Apakah Itu Sindrom Keluarga Sandwic?

Mungkin ia adalah istilah baru yang anda pertama kali dengar tetapi ianya banyak berlaku dalam kehidupan setiap famili hari ini.

Generasi sandwic di Malaysia bukanlah isu yang asing lagi kerana ia telah wujud sejak tahun 90-an lagi terutama di kalangan wanita yang mempunyai kerjaya. Dalam konteks ini,  wanita berkenaan atau pasangan suami isteri terbeban untuk menjaga dua generasi keluarga secara serentak.

Gambar : Ingimage

Ia selalunya menjadi isu apabila ibu bapa dibawa masuk ke rumah kelamin si anak lantaran kerana keadaan ibu bapa yang memerlukan penjagaan seterusnya perlu ditanggung secara serentak.

Keluarga sandwic dilihat seakan budaya dalam masyarakat Cina di Malaysia dan dalam kelompok masyarakat Melayu khususnya amalan ini adalah biasa tatkala anak yang berkahwin masih tinggal bersama ibu bapa.

Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie berkongsi mengenai sindrom keluarga sandwic ini.

IKHLASKAN DIRI MENJAGA

Jika mereka adalah ibu bapa sendiri, kenanglah susah payah mereka menjaga dan membesarkan anak yanga lain termasuk anda. Jika mereka adalah ibu bapa mertua, kenanglah susah payah mereka menjaga dan membesarkan individu yang menjadi pasangan hidup anda.

“Sebagai seorang isteri yang perlu berdepan dengan isu keluarga sandwic sama ada perlu menjaga ibu bapa sendiri atau ibu bapa mertua, perkara paling utama adalah niatkan dengan ikhlas untuk membantu menjaga mereka sebaiknya,” katanya.

Seterusnya, usahakanlah untuk lakukan segala urusan dan tanggungjawab sebaiknya. Cuba ajak pasangan serta mengajar anak untuk turut sama membantu anda. Kerjasama daripada pasangan dan anak boleh mengurangkan bebanan tugasan anda akan dapat dikurangkan.

Usaha untuk mewujudkan hubungan yang baik antara anak anda dengan ibu bapa atau mentua ialah dengan membantu anak untuk memahami kerenah warga emas yang mungkin sudah kembali semula perangainya seperti kanak-kanak juga. Paling utama, berdoa agar anda diberikan kekuatan untuk melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab anda.

KEWANGAN KURANG BEBANAN KELUARGA SANDWIC

Aspek kewangan sering menjadi bebanan utama keluarga sandwic bagi mereka yang berpendapatan rendah atau sederhana. Menjadi individu yang tersepit diantara kedua anak dan ibu bapa terpaksa bekerja keras untuk memastikan keduanya terjaga dengan baik. Namun keluarga sandwic bukan sindrom sebaliknya satu rahmat jika ditangani sebaiknya.

Ibu bapa ialah insan teristimewa dalam hidup si anak. Mana-mana anak yang diberikan peluang untuk hidup dan tinggal bersama ibu bapa sewajarnya menggunakan peluang terbaik ini untuk berbakti kepada ibu bapa, bukan ibu bapa yang perlu bekerja untuk anda pula.

Cara menguruskan keluarga sandwic dengan lancar boleh dilakukan dengan:

  1. Setiap individu perlu sedar dengan tanggungjawab tersendiri sebagai anak, menantu, cucu, suami dan juga isteri serta ibu dan bapa dan usaha untuk laksanakan tanggungjawab tersebut sebaiknya.
  2. Sebagai suami, anda perlu laksanakan tanggungjawab membiayai nafkah buat isteri dan anak anda walaupun anda menetap bersama ibu bapa sendiri atau mertua.
  3. Sebagai isteri, laksanakan tanggungjawab mengurus dan menjaga kebajikan suami dan anak anda walaupun masih menetap bersama ibu bapa sendiri atau mertua.
  4. Wujudkan komunikasi yang baik dengan setiap individu yang ada dalam keluarga sandwic serta berbincang bagi menangani apa juga permasalahan dan isu.
  5. Bagi wanita, pastikan pasangan anda bersikap terbuka dan boleh menerima kehadiran ibu bapa anda sendiri. Bincang dan usulkan dengan baik sebelum membawa ibu bapa anda tinggal bersama.
  6. Buat anak-anak, berlumbalah untuk menjaga ibu bapa anda. Boleh wujudkan giliran atau khaskan seseorang yang ibu bapa anda suka atau rasa selesa untuk menjaga mereka. Anak yang lain masih tetap ambil berat dan menjenguk serta menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai keperluan ibu bapa. Hidup anda akan lebih bahagia dan barakah apabila anda menjaga hati dan emosi serta kebajikan ibu bapa.

Kewujudan keluarga sandwic biasanya berpunca daripada:

  • Kehendak ibu bapa yang mahukan si anak yang telah berkahwin untuk terus tinggal bersama agar boleh memantau hidup si anak.
  • Kekangan kewangan yang dihadapi oleh si anak menyebabkan dia berterusan tinggal bersama ibu bapa di samping mengharapkan bantuan ibu bapa untuk menjaga anak mereka juga.
  • Keadaan ibu bapa yang terlantar dan memerlukan jagaan menyebabkan ibu bapa perlu dibawa tinggal bersama si anak.