Elak Sindrom ‘Sarang Kosong’

Cara kendali fasa bila anak mula berdikari dan tidak tinggal bersama.

Perasaan sunyi yang dialami golongan ibu bapa sebenarnya satu masalah serius, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal jauh atau bersendirian daripada lokasi anak. Ibu bapa yang mempunyai anak yang semakin membesar pasti mula berasa risau kerana sudah terfikir tentang perpisahan yang bakal berlaku.

Gambar : INGimage

Sindrom ‘sarang kosong’ atau empty-nest syndrome merujuk kepada perasaan sepi, kehilangan dan juga sedih yang dialami ibu bapa apabila anak berpindah keluar dari rumah.

“Sindrom ini melibatkan gangguan emosi yang boleh menjadi teruk kepada golongan ibu bapa  yang berpisah dengan anak kerana mereka sudah terbiasa dengan kemeriahan dengan adanya anak-anak di sisi.

“Apabila ada anak yang mula meninggakan rumah dan memulakan kehidupan kehidupan sendiri, perbezaan suasana yang dialami memberikan kesan emosi terutama kepada mereka yang mempunyai hubungan akrab dengan anak. Mereka yang sebelum ini ceria akan berubah menjadi hiba, sedih, rindu dan keadaan yang berlarutan boleh menyebabkan ibu bapa mengalami tekanan,” kata Suzana Ghazali,  Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

“Faktor utama penyebab sindrom ‘sarang kosong’ ini berlaku apabila ibu bapa sukar menerima perubahan perkembangan hidup di mana sudah tiba masa untuk si anak hidup berdikari. Mereka masih merasakan anak mereka masih seperti bayi kecil yang baru dilahirkan. Selain itu, rasa kasih sayang yang masih menebal, kerinduan beserta kerisauan melampau mengenai keselamatan si anak serta tidak percaya akan kemampuan anak untuk hidup berdikari,” tambahnya.

Ibu bapa juga cenderung mempunyai perasaan takut jika mereka diabaikan atau dilupakan setelah anak mempunyai pasangan hidup. Keadaan akan bertambah teruk jika ibu atau bapa yang hidup bersendiri kerana ketiadaan pasangan sama ada bercerai atau meninggal dunia merasakan diri tidak lagi diperlukan anaknya.

Cara untuk mengelak dari mengalami sindrom ‘sarang kosong’ ini:

  1. Menerima perubahan kehidupan. Cuba bantu anak anda untuk berjaya dan hidup berdikari. Pada masa sama, hargai kebebasan yang anda dan suami bakal miliki.
  2. Mengakui perasaan anda. Elakkan memendam rasa dan benarkan diri anda merasai juga mengakui rasa sedih dan kekecewaan itu.
  3. Penuhkan ruang masa yang ada dengan aktiviti bermanfaat untuk diri sendiri khususnya peluang beribadat kepada-Nya. Jika sebelum ini terlalu sibuk uruskan hal si anak, kini tiba masa untuk sibukkan diri menambah amalan kepada tuhan.
  4. Dapatkan nasihat daripada rakan atau ahli keluarga yang boleh berkongsi pengalaman yang sama. Menulis jurnal untuk meluahkan perasaan juga dapat membantu.
  5. Berkongsi pendapat atau merancang pelan masa hadapan bersama pasangan seperti keluar bercuti atau melakukan aktiviti luar seperti menanam bunga.
  6. Kekalkan rutin, makan secara sihat dan melakukan senaman yang akan membuatkan anda kekal positif. 
  1. Berhubung dengan anak dengan menelefon, menghantar mesej dan melakukan panggilan video supaya anda tidak merasa jauh dengan anak.

Mengikut masyarakat lama dulu, jika ada anak dewasa di rumah, ia adalah satu ‘petaka’ seolah si anak tidak berguna. Jadi, lepaskan mereka dengan rela agar si anak dapat berdikari sendiri. Kini dengan teknologi yang semakin berkembang ibu bapa boleh bertanya khabar melalui panggilan video. Cuba untuk meredhai si anak yang pergi belajar atau berkahwin dan jangan terlalu risaukan mereka.