Faktor Anak Lambat Bercakap

Masalah ini sering disebut dan membelenggu ramai ibu bapa yang risaukan jika anak mengalami perkembangan normal atau ada sesuatu di luar jangkaan

Menurut kajian, kanak-kanak normal mula bercakap pada sekitar usia setahun ke atas. Ia bergantung kepada perkembangan pertuturan normal kanak-kanak sekitar umur 10 hingga 12 bulan di mana perkataan pertamanya mula muncul.

Kredit : INGimage

Seawal umur setahun, anak akan mula mengeluarkan bunyian sama ada untuk meluahkan kehendak atau untuk mendapat perhatian. Mereka akan mengeluarkan perkataan seperti ‘mamam’ atau ‘nanak’. Pada sekitar 12 hingga 15 bulan pula, perbendaharaan kata anak akan bertambah dan mereka boleh menamakan objek yang biasa dikenali seperti susu atau patung mainan kegemarannya,” kata Junita Nawawi, Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Mereka akan mula memahami perkataan dan arahan pada sekitar usia tiga tahun. Komunikasi antara ibu bapa akan lebih mudah dan kosa kata mereka akan bertambah. Sekitar umur ini, kanak-kanak sepatutnya sudah dapat memahami apa yang dituturkan namun jika tidak, si manja anda mungkin mengalami masalah lambat bercakap.

Faktor Anak Lambat bercakap

  1. Faktor kesihatan

Anak kerap mengalami demam dan selesema. Selain itu, sawan atau dilahirkan sebagai bayi pra-matang juga berisiko menyebabkan anak anda lambat bercakap. Tetapi bukan semua akan mengalaminya. Ia bergantung kepada perkembangan kesihatan anak itu sendiri.

  1. Masalah pada otot pertuturan

Terdapat gangguan di bahagian otak anak anda (Apraxia of Speech) atau otot daripada mulut itu sendiri. Contoh seperti sukar untuk mengatur pergerakan bibir, lidah dan rahang, lidah berbelit (ankyloglossia) atau sumbing.

  1. Masalah pendengaran

Jika anak ada memiliki masalah pendengaran, sukar bagi mereka untuk mendapatkan maklumat bahasa, meniru dan menghasilkan bunyi kerana tidak dapat mendengar bunyi yang dihasilkan orang sekeliling.

  1. Kurang rangsangan bahasa

Ibu bapa kurang meluangkan masa, bermain bersama anak dan bercakap dengan anak. Jadi, ia menyebabkan anak kurang mendapat maklumat bahasa secara langsung dari orang yang paling hampir dengan mereka. Cuba untuk tidak mengajar mereka dengan bahasa pelat. Keluarkan perkataan yang betul supaya mereka dapat belajar.

  1. Faktor keturunan

Tidak dinafikan juga bahawa unsur genetik atau kesihatan adalah antara penyebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap. Selain itu, anak yang menghidapi penyakit Sindrom Down, gagap dan autisme.

  1. Terlalu lama dengan peranti elektronik

Teknologi yang semakin pesat menyebabkan kanak-kanak masa kini lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain gajet elektronik dan menonton televisyen. Walaupun terdapat rancangan pendidikan, tetapi kebanyakannya ialah komunikasi satu hala.