4 Cara Mudah Untuk Pupuk Kesedaran Mengenai Kanser Di Kalangan Kanak-Kanak

Jelita kongsikan empat cara mudah yang boleh anda gunakan untuk pupuk kesedaran mengenai kanser di kalangan kanak-kanak.

Setiap tahun di Malaysia, kira-kira 2,000 kanak-kanak telah disahkan menghidap kanser. Kebanyakan kanak-kanak ini berasal dari keluarga yang kurang bernasib baik. Tidak kira anda seorang individu atau daripada organisasi korporat, semua boleh melakukan sesuatu untuk membantu kanak-kanak malang ini untuk mendapatkan rawatan dan juga meningkatkan kesedaran untuk kanser kanak-kanak. Sempena dengan bulan kesedaran kanser kanak-kanak, Jelita kongsikan empat cara mudah yang boleh anda gunakan untuk pupuk kesedaran mengenai kanser di kalangan kanak-kanak.

Kanser di kalangan kanak-kanak

Gambar: Shutterstock

1. Aturkan kempen mengumpul dana “Go Gold” anda sendiri

Riben merah jambu telah dijadikan simbol untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara. Untuk kanser kanak-kanak pula, riben rona emas yang digunakan sebagai simbol kepada kanser yang dialami oleh kanak-kanak. Untuk membantu meningkatkan kesedaran, anda boleh mengadakan kempen mengumpul dana untuk kanak-kanak ini.

2. Menderma

Salah satu cara untuk anda membantu meningkatkan kesedaran mengenai kanser di kalangan kanak-kanak adalah dengan menderma kepada dana kanser kanak-kanak. Tidak mengapa jika dana yang diberikan tidak banyak asalkan anda ikhlas dan cuba ajak rakan atau keluarga untuk menderma bersama. Sebarkan kesedaran ini kepada mereka yang berada disekeliling anda dan pastinya mereka akan melakukan perkara yang sama.

3. Tambah ilmu mengenai kanser kanak-kanak

Pastikan anda telah menambahkan pengetahuan anda mengenai kanser di kalangan kanak-kanak. Dengan rawatan kanser yang semakin maju, kebanyakan kanser kanak-kanak boleh dirawat jika ia dapat dikesan dengan awal dan dirawat dengan segera. Kebanyakan kanak-kanak ini boleh menjalani kehidupan yang normal selepas rawatan yang berjaya.

4. Menjadi sukerelawan di rumah atau pusat yang menempatkan kanak-kanak yang menghidap kanser

Jika anda tidak punya bajet untuk mengadakan kempen atau menderma, anda boleh menjadi sukarelawan di rumah atau pusat yang menempatkan kanak-kanak yang menghidap kanser. Anda boleh memberikan penjagaan yang terbaik untuk mereka, menghiburkan hati mereka dan berikan kata semangat untuk membantu kanak-kanak ini berjuang melawan penyakit kanser.