Kemurungan Postpartum, Emosi Terganggu Selepas Bersalin

Selepas melahirkan anak, wanita yang baru bergelar ibu ini sudah tentu keletihan, kelesuan dan mengalami perubahan mood yang menunjukkan simptom kemurungan (postpartum blues). Emosi negatif yang berterusan selama seminggu ini boleh menyebabkan berlakunya kemurungan selepas bersalin

Masalah kemurungan selepas bersalin berlaku pada satu atau dua wanita dalam setiap 1,000 kelahiran. Ia tidak mempengaruhi setiap wanita namun ia boleh berlaku kepada seseorang ibu yang bersalin kali kedua atau seterusnya walaupun tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Risiko menghadapi keadaan ini bergantung kepada daya ketahanan mental dan emosinya selepas melahirkan anak.

Gambar : Ingimage

“Pemasalahan ini memberi kesan kepada penghargaan kendiri wanita yang mengalami dan kemudian menjejaskan kefungsian seseorang sebagai ibu,” kata Dr Mimi Iznita Mohamed Iqbal, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa.

Kemurungan di kalangan wanita selepas bersalin adalah antara kemurungan utama yang mewujudkan dysphoria yang membawa maksud satu keadaan ketidakupayaan emosi ditunjukkan melalui emosi bimbang, murung, letih dan rasa bersalah yang seterusnya menyebabkan individu berada dalam kemurungan.

Menurut Dr Mimi, kajian terbaru di dalam buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), gangguan kemurungan utama boleh muncul pada empat bulan pertama. Turut dilaporkan bahawa 50 peratus wanita hamil mengalami episod kemurungan utama sebelum bersalin dengan mengalami kebimbangan yang teruk dan juga serangan panik.

MENGAPA IA TERJADI?

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa tanggapan ibu terhadap bayi boleh menjadi faktor utama menyumbang kepada gejala kemurungan. Hasil kajian mendapati bahawa wanita yang mengalami keadaan ini mempunyai persepsi yang buruk terhadap bayi seperti kurang penerimaan dan penyesuaian terhadap bayi, mood yang tidak baik dan juga suka mendesak.

“Kemurungan postpartum ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah tidak mendapat sokongan atau pertolongan dalam menjaga bayi, faktor sosio-ekonomi, pemisahan awal hubungan ibu-anak, pengalaman bersalin yang negatif dan mengalami masalah kesihatan semasa mengandung atau selepas bersalin,” katanya.

Selain itu, individu berkenaan memandang diri mereka sebagai kurang cekap, tidak rapat dengan bayi dan berlaku pengasingan sosial berlebihan terhadap diri mereka selain mempunyai hubungan tidak baik dengan pasangan. Perubahan hormon yang berlaku sebelum dan selepas bersalin juga antara sebab berlakunya kemurungan kerana si ibu perlu menghadapi perubahan dalam rutin harian, emosi yang tidak stabil serta gangguan ketika tidur.

TANDA -TANDA

Simptom yang boleh dikenal pasti bagi mengelak ahli keluarga atau isteri anda mengalami kemurungan postpartum ialah:

  • Individu merasakan badan mereka terlalu penat dan lesu.
  • Tidak boleh menumpukan perhatian ketika menguruskan bayi atau melakukan kerja.
  • Kurang selera makan atau selera makan bertambah dan tidak terkawal.
  • Menangis secara tiba-tiba.
  • Perasaan sedih terlampau atau putus asa yang tidak masuk akal.
  • Marah atau benci kepada ahli keluarga atau suami untuk perkara yang remeh.
  • Mengalami Insomnia yang teruk.
  • Benci atau menyampah kepada anak sehingga tidak mahu menyusukan.
  • Sentiasa mempunyai perasaan negatif terhadap diri sendiri atau anak.
  • Bagi ibu yang mengalami tanda yang lebih teruk, individu berkenaan mungkin mengalami keadaan yang lebih serius iaitu kondisi psikosis.
  • Postpartum Psikosis merupakan gangguan kemurungan yang paling teruk dalam lingkungan postpartum, si ibu mempunyai perasaan ingin membunuh diri dan anak, mendengar suara ghaib atau mengalami halusinasi. Individu perlu segera mendapatkan rawatan daripada pakar untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti membahayakan nyawa bayi.

MENGATASI KEMURUNGAN POSTPARTUM

Bagi mengatasi masalah kemurungan selepas bersalin, peranan suami dan ahli keluarga yang lain amat penting untuk membantu memulihkan kembali perasaan agar dapat menjaga anak dengan baik. Bantuan dalam pelbagai perkara amat diperlukan oleh si ibu yang belum sihat sepenuhnya setelah berhempas pulas dari segi zahir dan batin dalam melahirkan seorang manusia ke dunia.

Bagi mengembalikan semula tenaga dan mengelak daripada berlakunya kemurungan, penting untuk makan makanan berkhasiat yang seimbang dan minum air dengan banyak. Perlu juga berehat dengan cukup dan apabila sudah kembali bertenaga, luangkan masa untuk bersenam setiap hari untuk meningkatkan stamina badan untuk menghadapi hari mendatang.

“Untuk mengelakkan daripada berlakunya kemurungan, si ibu boleh bercerita dan berkongsi perasaan anda dengan orang yang dipercayai seperti suami atau ibu. Selain itu, menulis dan menyatakan perasaan di dalam jurnal juga boleh membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi seterusnya mengelak daripada berlaku kemurungan postpartum,” ujar Dr Mimi.

Minta pertolongan daripada suami atau ahli keluarga lain untuk menjaga si kecil ketika anda pergi menjalankan aktiviti yang disukai atau keluar sekejap dari rutin menjaga bayi untuk mengelak si ibu memendam rasa kerana terlalu sibuk menguruskan hal anak sahaja. Bagi keadaan yang lebih serius, disyorkan berjumpa dengan doktor pakar untuk sesi rawatan dan pengambilan ubat. Suami perlu sentiasa membantu dan berada disisi isteri agar mereka tidak keseorangan ketika menguruskan hal anak.