Cara Kawal Diabetes Bila Berbadan Dua

Bila disahkan diabetik, apa ibu hamil kena buat?

Diabetes ialah sejenis penyakit kronik yang kini menjadi masalah besar kepada seluruh dunia. Ibu yang hamil turut tidak terkecuali boleh menghidapi penyakit ini jika tidak menjaga pemakanan dan mengawal paras gula dalam darah.

Gambar : Ingimage

Menurut Dr Nurain Mohd Noor, Setiausaha Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia & Pakar Perunding Endokrin, Hospital Putrajaya, diabetes gestasi dihidapi wanita hanya semasa mereka hamil tetapi ia membawa risiko jangka panjang. Wanita yang berisiko untuk menghidapi penyakit ini ialah wanita yang lebih tua semasa mengandung, obesiti, sejarah diabetes dalam keluarga, diabetes gestasi semasa kehamilan terdahulu, sejarah kematian bayi semasa lahir atau melahirkan bayi dengan kecacatan kongenital.

Semua wanita hamil perlu membuat saringan untuk diabetes gestasi yang dilakukan semasa kehamilan mencapai 24 hingga 28 minggu. Secara umumnya ujian saringan dilakukan pada wanita hamil yang mempunyai risiko berikut :

  • BMI melebihi 27kg/m2
  • Bayi macrosomik yang beratnya melebihi 4 kg
  • Menghidap diabetes gestasi pada kehamilan sebelumnya
  • Mempunyai saudara terdekat yang menghidap diabetes
  • Sejarah kematian janin yang tidak diketahui sebabnya di dalam kandungan
  • Sejarah bayi mempunyai masalah kongenital
  • Kandungan air kencing positif glukosa sewaktu perjumpaan prenatal atau mana-mana perjumpaan
  • Masalah obstektrik terkini (hipertensi, pregnancy induced hypertension, polyhydromnios, dan sedang di dalam rawatan steroid)

Jika seseorang itu mempunyai faktor risiko berkenaan ujian saringan menunjukkan keputusan normal, ujian perlu diulang semula selepas empat hingga enam minggu untuk memastikan semula sama ada individu berkenaan memiliki diabetes gestasi atau tidak.

TIGA JENIS DIABETES

  1. Diabetes Type 2

Sebanyak 90 peratus pesakit diabetes type 2 berdepan masalah pankreas tidak menghasilkan insulin yang cukup atau apabila tubuh tidak berkesan menggunakan insulin yang dihasilkan. Diabetes type 2 selalunya berlaku di kalangan orang dewasa, walaupun kini semakin ramai kanak-kanak dalam populasi berisiko tinggi turut menghidap diabetes type 2.

  1. Diabetes Type 1

Diabetes type 1 biasanya didiagnosa di kalangan kanak-kanak dan remaja, berlaku apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin. Insulin adalah hormon yang mengawal jumlah glukosa dalam darah. Baki 10 peratus daripada individu yang menghidap diabetes mempunyai diabetes type 1.

  1. Diabetes Semasa Hamil (Gestational Diabetes Mellitus atau GDM)

Diabetes semasa hamil, adalah keadaan sementara yang berlaku semasa

mengandung. Ia memberi kesan kepada kira-kira dua sehingga empat peratus daripada semua kehamilan dan melibatkan peningkatan risiko diabetes untuk kedua-dua ibu dan anak.

KAEDAH MENGAWAL DIABETES

Pesakit diabetes berpeluang untuk hidup aktif, bebas dan sihat jika mereka menjaga perkara ini dengan betul dan teliti.

  • Kawalan paras gula: Pemeriksaan perlu dilakukan secara berkala bergantung kepada status paras gula semasa, sasaran, dan kaedah rawatan. Pemantauan kendiri paras gula dalam darah (self-monitoring blood glucose – SMBG) boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer terutama di kalangan pesakit yang menggunakan insulin dan digalakkan juga untuk pesakit yang mengambil ubat lain.
  • Kawal faktor risiko lain: Tekanan darah dan paras kolesterol yang tinggi dan boleh mengakibatkan komplikasi seperti penyakit mata, penyakit jantung, strok dan penyakit buah pinggang.
  • Ubat: Diabetes type 1 sentiasa dirawat dengan insulin. Diabetes type 2 boleh dikawal melalui aktiviti fizikal dan diet seimbang. Ubat-ubatan atau insulin juga diperlukan untuk membantu pengawalan glukosa darah dengan lebih berkesan.
  • Saringan komplikasi: Pesakit diabetes hendaklah menjalani saringan komplikasi akibat diabetes mengikut panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kaki, BMI, fungsi buah pinggang, jantung, mata dan lain-lain.
  • Aktiviti fizikal: Bersenamlah setiap hari selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi mengikut keupayaan individu. Selain bersenam, aktiviti fizikal seperti menggunakan tangga, berjalan kaki ke tempat kerja, membuat kerja rumah dan menggunakan kenderaan awam juga boleh dilakukan. Aktiviti fizikal membantu badan mengawal tahap glukosa darah, menggalakkan penurunan berat badan, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kecergasan keseluruhan.
  • Pemakanan: Jenis, kuantiti dan waktu pemakanan memainkan peranan penting dalam mengawal paras glukosa darah. Pengambilan jumlah kalori dan karbohidrat perlu dipantau bagi mengelakkan berat badan serta paras gula berlebihan. Pengambilan makanan yang sedikit tetapi kerap boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Ambil lima hidangan sayur sayuran dan buah-buahan sehari.
  • Pengurusan Berat: Seorang dewasa yang mempunyai BMI 30 atau lebih tinggi dianggap obes. Berat badan berlebihan adalah apabila BMI di antara 25 dan 29.9. Berat badan normal adalah BMI 18 hingga 24.9. Individu yang bermasalah berlebihan berat badan adalah disarankan untuk menurunkan berat sebanyak lima hingga 10 peratus dalam tempoh enam bulan. Pengambilan diet yang teratur dan aktiviti fizikal yang kerap boleh membantu mencapai dan mengekalkan berat badan yang ideal.
  • Pengurusan Gaya Hidup: Jika anda seorang perokok, dapatkan bantuan untuk berhenti merokok di klinik kesihatan atau hospital. Bagi bukan perokok lindungi diri anda daripada asap rokok dan anda berhak menikmati udara bebas asap rokok. Tangani stress dengan baik kerana semua ini membantu anda mencapai tahap kawalan diabetes lebih baik dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.