10 Cara Memilih Pengasuh Anak Yang Baik

Jelita kongsikan 10 cara untuk anda memilih pengasuh anak yang baik.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan mayat bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemui di dalam sebuah beg. Adam Rayqal, sebelumnya telah dilaporkan hilang oleh pengasuh yang menjaganya apabila dia dikatakan diculik oleh lelaki yang menyamar sebagai ayahnya. Namun, semua itu hanyalah muslihat untuk menutup jenayah sebenar yang telah dilakukan oleh pengasuhnya. Tidak lama selepas berita kehilangannya, mayat Adam Rayqal telah ditemui di dalam sebuah beg yang disimpan dalam peti sejuk beku di rumah pengasuhnya.

Pengasuh, Adam Rayqal

Gambar: Shutterstock

Hati ibu bapa mana yang tidak hancur apabila orang yang sudah diletakkan kepercayaan untuk menjaga permata hati telah meragut nyawa insan yang disayangi. Kes ini telah menyebabkan ramai ibu bapa yang takut untuk menghantar anak mereka ke pusat jagaan atau mengupah pengasuh untuk menjaga anak mereka. Tetapi jika anda seorang yang bekerjaya, pastinya pengasuh adalah sangat penting untuk memastikan anak mendapatkan penjagaan yang baik. Oleh itu, Jelita kongsikan 10 cara untuk anda memilih pengasuh anak yang baik.

Amalkan Cara Hidup Yang Bermoral

Cara hidup yang dijalani sedikit sebanyak boleh mencerminkan personaliti seseorang itu. Sebagai ibu bapa beragama Islam, pastinya anda mahukan pengasuh yang beragama Islam. Ini amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh akan sedikit sebanyak memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa menjaga akhlak dan tingkah lakunya. Mereka juga boleh mengajarkan anak anda untuk membaca doa harian yang mudah, membaca Al-Quran dan juga berzikir.

Jangan Membuat Keputusan Terburu-buru

Apabila melibatkan pemilihan pengasuh untuk anak anda, janganlah membuat keputusan dengan tergesa-gesa. Cuba untuk cari lebih banyak pengasuh yang lain dan buatkan perbandingan antara mereka. Carilah sehingga anda jumpa pengasuh yang anda rasakan boleh dipercayai dan sesuai untuk menjaga anak anda.

Harus Tahu Tentang Penjagaan Bayi dan Kanak-Kanak

Ilmu penjagaan dan Pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Dia bukan sahaja tahu untuk menukar lampin dan membuat susu, malah pengasuh juga harus tahu cara yang sesuai untuk menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak yang nakal tanpa perlu memarahi mereka dengan kasar.

Keselesaan Anak Bersama Pengasuh

Apabila anda mencari pengasuh, anda juga perlu memikirkan perasaan anak anda juga. Anda perlu melihat sama ada anak anda suka atau selesa dengan pengasuh yang dilpilih. Ini mugkin akan mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika bersama dengan orang asing. Jika selepas beberapa  hari dijaga pengasuh dan anak anda masih tidak selesa dan tidak suka dengannya, ini mungkin bermakna pengasuh tersebut tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya atau personaliti pengasuh yang tidak begitu baik.

Gembira Apabila Melihat Anak

Jika pengasuh anda kelihatan benar-benar gembira menjaga dan mengasuh anak dan anak anda juga dapat merasakannya maka, kasih sayang dan kemesraan telah terjalin di antara mereka.

Menghormati Masa Yang Anda Tetapkan

Pengasuh yang profesional akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda sekiranya terdapat sebarang kemungkinan lain seawal yang mungkin. Jika pengasuh tidak boleh menjaga anak anda pada hari tersebut, pengganti yang sama taraf akan dicari.

Sentiasa Berkomunikasi Dengan Anda

Pengasuh yang bersikap profesional akan sentiasa memberitahu tentang perkembangan dan apa yang berlaku sepanjang hari pada anak sewaktu di dalam penjagaannya kepada ibu bapa. Ini dapat mengurangkan rasa risau ibu bapa pada anak mereka.

Membantu Menyelesaikan Masalah Dan Memberikan Penjagaan Sewajarnya Pada Anak Anda

Menjaga bayi dan kanak-kanak ini bukanlah perkara yang mudah namun jika pengasuh yang anda pilih itu adalah yang terbaik maka dia akan tahu cara berkesan untuk menjaga anak anda. Sebagai contoh, jika anak anda sukar untuk tidur, pengasuh akan menghubungi anda untuk meminta nasihat atau jika anak susah untuk makan, mereka pasti akan mencari cara untuk menjadikan waktu makan lebih menarik. Bekerjasama dengan ibu bapa dan melakukan pelbagai usaha dalam mengasuh anak adalah tanda bahawa pengasuh anda sedang melakukan kerjanya dengan serius.

Jarang Berlaku Kemalangan

Kemalangan kecil seperti terjatuh atau bergaduh dengan kawan adalah antara kemalangan yang tidak dapat dielakkan. Tetapi, pengasuh yang baik akan memastikan keselamatan anak anda adalah keutamaan. Pengasuh yang baik akan sentiasa mengawasi anak ketika bermain dan pastikan pagar sentiasa ditutup dan berkunci.

Jangan Takut Untuk Bertanya

Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena, anda masih boleh bertanya kepada pengasuh dengan cara yang hormat ini kerana anda masih lagi majikan mereka walaupun jurang umur yang besar. Jangan takut untuk bertanyakan kepada mereka. Hal ini juga perlu dilakukan sebelum anda memilih pengasuh untuk anak. Sesi temubual bersama pengasuh akan dapat menentukan sama ada dia layak atau tidak untuk menjadi pengasuh anak anda. Anda boleh tanyakan soalan berikut kepada pengasuh:-

  • Apakah pendekatan anda mengenai disiplin? Bagaimana cara anda mendisiplinkan kanak-kanak? Adakah umur kanak-kanak berkenaan turut diambil kira? Apakah yang anda sifatkan sebagai kelakuan buruk?
  • Makanan kegemaran anda untuk disajikan kepada anak jagaan? Apakah hidangan yang biasa diberikan kepada mereka? Kekerapan anda membenarkan mereka makan snek, gula-gula dan kuih yang manis?
  • Bolehkan anda gambarkan satu hari yang biasa kepada saya?
  • Apakah jenis aktiviti yang akan anda lakukan bersama kanak-kanak? Boleh saya lihat beberapa contoh?