berkembang dengan lebih cepat. Cara terbaik untuk melindungi anak anda ialah memantau kesemua aktiviti media sosial mereka. Melalui cara ini, anda dapat mengesan dengan siapa mereka berhubung seterusnya mengelakkan bahaya orang asing. Berikut beberapa perkara yang boleh dilakukan:

  1. Mulakan Perbualan

Ibu bapa adalah antara orang yang mengenali anak sendiri. Cuba duduk bersama mereka dan bincangkan faedah Internet serta penggunaanya. Guna bahasa yang mudah difahami untuk anak. Jika anak sudah mula menggunakan Internet, ketahui aplikasi yang mereka gunakan, cara ia berfungsi dan jika terdapat sebarang risiko seperti buli siber atau hubungan dengan orang asing.

Biar anak tahu yang mereka tidak akan menghadapi masalah dengan anda jika seseorang buat mereka rasa tidak selesa atau menggunakan perkataan yang berbahaya dan menyakitkan hati terhadap mereka dalam talian. Melalui ini, anak akan menjadi lebih terbuka kepada anda dan akan cuba membantu sekiranya terdapat masalah.

  1. Biasakan dengan Etika Internet

Penting untuk anak mengetahui mengenai peraturan asas Internet, lebih lagi mereka yang masih berada di bawah umur. Perkara terpenting yang perlu diajar perlu atau tidak untuk memuat naik sesuatu yang mampu menyinggung perasaan orang lain.  Beritahu kepada anak untuk berfikir selama 10 hingga 30 saat sebelum muat naik kerana akibatnya adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu ditanggung ibu bapa kemudian hari. Jika ia bukan sesuatu yang ingin dikongsi bersama keluarga maka ia juga tidak sesuai untuk dikongsi dalam talian.

  1. Buat Peraturan

Ibu bapa pelru memainkan peranan bijak dengan membuat satu peraturan iaitu anak perlu meminta kebenaran sebelum memuat turun aplikasi ke peranti mudah alih supaya anda tahu akan aktivitinya. Jika mereka mahu menyertai platform media sosial, bantu mereka membuat profil dan pastikan anda memantau mereka walaupun bukan sepanjang masa.

  1. Jangan Kongsi Kata Laluan

Nasihat anak agar tidak berkongsi kata laluan mereka kepada sesiapa, ini termasuk rakan baik, teman lelaki atau wanita dan sesiapa sahaja kecuali anda. Berkongsi kata laluan boleh merosakkan identiti dalam talian anak dan mungkin menyebabkan mereka menjadi ancaman pada masa akan datang.

  1. Tetapkan Had Umur

Ibu bapa sahaja mampu mengawal kelakuan anak daripada kecil dengan menetapkan had umur di telefon pintar, komputer riba, tablet dan komputer meja anak anda bagi menghalang mereka memuat turun atau membeli aplikasi dan program tertentu. Ibu bapa perlu membiasakan diri dengan manual pengguna untuk memahami cara ia berfungsi untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak.